Sunday, July 23, 2017

Militan Diarah Serang Singapura, Asia Timur

militan
JAKARTA – Kumpulan pengganas di Marawi, Filipina yang dipimpin pejuang Indonesia di Syria, Bahrumsyah dipercayai sedang merancang untuk melancarkan serangan di Singapura dan Asia Timur.
Bahrumsyah yang juga antara warga Indonesia terawal menyertai militan pada 2014 kini masih berada di Syria.
“Operasi Marawi dibiaya pusat Daesh dan mendedahkan rangkaian beroperasi dari Syria melalui Filipina hingga ke Indonesia.
“Pemberontak Marawi mencetus inspirasi kepada ekstremis muda rantau Asia Tenggara menyertai perjuangan mereka,” lapor Institut Analisis Polisi dan Konflik.
Laporan itu turut memberi amaran konflik mampu cetus serangan ganas di bandar Filipina lain, Indonesia dan Malaysia, demikian dipetik akhbar The Straits Times.
Difahamkan, mesej di aplikasi Telegram itu menggesa serangan dilancarkan di Singapura, Thailand, Myanmar, Korea Selatan, Jepun dan China.
Sementara itu di MANILA, Kongres Filipina akan mengadakan sesi khas bagi mengundi sama ada melanjutkan tempoh pemerintahan tentera di Marawi atau sebaliknya, dalam usaha menangani serangan bersenjata militan Islam di wilayah itu.
Bagaimanapun, Presiden Rodrigo Duterte yakin hasratnya menyambung pemerintahan tentera di wilayah bergolak itu hingga akhir tahun ini, akan mendapat sokongan anggota kongres negara itu.
Agensi berita AFP melaporkan pihak tentera berkata, ketika ini ada kira-kira 60 kumpulan dipengaruhi perjuangan militan Daesh berada di Marawi yang mempunyai keluasan 49 hektar.
Duterte menegaskan pemerintahan tentera perlu diteruskan bagi membolehkan usaha pembinaan semula bandar itu, selain memastikan pertempuran tidak merebak.
Pada 23 Mac lalu, Duterte menguatkuasakan pemerintahan tentera 60 hari di Mindanao, tempoh yang dibenarkan perlembagaan Filipina, beberapa jam selepas tentera bersenjata memulakan pemberontakan.
Isnin lalu, beliau memohon Kongres melanjutkan perintah itu hingga akhir tahun ini, selain meneruskan penggantungan perlindungan perlembagaan terhadap penangkapan tanpa waran. – mStar Online

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails