Tuesday, July 05, 2016

Doktor Ditembak Ketika Ke Masjid, Inilah AS Yang Perkauman.

 AGENSI - GAMBAR menunjukkan Madrasah Islamah di Houston, Texas kelmarin.
HOUSTON, Texas – Seorang doktor beragama Islam yang menuju ke sebuah masjid untuk menunaikan solat Subuh ditembak oleh tiga lelaki dalam satu insiden kelmarin, kata polis.
Motif serangan masih tidak jelas, tetapi ia berlaku sehari selepas seorang lelaki Islam dibelasah di luar sebuah masjid di Florida.
Mangsa, Dr. Arslan Tajammul, 30-an, seorang pakar mata, telah menjalani pembedahan dan dijangka selamat, menurut Pengarah Eksekutif Majlis Perhubungan Islam-Amerika (CAIR) cawangan Houston, Mustafaa Carroll.
Arslan terselamat daripada kecederaan organ dalaman dan dijangka pulih sepenuhnya, walaupun dia kini masih ditempatkan di unit rawatan rapi hospital di Houston lewat kelmarin, kata pegawai polis Houston, Muzaffar Siddiqi.
Ketika kejadian, mangsa dikatakan telah meletakkan kereta dan berjalan untuk masuk ke masjid Madrasah Islamah apabila diserang dan ditembak sebanyak dua kali oleh tiga penyerang yang berjalan kaki kira-kira pukul 5.30 pagi (waktu tempatan).
“Serangan ini pelik kerana masjid itu terletak dalam kejiranan miskin, manakala mereka (penyerang) memakai topeng,” kata Mustafaa.
Sementara itu, Muzaffar pula berkata, siasatan masih dijalankan dan menggesa masyarakat agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung insiden tersebut.
“Kami masih tidak tahu,” kata Muzaffar kepada agensi berita Reuters ketika dihubungi melalui telefon sambil menambah, motif serangan mungkin rompakan.
Tembakan itu berlaku sehari selepas seorang lelaki beragama Islam dibelasah di luar sebuah masjid di Florida yang turut dikunjungi oleh Omar Mateen, lelaki yang membunuh 49 orang di kelab malam di Orlando bulan lalu. – Reuters
Komen Weblog Ibnu Hasyim: Inilah AS yang perkauman.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails