Thursday, May 05, 2016

P'raya Presiden AS, Trump Laluan Mudah. Tetapi..














AP - DONALD Trump bersama isterinya, Melania (kanan) dan anak perempuannya, Ivanka (kiri) semasa mengadakan sidang akhbar di New York kelmarin.
NEW YORK – Laluan bilio­nair, Donald Trump untuk menjadi calon Parti Republikan pada pilihan raya Presiden Amerika Syarikat (AS), November ini luas terbuka selepas pesaingnya, Senator Ted Cruz membuat keputusan untuk berundur, lapor akhbar Guardian kelmarin.
Senator Texas itu menamatkan kempennya kelmarin selepas kalah teruk kepada Trump dalam pengundian parti atau kaukus di Indiana, sementara di pihak Parti Demokrat pula, Se­nator Vermont, Bernie Sanders menewaskan bekas Setiausaha Negara AS, Hillary Clinton.
Keputusan Cruz itu memudahkan lagi laluan Trump untuk menjadi calon Parti Republikan.
Trump menang 53.3 peratus undi di Indiana berbanding 36.6 peratus oleh Cruz. Bilionair berumur 69 tahun itu kini mempunyai 1,047 daripada 1,237 delegasi minimum yang diperlukan bagi merebut pencalonan partinya.
Cruz sebelum ini merupakan pencabar terakhir Trump yang mampu menggugat kedudukannya. Namun, selepas meletakkan harapan tinggi untuk menang di Indiana, perkara sebaliknya berlaku kepada senator tersebut.
Dalam ucapan kemenangannya, Trump memuji pesaing terdekatnya itu.
“Saya tidak tahu sama ada beliau menyukai saya ataupun tidak. Namun, beliau merupakan pesaing yang hebat. Beliau mempunyai masa depan yang menakjubkan,” kata Trump.
Menurut Trump, beliau akan menyatukan Parti Republikan. Bilionair itu juga menafikan situasi bahawa beliau tidak disukai oleh pengundi wanita, penduduk kulit hitam dan masyarakat Latin AS.
“Kita akan menang, kita akan menang dalam pilihan raya November ini dan kita akan menang besar,” katanya.
Trump juga membayangkan beliau akan mencabar Clinton berhubung isu perdagangan dan kehilangan pekerjaan rakyat AS kepada negara asing.
“Beliau (Clinton) tidak memahami isu perdagangan, manakala suaminya pula menandatangani perjanjian dagangan paling teruk di dunia, Nafta,” kata Trump.
Pesaingnya, Cruz pula berundur selepas memenangi 565 delegasi dan 11 negeri di AS termasuk kaukus pertama di Iowa pada Februari lalu. Walaupun mendapat sokongan pengundi konservatif dan golongan yang berpegang teguh kepada agama Kristian, beliau gagal menambah bilangan penyokongnya dan mematahkan serangan Trump yang kerap mengejeknya sebagai “Cruz si penipu”.
Dalam ucapan penuh emosi kepada penyokongnya di Indianapolis, Cruz berkata: “Dari awal lagi saya menyatakan bahawa saya akan terus bertanding selagi laluan kemenangan terbuka tetapi pada malam ini saya meminta maaf kerana laluan ini sudah tertutup”.
Pengunduran Cruz meninggalkan Gabenor Ohio, John Kasich sebagai calon tunggal yang bersaing dengan Trump.
Ketua strategi kempen Kasich, John Weaver memberitahu akhbar Guardian bahawa ahli politik mempunyai prinsip konservatif yang kukuh, manakala pandangannya senada dengan kepimpinan Parti Demokrat.
Menurutnya, Kasich akan meneruskan saingan untuk menentang Trump dalam kempen merebut pencalonan Parti Republikan.
Kasich bagaimanapun tidak bertanding di Indiana susulan pakatannya dengan Cruz. Beliau sehingga kini hanya menang di negerinya, Ohio. Dalam satu kenyataan yang dihantar kepada media awal kelmarin, Kasich berikrar akan meneruskan saingannya melainkan terdapat calon yang memperoleh 1,237 delegasi sebelum konvensyen atau perhimpunan Parti Republikan bertempat di Arena Quicken Loans, Ohio bermula pada 18 hingga 21 Julai ini.
Dalam saingan Parti Demokrat pula, Sanders membuat kejutan apabila mengalahkan Clinton dengan 52.5 peratus undi berbanding 47.5 peratus.
“Kem Clinton berpendapat kempen saya (untuk merebut pencalonan Parti Demokrat) telah berakhir. Mereka silap,” kata Sanders.
Beliau juga mempunyai peluang baik untuk mencatat kemenangan serupa dalam kaukus Parti Demokrat di West Virginia, 10 Mei ini dan Oregon seminggu kemudian sebelum pertembungan terakhir pada bulan depan di California yang memiliki imbuhan terbesar iaitu 546 de­legasi.
Namun, sebelum kaukus di Indiana, Clinton sudah mendahului Sanders dengan kelebihan 300 delegasi dan memerlukan cuma 200 delegasi lagi untuk mewakili Parti Demokrat pada pilihan raya AS nanti. – Agensi

\

AFP - CHAUDHRY (tengah) tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Gandhi di New Dehi, India pada 26 April lalu.



Menteri Pakistan selar Trump ‘jahil’
Islamabad: Menteri Dalam Negeri Pakistan, Chaudhry Nisar Ali Khan menyelar Donald Trump sebagai “jahil” selepas pendahulu calon pilihan raya Presiden Amerika Syarikat (AS) daripada Parti Republikan itu berjanji akan membebaskan doktor yang membantu menjejaki Osama bin Laden sekiranya beliau menduduki White House.
Chaudhry berkata, kerajaan Pakistan dan bukannya Trump akan menentukan nasib doktor berkenaan, Shakeel Afridi yang dipenjara lima tahun selepas program vaksinasi palsunya digunakan Agensi Perisikan Pusat (CIA) untuk menjejaki dan membunuh ketua rangkaian Al-Qaeda itu.
Beliau bercakap kelmarin sebagai mengulas wawancara Trump di saluran berita Fox News pada Jumaat lalu apabila bilionair itu mendakwa beliau akan mengeluarkan Shakeel dari penjara “dalam masa dua minit” sekiranya dipilih sebagai Presiden AS.
“Saya akan memberitahu mereka, bebaskannya (Shakeel) dan saya pasti mereka akan membebaskannya kerana kita (AS) memberikan bantuan yang banyak kepada Pakistan,” kata Trump.
Pakistan memiliki sejarah sebagai antara penerima terbesar bantuan AS. Islamabad menerima bantuan AS$633 juta (2.4 bilion) pada 2015 dan berbilion-bilion dolar lagi sejak beberapa dekad lalu.
Chaudhry, bagaimanapun berkata, ‘kacang’ yang diberikan AS kepada Pakistan sepatutnya tidak digunakan untuk mengugut atau memaksa negara itu supaya mengikut telunjuk Trump berkaitan dasar luarnya yang silap.
“Pakistan bukan sebuah koloni AS,” katanya sambil menambah, komen Trump membuktikan bahawa beliau bukan sahaja tidak sensitif tetapi jahil tentang Pakistan.
Shakeel dituduh mempunyai hubungan dengan kumpulan militan dan dihumban ke dalam penjara selepas kematian Osama dalam serbuan komando AS di bandar Abottabad pada 2 Mei 2011.
Dia didapati menguruskan prog­ram pelalian palsu bagi mendapatkan sampel DNA daripada penduduk bandar itu yang digunakan CIA bagi menjejaki Osama. – AFP

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails