Friday, May 06, 2016

Jihad Muzik AlFarabiBand, Serampang 2 Mata.


DARI kiri: Fazrina, Mohd. Nazri, Ahmad Nasie, Aswady dan Kamarul Ariffin akan menghiburkan peminat AlFarabiBand pada Jihad Music The Gig di Talent Lounge Damansara Perdana, Petaling Jaya, Selangor petang esok.

HALAMAN HIBURAN
SELAIN berhibur, peminat dan penggiat seni muzik tanah air juga berpeluang untuk beramal.
Misi serampang dua mata itu akan terlaksana dengan menyaksikan Jihad Music The Gig di Talent Lounge Damansara Perdana, Petaling Jaya, Selangor petang esok.
Pemain gitar kumpulan AlFarabiBand, Kamarul Ariffin Borhan Nordin, 34, berkata, sebahagian daripada hasil jualan tiket akan disalurkan kepada satu tabung kerja amal, Kengkawanproject.
“Objektif persembahan ini adalah untuk mengumpulkan peminat dan penggiat seni muzik tanah air bagi menonton satu penampilan eksklusif kumpulan AlFarabiBand dan jemputan khas, Shamsudin Ali atau lebih dikenali sebagai Sam daripada kumpulan Cromok.
“Di samping membeli tiket dan menonton satu persembahan yang unik, sebahagian daripada hasil jualan tiket akan disalurkan kepada sebuah pertubuhan kebajikan,” katanya kepada Kosmo! di Kuala Lumpur baru-baru ini.
AlFarabiBand yang dianggotai, Fazrina Ghazali (pemain bass), Mohd. Nazri Alias (pemain gitar), Ahmad Nasie Mohd. Nawawi (vokalis), Aswady Ahmad (pemain dram) dan Kamarul Ariffin (pemain gitar) merupakan sebuah kumpulan yang mengetengahkan muzik progresif metal dalam menyampaikan mesej-mesej berunsur perjuangan serta motivasi.
Kumpulan itu ditubuhkan pada 2009 dan beroperasi di Shah Alam, Selangor. Keunikan kumpulan itu ialah mereka mempunyai peminat daripada pelbagai golongan termasuk ahli korporat dan pelajar universiti.
Ini kerana muzik yang dibawa sesuai dengan trend masa kini dan mesej pada lirik-lirik lagu mereka berunsur motivasi Islamik dan ilmiah.
AlFarabiBand pernah menjadi kumpulan ikon dalam salah satu program anak muda, Battle of The Band anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Kamarul berkata, mereka memilih jihad muzik sebagai tema kerana jihad bermaksud bersungguh-sungguh dalam membuat sesuatu perkara berlandaskan peraturan dan syariat.
“Pelaksanaannya perlu dibuat sehabis baik dan maksimum. Nilai-nilai ini telah diterapkan dalam aktiviti muzik kami.
“Kami memaksimumkan tiga elemen penting iaitu muzik yang bertenaga dan berwawasan, mesej yang jelas dan bermotivasi serta imej yang kemas, berprinsip dan mengkombinasikan unsur klasik mahupun moden seperti serban, tudung dan jaket,” katanya.
Berkolaborasi
Tambahnya lagi, mereka memilih untuk berkolaborasi dengan Sam kerana beliau merupakan vokalis merangkap pemain bass kumpulan Cromok iaitu sebuah kumpulan thrash metal yang popular pada penghujung 1980-an.
Sehingga kini, dia masih lagi mempunyai ramai peminat tegar di seluruh negara.
Ujar Kamarul: “Kami mempunyai sebab tersendiri untuk memilih dia berkolaborasi dalam album single kami iaitu Form Mula dan artis jemputan semasa persembahan Jihad Music The Gig nanti.”
Dalam pada itu, Sam yang kali terakhir tampil bersama Cromok pada persembahan pembukaan untuk konsert Metallica di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 2013 berkata, dia menerima jemputan AlFarabiBand selaku vokalis tambahan untuk meningkatkan persembahan mereka.
“Sesetengah orang mungkin melihat ia sebagai satu peluang, manakala orang lain menganggapnya untuk mengukur keupayaan diri.
“Pada masa yang sama, saya mahu mengenali secara lebih dekat ‘misteri’ yang dimiliki AlFarabiBand ini.
“Siapa mereka, di mana arah muzik mereka, apa yang mendorong mereka untuk memperjuangkan muzik ini dan sebagainya. Secara jujurnya, ramai orang bercakap mengenai AlFarabiBand tetapi tidak ramai yang mengenalinya secara lebih dekat,” kata Sam.
Dia berkata, persembahan itu mempunyai banyak matlamat, antaranya mengeratkan silaturahim sesama ahli kumpulan dan peminat, media dan masyarakat umum.
Bagaimanapun, matlamat utama adalah untuk mengukur sejauh mana konsep AlFarabiBand diterima oleh pihak media, masyarakat dan industri muzik.
“Maklum balas daripada persembahan ini akan memberi jawapan yang amat berguna kepada kami. Kami mengharapkan maklum balas yang membina daripada semua pihak.
“Tidak semua maklum balas adalah positif dan tidak semuanya akan mencerminkan masa depan AlFarabiBand tetapi ia akan menjadi satu penanda aras,” katanya.
AlFarabiBand dijangka mendendangkan kira-kira 15 lagu pada persembahan anjuran bersama Kengkawanproject dan Alternate Steps itu selepas kumpulan D’Fender dari Melaka membuat persembahan pembukaan.
Tiket berharga RM60 (tempahan awal) dan RM70 (pada hari persembahan) boleh didapati dengan menghubungi talian 019-3515 153 (Faie) dan 012-6743 515 (Roll) atau Facebook, KengkawanProject. (IH/Kosmo!)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails