Friday, January 27, 2017

Gong Xi Fa Cai! -PAS Setiu.



SETIU: Seramai 20 keluarga dari masyarakat kaum Cina dan Siam di sekitar Dewan Undangan Negeri Jabi disantuni oleh pemimpin PAS Setiu sempena sambutan Tahun Baru Cina, petang tadi.

Timbalan Yang Dipertua PAS Setiu, Dr Azman Ibrahim ketika ditemui usai program agihan hamper dan limau di sekitar Kampung Renek dan Pekan Jabi berkata, masyarakat Cina dan Siam di Jabi agak unik kerana Tahun Baru Cina disambut bersama oleh 2 bangsa yang berlainan ini.

"Keunikan dan rasa bersama ini wujud lantaran perkahwinan campur yang berlaku antara mereka menjadikan kehidupan mereka dekat antara satu sama lain," ujarnya.

Dr Azman yang juga merupakan Pengarah Majlis Tindakan Dun Jabi menjelaskan lagi, walaupun masyarakat Cina dan Siam mewakili kurang dari 1% penduduk Jabi, tetapi mereka tak dipinggirkan.

Malah, katanya mereka hidup sebagai sebahagian dari masyarakat setempat dalam kegiatan sosioekonomi.

"Tak pelik di sini bila orang Cina dan Siam ada nama Melayu sebagai panggilan mesra seharian," tambahnya.

Program tahunan anjuran Lujnah Dakwah PAS Setiu itu juga turut mengunjungi 2 wanita keturunan Cina yang telah memeluk Islam dan berkahwin dengan penduduk setempat.

Turut hadir Ketua Lujnah Dakwah PAS Setiu, Ustaz Zulbhari Abdul Rahman.

Rata-rata masyarakat Cina dan Siam yang dikunjungi menyambut baik serta mengucapkan terima kasih atas keprihatinan pimpinan PAS hadir ke rumah mereka bertanya khabar.

Seorang warga Siam yang dipanggil Mahmud di kalangan penduduk setempat begitu teruja dengan kunjungan rombongan pimpinan PAS ini dan berkali-kali dia mengucapkan terima kasih.

Kenalan Mahmud ramai di kalangan orang Melayu. Apatah lagi keluarganya telah menjadi warga Jabi sejak zaman datuk nenek mereka lagi dan Mahmud juga memang lahir di Kampung Renek, Jabi. - HARAKAHDAILY 

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails