Saturday, March 16, 2019

Antara Kaum Dan Perkauman. -Presiden PAS




PERKATAAN kaum atau bangsa bermakna kumpulan makhluk manusia mengikut zuriat, bahasa, warna, budaya dan lain-lain. Apabila diletakkan penambahannya disebut perkauman, berbeza maknanya, kerana bermaksud kefahaman yang dianut berteraskan fanatik kepada satu bangsa atau kaum tertentu, sehingga merosakkan hubungan masyarakat majmuk berbagai bangsa dan kaum yang menjadi sebahagian daripada ciptaan Allah Tuhan Pencipta Alam Semesta.
Perkataan kaum itu baik kerana hikmah yang ditetapkan oleh Allah Pencipta Alam Semesta, walaupun berbilang dan berbeza, di mana manusia menjadi sebahagian daripada alam mengikut sempadan ketetapan Allah yang Maha Adil dan Bijaksana.
Perkataan perkauman itu bermaksud negatif kerana membawa dasar dan konsep yang merosakkan hubungan kemanusiaan apabila melampaui sempadan ketetapan Allah, ketika manusia itu mencipta ketetapan sendiri dengan akalnya yang lemah tanpa keizinan Allah.
Berlakunya kerosakan kehidupan manusia ini kerana manusia sendiri melanggar sempadan Allah Pencipta Alam Semesta, khususnya apabila melampaui sempadan hikmah mereka diciptakan. Antaranya, mencipta ideologi fanatik terhadap kaum dan bangsa tertentu tanpa meraikan kaum lain. Inilah sebahagian daripada ciri perkauman.
Firman Allah menegaskan bahawa adanya bangsa, kaum, bahasa dan pelbagai budaya serta warna itu sebahagian daripada ciptaan-Nya yang menjadi tanda sifat ketuhanan-Nya:
وَمِنْ آيَاتِهِ خَلْقُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَاخْتِلَافُ أَلْسِنَتِكُمْ وَأَلْوَانِكُمْ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّلْعَالِمِينَ (22)
“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan kebijaksanaanNya adalah kejadian langit dan bumi, dan perbezaan bahasa kamu dan warna kulit kamu. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang berpengetahuan”. (Surah Ar-Ruum: 22)
Seterusnya firman Allah menyatakan hikmah penciptaan manusia sebegitu rupa:
يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ (13)
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu pelbagai bangsa dan bersuku puak dan kaum, supaya kamu bertaaruf (berkenal-kenalan, beramah mesra dan bertolong menolong antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan, bangsa, warna kulit, hartanya dan lain-lain). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya”. (Surah Al-Hujuraat: 13)
Wujudnya kepelbagaian tersebut bagi menyempurnakan ciri-ciri masyarakat madani yang membolehkan manusia itu bertugas di bumi yang disebut sebagai khalifah iaitu mengurus cara hidup manusia di dunia dengan Islam atau dipilihnya sendiri cara lain, dan mentadbir makhluk di bumi termasuk bahan-bahan yang diciptakan di atas muka bumi atau di dalam perut bumi daripada hasil pertanian, galian dan hidupan.
Banyak bahan-bahan itu diusahakan untuk mendapat dan mengambil manfaat daripadanya, sehinggalah hubungannya dengan angkasa lepas dan alam ghaib yang tiada sepenuhnya dalam agama dan ideologi lain daripada Islam ciptaan manusia sendiri.
Bagi melaksanakan urusan kesemuanya itu memerlukan pembahagian tenaga kerja, kebolehan, kemahiran dan kemampuan yang berbeza dalam kalangan mereka mengikut individu, keluarga, kaum dan bangsa, serta hasil bumi yang berbeza jenisnya daripada seluruh pelosok bumi ini.
Ibnu Khaldun menghuraikan ciri-ciri kepelbagaian dalam masyarakat manusia bernalurikan madani atau bersifat hadari. Contohnya, hanya kerana perlu adanya sehelai pakaian sahaja bagi seorang manusia, maka perlu adanya pelbagai pekerjaan dan kemahiran yang berbeza daripada hasil negeri yang berbeza.
Mereka yang berkemahiran dalam bidang pertanian ditugaskan untuk menghasilkan kapas untuk membuat sehelai pakaian manusia. Perlu adanya juga pelbagai galian seperti logam besi untuk mencipta alat pertanian, jarum yang kecil untuk menjahit pakaian dan terkini dicipta kilang yang besar memerlukan bahan bakar seperti petroleum minyak dan gas bagi mesin penggerak untuk menenun dan menjahit serta bahan-bahan lain yang diluaskan lapangan kepakarannya daripada pelbagai negeri dan lapisan rakyat.
Adanya industri dan pengurusan perniagaan dalam aspek ekonomi dan lain-lain, yang dikawal oleh politik kekuasaan dan pentadbiran. Adanya juga kebolehan dan kemampuan berbeza dalam kalangan satu bangsa sahaja dan pelbagai bangsa yang kedudukannya dalam wilayah dan muka bumi cuaca yang berbeza.
Firman Allah:
أَهُمْ يَقْسِمُونَ رَحْمَتَ رَبِّكَ نَحْنُ قَسَمْنَا بَيْنَهُم مَّعِيشَتَهُمْ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَرَفَعْنَا بَعْضَهُمْ فَوْقَ بَعْضٍ دَرَجَاتٍ لِّيَتَّخِذَ بَعْضُهُم بَعْضًا سُخْرِيًّا وَرَحْمَتُ رَبِّكَ خَيْرٌ مِّمَّا يَجْمَعُونَ (32)
“(Mengapa pemberian Kami itu mereka ingkarkan?) Adakah mereka berkuasa membahagi-bahagikan (perkara-perkara kerohanian atau keagamaan, kebolehan jasad dan kefahaman akal yang menjadi sebesar-besar) rahmat Tuhanmu (wahai Muhammad, seolah-olah Kami hanya berkuasa dalam perkara kebendaan dan keduniaan sahaja? Mereka tidak ingkarkan): Kami membahagi-bahagikan antara mereka segala keperluan hidup mereka dalam kehidupan dunia ini, (sebahagiannya Kami jadikan kaya raya dan sebahagiannya miskin menderita); dan juga Kami telah menjadikan darjat sebahagian dari mereka tertinggi dari darjat sesebahagian yang lain; (semuanya itu) supaya sebahagian dari mereka senang mendapat kemudahan menjalankan kehidupannya dari (bantuan) sebahagiannya yang lain. Dan lagi rahmat Tuhanmu (yang meliputi kebahagiaan dunia dan akhirat) adalah lebih baik dari kebendaan dan keduniaan semata-mata yang mereka kumpulkan”. (Surah Az-Zukhruf: 32)
Perbezaan bangsa, kaum, kemampuan dan kepakaran, mencetuskan pertembungan yang melampau terhadap pihak lain sehingga menindas, menipu, menzalimi dan menyeleweng kerana melanggar sempadan ketetapan Allah.
Bukan sahaja di antara individu yang bijak menipu yang lemah akalnya, apatah lagi yang bodoh paling menjadi mangsa. Yang kuat pula menindas yang lemah, yang kaya terhadap yang miskin. Berlaku juga dalam satu keluarga yang kecil, sehinggalah merebak di kalangan satu kaum dan di antara bangsa, kaum dan negara, sehinggalah ke peringkat antarabangsa dan kaum yang berbeza. Ini disebabkan ada kalangan yang melampaui batas sempadan yang telah ditetapkan oleh Allah.
Tidak menjadi kesalahan sesiapa sahaja sayang dan kasihkan keluarga dalam kelompok yang kecil, sehinggalah berkeluarga besar, satu bangsa atau kaum. Maka sayangkan bangsanya tidak menjadi kesalahan, bahkan wajib bersilaturahim. Tetapi jangan lupa bahawa seluruh manusia itu juga adalah keluarga besar di bawah kerajaan Allah.
Firman Allah:
يَا أَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوا رَبَّكُمُ الَّذِي خَلَقَكُم مِّن نَّفْسٍ وَاحِدَةٍ وَخَلَقَ مِنْهَا زَوْجَهَا وَبَثَّ مِنْهُمَا رِجَالًا كَثِيرًا وَنِسَاءً وَاتَّقُوا اللَّهَ الَّذِي تَسَاءَلُونَ بِهِ وَالْأَرْحَامَ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلَيْكُمْ رَقِيبًا (1)
“Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya, zuriat keturunan lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebut namaNya, serta peliharalah hubungan silaturrahim (kaum kerabat); kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu”. (Surah An-Nisa’: 1)
Berlakunya kelemahan dalam hubungan sesama manusia apabila kasihnya melampau menjadi fanatik, sehingga menyebabkan putus hubungan silaturahim dalam satu keluarga kecil, apatah lagi kalau sebesar satu bangsa atau kaum dan lebih besar lagi dalam kalangan antarabangsa, sehingga mencetuskan penyakit yang dinamakan perkauman atau asabiyah dalam bahasa Al-Quran atau rasisme dalam bahasa Barat yang mempengaruhi dunia terkini.
Rasisme disebut juga nasionalisme dan cauvinisme merupakan satu bentuk kepercayaan, sikap dan amalan yang fanatik berdasarkan ciri-ciri perkaumannya, sehingga menegaskan bahawa nilai dan darjat seseorang boleh ditentukan berdasarkan kaum yang diwakilinya. Fahaman rasisme atau semangat asabiyah sentiasa membawa kezaliman kepada sesama manusia dan melibatkan permusuhan terhadap kaum-kaum yang tertentu.
Dalam negara Malaysia yang bermasyarakat majmuk ini, masyarakat Melayu yang beragama Islam masih lagi mewarisi adab kemanusiaan bermasyarakat majmuk yang ditunjukkan oleh Islam yang dianutnya.
Mereka bukan sahaja menganggap masyarakat orang Asal yang ditakrifkan Bumiputera bersamanya lebih dahulu, bahkan dengan mudah juga menerima kewujudan pelbagai kaum dalam negaranya, perkara yang tidak mudah di sisi kaum bukan Islam, bukan sahaja dalam satu agama yang berlainan, bangsa dan kaum yang berbeza, bahkan di antara agama yang berbeza dan sempadan negeri yang berlainan.
Islam mendidik penganutnya bahawa tidak menjadi kesalahan sayangkan keluarga dan bangsa, tetapi jangan berlaku zalim terhadap sesama manusia kerana berbeza bangsa dan agama, dan jangan fanatik tanpa perhitungan benar dan salah. Dasarnya berpandukan Al-Quran. Firman Allah:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ لِلَّهِ شُهَدَاءَ بِالْقِسْطِ وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَىٰ أَلَّا تَعْدِلُوا اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَىٰ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ (8)
“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan”. (Surah Al-Maa’idah: 8)
Sabda Rasulullah S.A.W.:
ليس منا من دعا إلى عصبية وليس منا من قاتل على عصبية وليس منا من مات على عصبية
“Bukan daripada kalangan kita orang yang berdakwah kepada asabiyah, bukan daripada kalangan kita orang yang berperang kerana asabiyah dan bukan daripada kalangan kita orang yang mati dengan sebab asabiyah”.
Apabila ditanya : “Apakah asabiyah itu wahai Rasulullah?‘’.
Sabda Rasulullah S.A.W.:
أن تعين قومك على الظلم
“Bahawa kamu menolong kaummu melakukan kezaliman”. (Riwayat Abu Daud)
Inilah sempadan Islam yang dianuti oleh masyarakat Melayu yang beragama Islam. Sepatutnya kaum lain mengenang budi terhadap orang Melayu dan Bumiputera yang melayan mereka di atas sifat kemanusiaan sejagat yang diasuh oleh Islam.
Perlu disedari bahawa Melayu dan Peribumi yang telah memakmurkan tanah air ini sebelum kedatangan penjajah Barat dan kehadiran kaum lain. Umat Islam Melayu dan Bumiputera lain terpaksa menentang penjajah sejak tahun 1511 yang silih berganti sehinggalah negara mencapai kemerdekaan, dan diterimanya kaum lain yang dibawa oleh penjajah mengikut agenda jus soli.
Tiba-tiba berlaku orang Melayu dan Bumiputera ketinggalan dan terpinggir daripada pendidikan dan ekonomi sehingga dibodohkan berpolitik dan berpecah sesama mereka. Adapun kaum lain lebih diberikan peluang sehingga dapat menguasai kawasan bandar yang besar, pendidikan, ekonomi dan bersatu dalam politiknya.
Apa yang dialami oleh Melayu Islam dan Bumiputera kerana mereka dibelasah oleh penjajah kerana melawan penjajah itu, lalu mereka dipinggirkan daripada kemudahan dan pembangunan. Berbeza dengan kaum yang dibawa untuk menjadi pekerja kepada penjajah.
Setelah mencapai kemerdekaan, maka orang Melayu Islam dan Bumiputera diberi hak istimewa dalam Perlembagaan Persekutuan dari segi agama, bahasa, ekonomi dan lain-lain. Dalam masa yang sama, diberi hak kerakyatan kepada kaum lain dan hak kemanusiaan yang sepatutnya dari segi kebebasan beragama, berbudaya dan lain-lain.
Malangnya orang Melayu Islam masih terkebelakang kemampuannya, bersaing pula dengan kaum lain dan tidak dapat mengejar kaum lain dengan sebab-sebab yang tertentu, maka mereka perlu terus diperkasakan.
Adalah tidak beradab atau berakhlak, apabila adanya kenyataan di kalangan bukan Islam mempertikaikan hak istimewa Islam, Melayu dan Peribumi. Paling tidak berakhlak apabila mengeluarkan kenyataan yang biadab terhadap Islam dan usaha menyatukan umat Islam dan Bumiputera, dengan cara melampau sehingga perpaduan orang Melayu Islam dan Bumiputera ini dianggap sebagai musuh yang ditentang kerana menjadi ancaman kepada kaum lain.
Ketahuilah bahawa kesabaran umat Islam ada sempadannya, maka jangan dicerobohi sempadan ini, kerana Allah berfirman:
لَّا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُم مِّن دِيَارِكُمْ أَن تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ (8) إِنَّمَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ قَاتَلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَأَخْرَجُوكُم مِّن دِيَارِكُمْ وَظَاهَرُوا عَلَىٰ إِخْرَاجِكُمْ أَن تَوَلَّوْهُمْ وَمَن يَتَوَلَّهُمْ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ (9)
“Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (Islam), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. (8); Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (Islam), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim”.(9) (Surah Al-Mumtahanah: 8-9)
Hari ini dapat dilihat dengan nyata betapa kekayaan kaum yang mendapat peluang itu, membuat kenyataan yang mencabul Islam dan melakukan agenda membeli orang-orang Melayu yang berkuasa dengan rasuah dan salah laku, sehingga orang-orang Islam Melayu yang berada di bandar dihalau secara halus di atas nama pembangunan bandar, bahkan dirancang lagi untuk menguasai bandar-bandar besar yang dapat disaksikan, dibaca dan didengar dengan nyata.
Tegasnya tidak menjadi salah sikap sayang kepada bangsa masing-masing, tetapi janganlah kasih sayang itu dijadikan ideologi dan akidah terbuka untuk memusuhi Islam dan marahkan perpaduan umatnya.
“Islam Memimpin”
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 8 Rejab 1440 / 15 Mac 2019 - HARAKAHDAILY 15/3/2019

Lihat sebelum ini..

E-Buku IH-118: Siri Politik Islam Masakini -Presiden PAS

E-Buku IH-118: Siri Politik Islam Masakini -Presiden PAS

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails