Wednesday, June 29, 2016

Gempar! Guan Eng Didakwa.. Komtar Seolah Dikepung.



GEORGE TOWN: Suasana pejabat kerajaan di Komtar bertukar gempar apabila sekumpulan anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masuk ke Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.

Dalam kejadian sekitar 4.50 petang tadi, empat anggota SPRM memasuki Bilik Gerakan di tingkat 28 bangunan, yang menempatkan pejabat Lim Guan Eng.
FMT belum dapat mengesahkan tujuan kedatangan mereka setakat ini.

Beberapa minit sebelum itu, tiga anggota polis berpakaian biasa daripada balai polis Komtar menempatkan diri mereka di pintu masuk alternatif pejabat itu yang telah di bahagian timur bangunan. Beberapa individu dipercayai anggota Cawangan Khas dikesan berlegar di ruang legar berhampiran lif.

Sementara itu, lebih ramai polis bermotor dan berkereta dikerah ke kawasan sekitar seolah-olah mengepung Komtar.





Spekulasi bertiup kencang bahawa Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng akan ditahan berhubung siasatan pembelian sebuah banglo yang didakwa di bawah harga pasaran.

Buat masa ini, wartawan serta jurugambar sedang berkumpul di bangunan Komtar kerana menjangkakan anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menangkapnya pada bila-bila masa.

Mereka juga menunggu di pejabat SPRM di Jalan Sultan Ahmad Shah.
Lim dikatakan sedang mempengerusi mesyuarat mingguan exco kerajaan negeri.

Pada 4 Mac lalu, Ahli Parlimen Tasek Gelugor Datuk Shabudin Yahya menuduh beliau membeli sebuah banglo pada harga RM2.8 juta yang didakwa jauh di bawah harga pasaran dan mengaitkannya dengan penjualan tanah kerajaan negeri di Taman Manggis kepada pemaju swasta.

Lim bagaimanapun sebarang kaitan dan berkata tanah berkenaan dijual melalui jawatankuasa tender terbuka yang dipengerusikan oleh setiausaha kerajaan negeri yang dilantik oleh kerajaan persekutuan.


Menurut Kanun Keseksaan, membeli hartanah di bawah nilai pasaran dianggap satu kesalahan bagi seorang penjawat awam.

Bekas Menteri Besar Selangor Dr Mohd Khir Toyo pernah dipenjarakan selama setahun bagi kesalahan yang sama.

Lim telah menafikan sekeras-kerasnya berhubung sebarang salah laku.
Katanya, beliau membeli rumah atas dasar kerelaan kedua-dua pihak dan pemilik banglo itu yang juga adalah seorang ahli perniagaan Phang Li Khoon tidak pernah menerima sebarang kontrak daripada kerajaan negeri. (TKO)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails