Friday, July 01, 2016

Kes Rasuah G/Eng, Pas Berprinsip Politik Islam

Oleh:
Afnan Hamimi Dato' Taib Azamudden
Penahanan Lim Guan Eng, Pas Kekal Berprinsip!
PRINSIP POLITIK ISLAM 

1. Mengikut prinsip Islam, seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah (presumption of innocence). Inilah keindahan syariat Islam yang sebahagiannya ditentang keras DAP dan rakan sekutunya. Prinsip dan syariat Islam ini sebenarnya terpakai kepada semua orang Islam, samada ketika berhadapan dengan orang Islam sendiri mahupun orang bukan Islam. 

Prinsip inilah yang dipegang PAS dalam berpolitik, samada ketika susah atau senang, ketika menang atau tewas, ketika berhadapan dengan kawan atau musuh, mahupun ketika DAP berseteru dengan PAS. Prinsip adil terhadap semua pihak ini merupakan sebahagian pelaksanaan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) yang dipraktikkan PAS. 


KES DSAI



2. Ketika Dato' Seri Anwar Ibrahim (DSAI) dituduh dengan kes liwat, PAS juga menyatakan bahawa DSAI tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah melalui proses perundangan syariah. Bahkan, PAS menerbitkan buku khas mengenai Qazaf bagi memahamkan masyarakat betapa perlunya kes DSAI disiasat dibawah perundangan syariah.


KES MB SELANGOR



3. Ketika krisis Menteri Besar Selangor yang tercetus daripada Langkah Kajang yang dirancang demi memuaskan nafsu politik kotor pihak tertentu, PAS mengambil sikap yang sama menyatakan Tan Sri Khalid Ibrahim (TSKI) tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah. PKR akhirnya akur dengan pendirian PAS ini apabila meminta maaf secara terbuka terhadap TSKI, setelah Langkah Kajangnya hanya tinggal langkah. 

Lanjutan isu tersebut, ketika pihak istana meminta PAS mengemukakan nama calon MB yang baru daripada PAS, PAS tetap mengemukakan nama Dato' Seri Azmin Ali sebagai salah seorang calon. Walaupun ketika itu PAS berhak mengemukakan calon daripada PAS sahaja. PAS bersikap adil terhadap PKR atas sifat ia rakan tahaluf PAS, walaupun peluang besar boleh digunakan oleh PAS ketika itu untuk menjadi MB.

KES PEMECATAN AHLI MAJLIS PAS P.PINANG

4. Di Pulau Pinang, ketika PAS masih berkawan dengan DAP, PAS mengambil sikap menyatakan bantahan terhadap pembangunan tanah (yang dilihat menindas rakyat) secara tertutup melalui penyerahan memorandum dan pertemuan empat mata Presiden PAS dengan Ketua Menteri Pulau Pinang. Presiden PAS tidak benarkan sesiapapun bersamanya dalam pertemuan beliau dengan Lim Guan Eng (LGE) di KOMTAR, demi memelihara hubungan sebagai kawan. 

Apabila tidak berhasil, PAS mengemukakan bantahan tersebut di medan muktamar tahunan PAS. Hasilnya, wakil PAS yang berucap dipecat serta-merta tanpa dipanggil membela diri. Wakil PAS tersebut membawa kes ini ke mahkamah bagi memohon semakan kehakiman. Walau bagaimanapun, mahkamah memutuskan tindakan pemecatan tersebut sah di sisi undang-undang. Walaupun terluka, PAS akur terhadap keputusan tersebut kerana berpegang kepada prinsip keadilan dan menghormati institusi mahkamah.

KES PELANTIKAN TERUS JKKK DIKALANGAN AHLI PAS

5. Apabila Kerajaan Negeri Pulau Pinang bertindak melantik secara terus ahli-ahli PAS Pulau Pinang dalam Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) tanpa melalui PAS, PAS menyatakan rasa tidak senang dengan keadaan tersebut kerana lantikan dibuat atas kapasiti parti, bukan individu. Lantikan atas kapasiti parti sewajarnya melalui organisasi PAS terlebih dahulu. 

PAS yang sepatutnya menyerahkan nama cadangan ahli untuk dilantik sebagai JKKK kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang, kerana PAS lebih mengetahui strategi dan keupayaan ahli-ahlinya. Rasa tidak senang tersebut disuarakan PAS di dalam mesyuarat Pakatan Rakyat Negeri Pulau Pinang yang dipengerusikan LGE (selaku Pengerusi PR) di KOMTAR. Namun apabila perbincangan mengenai JKKK ini diutarakan, LGE bertindak keluar daripada mesyuarat bersama semua wakil DAP yang hadir. 

Ditinggalkan wakil PAS dan PKR sahaja untuk membincangkan agenda JKKK, tanpa LGE mempengerusikan mesyuarat dan menjadi orang tengah. Sikap berlepas tangan LGE ketika itu dihadapi oleh PAS dengan penuh berhemah, tidak mensensasikannya sebagai peluru yang menyerang rakan, kerana menjaga hubungan sebagai kawan. Situasi ini dilaporkan kepada pihak PAS Pusat untuk tindakan lanjut, dalam ruang lingkup hubungan PR (ketika itu).

6. Tidak cukup dengan itu, apabila PAS mengisytiharkan tahaluf siyasi dengan DAP terbatal, Kerajaan Negeri Pulau Pinang terus melantik ahli-ahli PAS memegang jawatan JKKK, walaupun PAS telah mengarahkan ahli-ahlinya meletakkan jawatan JKKK. Pelik juga, disaat DAP mendakwa Kerajaan Negeri tidak terjejas tanpa penyertaan PAS, ahli PAS pula terus dilantik memegang jawatan JKKK. 

Majoriti ahli PAS yang dilantik tersebut, akur dengan arahan PAS supaya meletakkan jawatan. Namun sebahagiannya mengambil pendirian berbeza, kerana dihidangkan kemudahan dan peruntukan. Walaupun begitu, PAS tetap bertegas bahawa PAS tidak boleh bersama dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang setelah terbatalnya tahaluf siyasi dengan DAP, walaupun PAS kehilangan sebahagian ahlinya di Pulau Pinang yang memilih untuk terus setia bersama DAP. 

PANDANGAN PAS TIDAK DIPEDULIKAN

7. PAS Pulau Pinang pernah menyatakan bantahan terhadap cadangan DAP untuk menggubal enakmen Pilihan Raya Kerajaan Tempatan. PAS Pulau Pinang juga membantah penggunaan istilah 'kesaksamaan gender' supaya digantikan dengan istilah 'keadilan gender' yang lebih menepati Islam. Kedua-dua perkara ini dibantah PAS ketika mesyuarat bersama DAP dan PKR untuk merangka manifesto PR Pulau Pinang bagi berhadapan dengan Pilihan Raya Umum ke-13. 

Namun, bantahan PAS tidak diendahkan, dua perkara yang dibantah PAS ini terus dilaksanakan. Walaupun demikian, sekali lagi PAS tidak mensensasikan perkara ini di media kerana memelihara hubungan kawan walaupun peluang terbentang luas. Sebaliknya PAS terus menggunakan saluran dalaman parti untuk terus menyatakan bantahan.

PAS TETAP MEMBANTAH

8. Semua bantahan-bantahan ini telah dibuat oleh PAS melalui wakilnya di dalam agensi-agensi kerajaan negeri yang berkaitan, mahupun di dalam pertemuan-pertemuan dengan pemimpin kerajaan negeri ketika PAS masih bersama PR di Pulau Pinang. 

Bantahan ini dibuat mengikut salurannya kerana sikap adil PAS terhadap rakan, tetap menyatakan kebenaran Islam walaupun kepada rakan. Setelah PAS tidak lagi bersama dalam PR di Pulau Pinang, barulah PAS bertindak menyuarakan bantahan secara terbuka khasnya di dalam isu pembangunan tanah di Pulau Pinang. 

KEJAHATAN DIBALAS KEBAIKAN

9. Walaupun demikian PAS diperlakukan di Pulau Pinang, diserang bertubi-tubi oleh LGE dan sekutunya, PAS tetap berpegang kepada prinsip keadilan politik Islam. Dalam isu pendakwaan LGE yang terkini, Presiden PAS tetap menegaskan bahawa LGE tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah. 

Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang Ust Mohd Fauzi Yusof juga meminta supaya LGE diberikan hak dan ruang untuk membela diri di mahkamah. PAS berpegang kepada prinsip membalas kejahatan dengan kebaikan seperti yang ditegaskan Presiden PAS di dalam ucapan penangguhan Muktamar PAS baru-baru ini, berdasarkan ayat 33-35 surah al-Fussilat. 

PENUTUP

10. Inilah bezanya politik yang berlandaskan kepada prinsip Islam bertuhankan Allah SWT berbanding dengan politik yang bergelumangkan nafsu serakah tamak kuasa bertuhankan akal. Akal menilai bahawa PAS akan rugi dan musnah dengan pendekatan berprinsip begini. 

Kepada yang bertuhankan akal, silakan dengan telahan yang kononnya bijak tinggi melangit. Namun sejarah dan pengalaman membuktikan bahawa yang berprinsip pasti menang, yang bertuhankan akal tersungkur ke bumi!

PRINSIP POLITIK ISLAM

Afnan Hamimi Dato' Taib Azamudden
25 Ramadhan 1437H / 30 Jun 2016
#InilahPenyelesaianKita
#BertekadMelebarMuafakat

4 comments:

Anonymous said...

Allah bagi akal untuk berfikir, jgn jadi tak berakal. Cakap tak serupa bikin.

Monkey Shooter said...

Prinsip sangatlah parti munafik (PAS) kamu tu..? Dulu UMNU kapir sekarang UMNU yang zalim tu kamu junjung dan segala kemungkaran yang dilakukannya kamu sokong. Itu ajelah hujah anak kepala Imam yang tak tahu hujung pangkal cerita parti sendiri ibarat manusia baru keluar dari gua.

Anonymous said...

Kah kah kah ....... jgn mare bro monkey ! Habis tu kau nak suruh rakyat percaya bhw tuan tokong kamu tu corrupt dan khianat ? Ini tidak adil ! Sanggup kau tuduh tuan galu tokong kamu yg suci tu jahat ! Astaga ! Tak kan perangai hang pa dah jadi macam nama hang pa !

Anonymous said...

Tuan tuan lebai dan walaun walaun sekelian jgn lah perasan kamu golongan yg baik dan suci seperti Yahudi yg mengaku bagai nak gila perasan tuhan meredhai mereka, jaga lah perkataan dan akhlak lah kamu

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails