Tuesday, January 24, 2017

'Datuk'' & 3 Pegawai Kanan Felda Ditahan Songlap RM47.6Juta?

4 Pegawai Kanan Felda Ditahan Songlap Projek Ikan

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan empat individu termasuk seorang bergelar ‘Datuk’ daripada sebuah GLC kerana dipercayai menyalahgunakan kedudukan untuk kepentingan sendiri.

Mereka yang ditahan ialah Pengarah Besar Felda yang bergelar Datuk, 57; Timbalan Pengarah Besar (Sumber Strategik) Felda, 53; Head of London Properties, Felda, 38; dan pegawai Projek Sturgeon, 30.

Menurut sumber, kesemua suspek tersebut disyaki terlibat dalam penyelewengan projek Pemindahan Teknologi Penternakan Ikan Sturgeon bernilai sebanyak AS$10 juta (kira-kira RM47.6 juta) sejak tahun 2014.
Difahamkan, pada Januari 2013 lalu, satu mesyuarat telah diadakan berhubung projek ikan tersebut.


Bagaimanapun, lembaga pengarah telah meminta suspek yang berusia 53 tahun itu untuk menyediakan laporan terperinci berhubung pelaburan projek tersebut untuk dibentangkan kepada lembaga pengarah. 
Namun, suspek tanpa pengetahuan Lembaga Pengarah, Bahagian Perundangan dan Bahagian Kewangan telah menubuhkan Felda Carviative Sdn. Bhd. (FCSB) pada Januari 2014.
Dia kemudian telah menandatangani satu perjanjian dengan sebuah syarikat penternakan ikan Sturgeon di Korea Selatan yang bernilai AS$45 juta(RM146.25 juta).
Siasatan awal SPRM mendapati, projek itu malah tidak mendapat kelulusan daripada Jabatan Alam Sekitar, Negeri Pahang dan pembayaran mula dibuat kepada syarikat Korea tersebut seminggu selepas FCSB ditubuhkan.
Menurut sumber itu lagi, disebabkan unit kewangan juga di bawah pengurusannya, suspek setakat ini telah meluluskan kira-kira AS$10 juta(RM46.5 juta) daripada dana Felda untuk pembayaran kepada syarikat Korea tersebut melalui FCSB tanpa pengetahuan dan kelulusan lembaga pengarah sebelum menandatangani perjanjian.
Perjanjian kontrak bagi pelaksanaan projek ikan Sturgeon yang ditandatangani itu meliputi pelaksanaan Technology Transfer Service Agreement (FCSB) dan Design and Build Construction Agreement (DBCA).
Perjanjian tersebut dipercayai telah ditandatangani oleh suspek bergelar ‘Datuk’ dan suspek berusia 53 tahun yang juga merupakan Pengarah FCSB.
Kesemua suspek ditahan di beberapa lokasi di sekitar Lembah Klang di antara jam 11.30 pagi sehingga 1.30 petang menerusi Op Caviar yang dilancarkan oleh SPRM.
Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Simi Abd. Ghani ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan berkata, pihaknya telah merampas dokumen-dokumen berhubung projek tersebut yang dipercayai dapat membantu siasatan SPRM.
Kesemua suspek terbabit dijangka dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya pada Rabu untuk permohonan reman. – Agensi

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails