Thursday, August 11, 2016

Jamil Khir Baharom: Jika Laksana Hudud, Perlembagaa Perlu Dipinda, 2/3 AP Setuju..

hudud

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Mejar Jeneral (B) Datuk Seri Jamil Khir Baharom mendapati MCA, Gerakan dan masyarakat bukan Islam masih mempunyai salah faham mengenai Rang Undang-Undang (RUU) yang dibawa oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Beliau menjelaskan, pembentangan usul RUU Persendirian iaitu Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 di Dewan Rakyat Mei lalu bukan hukum hudud. 

"Sekiranya negara kita ingin melaksanakan hukum hudud, Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda dan mesti menerima persetujuan daripada dua pertiga ahli parlimen. RUU Persendirian itu cuma mahu meningkat dan memperkasa kedudukan mahkamah syariah dan tidak melanggar Perlembagaan Persekutuan," kata Jamil Khir ketika ditemu ramah oleh Sin Chew Jit Poh.

Beliau turut menafikan RUU Persendirian itu adalah 'kunci' untuk melaksanakan hukum hudud di negara kita.

"Mahkamah syariah sudah sekian lama diwujudkan di negara kita, namun kenapa sebelum ini tidak ada orang mendakwa ia dibuka adalah tujuan untuk melaksanakan hudud hukum?"

Jamil Khir berkata, mahkamah syariah tidak ada kuasa untuk menjatuhkan sebarang kesalahan membabitkan kanun jenayah yang dikendalikan oleh mahkamah sivil. 

"Contohnya kes curi dan merompak. Kedua-dua ini telah dimasukkan ke dalam kanun jenayah dan tidak mungkin ada hukuman potong tangan atau kaki.
"Sesiapa sahaja yang melakukan kesalahan ini, sama ada orang Islam ataupun bukan Islam akan diuruskan oleh mahkamah sivil," katanya. 

Beliau berharap masyarakat Cina jangan bimbang kerana kuasa mahkamah syariah hanya dikenakan pada orang Islam sahaja dan tidak menjejaskan hak asasi bukan Islam.

"Kalau bukan Islam hendak minum arak, tidak sembahyang, itu adalah hak mereka. Kalau bukan Islam melakukan kesalahan, mereka akan diadili dalam mahkamah sivil," katanya. (SH)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails