Friday, January 27, 2017

Cadang Teksi Motosikal Sebagai Teksi Mini -Datuk Ab Aziz Kaprawi



PETALING JAYA: Kementerian Pengangkutan mencadangkan perkhidmatan teksi motosikal, Dego Ride supaya beroperasi sebagai teksi mini kerana ia merupakan pendekatan lebih sesuai dari segi keselamatan.
Timbalan menterinya, Datuk Ab Aziz Kaprawi berkata, penggunaan motosikal lebih berisiko di mana penumpang terdedah kepada kemalangan, selain faktor cuaca sekiranya hujan.
Menurut Ab Aziz, jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya melepasi 7,000 angka kematian pada 2016 berbanding beberapa tahun sebelum ini.
Dilaporkan, kira-kira 60 peratus daripada semua kemalangan jalan raya melibatkan penunggang motosikal.
"Kerajaan tidak mengeluarkan lesen kepada perkhidmatan teksi motosikal kerana ia tidak mempunyai ciri keselamatan dan kita berusaha untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.
"Oleh itu, saya mencadangkan kepada pengendali Dego Ride supaya mengubah pendekatan yang lebih baik dengan beroperasi sebagai teksi mini.
"Saya menyarankan Dego Ride supaya berbincang dengan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) untuk mentransformasikan teksi motosikal kepada teksi mini," katanya kepada mStar Online.
Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai kunjungan Ketua Pegawai Eksekutif Pengendali Dego Ride, MyInteractive Lab Sdn Bhd, Nabil Feisal Bamadhaj ke pejabatnya di Kementerian Pengangkutan, Putrajaya pada petang Khamis.
Ab Aziz berkata, kerajaan berusaha untuk mengurangkan penggunaan motosikal seiring dengan negara-negara maju dan bandar-bandar besar di dunia.
"Kita mahu menjadikan Malaysia lebih maju. Lihat London, Tokyo, New York dan Singapura, mereka tidak mempunyai teksi motosikal. 
"Kita tidak mahu ke belakang menggunakan teksi motosikal di Kuala Lumpur, sebagaimana yang diamalkan di Bangkok dan Jakarta," katanya.
Beliau menambah, ibu negara turut memperkenalkan pelbagai pilihan pengangkutan awam selain teksi seperti transit aliran ringan (LRT), monorel, KTM Komuter dan transit aliran massa (MRT).
Malah katanya, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor juga mencadangkan sekatan terhadap motosikal jenis 'kapcai' bagi mengurangkan pelepasan karbon yang mengakibatkan pencemaran udara.
Mengenai teksi mini, Ab Aziz berkata, ia boleh dilaksanakan bagi perkhidmatan dalam jarak dekat, seperti dari stesen LRT ke kediaman pengguna.
"Kos penyelenggaraan teksi mini lebih murah yang lebih baik buat pengusaha dan sudah tentu tambangnya lebih murah untuk pengguna," katanya sambil menambah kereta Perodua Axia antara yang sesuai digunakan sebagai teksi mini kerana enjinnya berkapasiti rendah di bawah 1,500cc.
Ditanya mengenai tindakan terhadap Dego Ride yang beroperasi tanpa lesen, Ab Aziz berkata: "Saya sudah arahkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk ambil tindakan pemantauan dan Dego Ride perlu menyelesaikan hal ini dengan SPAD."
Sementara itu, Nabil yang juga Pengasas Dego Ride memberitahu mStar Online bahawa pertemuan singkat bersama Ab Aziz selama setengah jam itu masih belum mencapai kata putus, tetapi masing-masing berkongsi pendapat mengenai perkhidmatan teksi di negara ini.
Antara lain beliau menjelaskan kepada Ab Aziz mengenai Dego Ride memberi peluang kepada individu terutama golongan berpendapatan rendah untuk menjana pendapatan di samping menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam lebih murah kepada masyarakat, lebih-lebih lagi ketika kesesakan lalu lintas.
Mengenai keselamatan, Nabil berkata, terdapat perlindungan insurans untuk penumpang dan motosikal akan diperiksa terlebih dahulu dari segi usia, keadaan dan penyelenggaraannya.
"Bakal pemandu teksi motosikal juga akan diperiksa latar belakangnya selain cukai jalan dan insurans bagi memastikan mereka tidak mempunyai rekod kesalahan lalu lintas dan jenayah. 
"Kita mahu mereka yang berhemah dan berpengalaman sahaja untuk membawa penumpang," katanya.
Menurut Nabil, beliau akan mengadakan pertemuan dengan SPAD untuk berbincang mengenai mekanisme terbaik dalam menjalankan perkhidmatan teksi motosikal.
Selasa lalu, Ab Aziz pada sidang media mengumumkan bahawa setakat ini kerajaan tidak mengeluarkan lesen kepada perkhidmatan mengambil penumpang menggunakan motosikal.
Menurut surat kepada timbalan menteri pengangkutan, Dego Ride menyediakan perkhidmatan perkongsian penumpang berdasarkan tiga kilometer (km) dari stesen LRT atau stesen bas ke rumah atau sebaliknya.
Perkhidmatan Dego Ride yang bermula November lalu boleh ditempah menerusi aplikasi WhatsApp, dengan kadar tambang dari RM2.50 untuk 3km pertama, dan caj 60 sen dikenakan bagi setiap km seterusnya. (IH)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails