Tuesday, August 09, 2016

KWSP, 13,000 Tukar Dalam Masa 3 Jam.

 RIBUAN pencarum KWSP bersesak di ibu pejabat KWSP, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur semalam untuk beralih kepada skim Simpanan Shariah.
KUALA LUMPUR – Skim Simpanan Shariah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang dibuka pendaftarannya bermula semalam di seluruh negara mendapat sambutan luar biasa apabila ribuan pencarum bersesak dan sanggup beratur panjang sehingga ke luar pejabat KWSP untuk mendapatkan dana RM100 bilion yang diperuntukkan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Shahril Ridza Ridzuan, dalam tempoh tiga jam sahaja iaitu setakat pukul 11 pagi semalam, sudah lebih 13,000 pencarum menukar skim simpanan mereka daripada Simpanan Konvensional kepada Simpanan Shariah.
“Pembukaan pendaftaran bagi Simpanan Shariah hari ini (semalam) merupakan yang bersejarah untuk KWSP dengan sambutan yang amat meng­galakkan.
“Kami amat sukacita kerana berjaya memenuhi permintaan ahli semasa Rundingan Awam tahun lalu untuk mewujudkan pilihan simpanan persaraan diuruskan berlandaskan syariah,” katanya selepas mengumumkan pembukaan pendaf­taran skim Simpanan Shariah di ibu pejabat KWSP, Jalan Raja Laut di sini semalam.
Katanya, skim Simpanan Shariah akan dimulakan pada Januari 2017 dan dibuka kepada ahli KWSP tanpa mengira bangsa dan agama.
Sementara itu, Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) menggesa pencarum beragama Islam merebut peluang mendaftar dalam akaun Simpanan Shariah KWSP yang bermula semalam. 
Ia adalah usaha yang telah diperjuangkan oleh ramai pihak termasuk PAS selama ini bagi memastikan dana simpanan dan pelaburan majoriti rakyat Malaysia khususnya yang beragama Islam mematuhi piawaian Syari’ah.
Ia adalah usaha yang sangat baik untuk membantu para pencarum yang beragama Islam memilih jalan yang halal. Usaha ini merupakan perintis kepada perkembangan permodalan dana Syariah yang lebih baik lagi sepertimana yang pernah berlaku ketika penubuhan Bank Islam (1983) dan institusi takaful (1984). 
Berdasarkan kepakaran dan pelbagai kemudahan di Malaysia, tidak ada sebab inisiatif ini tidak wajar dilakukan malah ia boleh terus diperkembangkan lagi Oleh itu, DPPWP menyeru agar umat Islam khususnya segera mendaftar akaun Simpanan Shariah ini. 
"Sekiranya permintaannya terlalu tinggi, maka pihak kami mencadangkan agar KWSP meningkatkan saiz dana patuh Syari’ah kepada RM 200 bilion. Malah, praktis sebelum ini, lebih 45 peratus (RM 295 bilion) daripada jumlah aset pelaburan KWSP telah patuh Syari’ah. " 
Demikian kenyataan media dewan tersebut, Mohd Farkhan Md Zin, Naib K/Pemuda PAS W/Persekutuan.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails