Saturday, April 16, 2016

M'sia Digesa Pertahan Dr Yusuf al-Qaradawi Dari Waran Tangkap Interpol.

SHAH ALAM: Beberapa badan bukan kerajaan Islam di negara ini mendesak Kerajaan Malaysia bersuara mempertahankan ulama terkemuka dunia, Dr Yusuf al-Qaradawi yang kini berdepan waran tangkap dikeluarkan Polis Antarabangsa (Interpol) berdasarkan permintaan Kerajaan Mesir.
Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Abdullah Zaik Abd Rahman berkata, ini peluang kepada Malaysia menyuarakan pendirian mewakili suara dunia yang menolak penindasan terhadap Islam.
“Sebagai negara Islam, Malaysia perlu bersatu bersama kerajaan lain, contohnya Turki yang dilihat tegas mengutuk penindasan terhadap Islam,” katanya, lapor Sinar Harian.
Dalam Notis Merah dikeluarkan Interpol, 4 Disember lalu, al-Qaradawi, 88, yang juga Presiden Kesatuan Ulama Islam Antarabangsa dikatakan berdepan tuduhan ‘merestui, menghasut dan membantu melakukan pembunuhan sengaja, membantu banduan melarikan diri, pembakaran, vandalisme dan mencuri’ di negara asalnya, Mesir.
Notis Merah bermaksud individu itu perlu dicari dan ditahan untuk dikenakan tindakan undang-undang.
Abdullah Zaik berkata, Mesir menyalahgunakan saluran undang-undang selepas cubaan memburukkan imej gerakan Ikhwanul Muslimin yang mempunyai kaitan dengan al-Qaradawi gagal.
“Di Mesir, wujud gerakan melabelkan Ikhwanul Muslimin sebagai gerakan militan. Tetapi mereka (Kerajaan Mesir) gagal berbuat demikian apabila hasil tinjauan mendapati hanya 20 peratus rakyat negara berkenaan melihat gerakan tersebut sebagai sebuah gerakan militan,” katanya.
Beliau menyifatkan tindakan Mesir dan Interpol sebagai jenayah antarabangsa yang membunuh demokrasi Islam.
Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Muttaqa Asatizah dan Pendakwah Malaysia (Murshid), Dr Zaharuddin Abdul Rahman berkata, Notis Merah Interpol terhadap ulama terkemuka dunia itu merupakan penghinaan kepada Islam.
Menurutnya, al-Qaradawi merupakan ulama yang mempraktikkan kesederhanaan seperti yang dituntut Islam dalam menyebarkan dakwah kepada seluruh umat Islam dunia.
“Saya begitu kesal dengan tindakan Interpol menyenaraikan al-Qaradawi sebagai individu dikehendaki tanpa melakukan siasatan terperinci terlebih dahulu.
“Mereka (Interpol) dilihat mengikut telunjuk Kerajaan Mesir yang menggunakan undang-undang sebagai alat mengekang pengaruh ulama,” katanya.
Beliau turut mengutuk tindakan Mesir menabur fitnah mendakwa al-Qaradawi sebagai ekstremis dan menggalakkan pembunuhan berlaku secara berleluasa.
Timbalan Presiden Persatuan Belia Islam Nasional (Pembina), Azril Hanafi berkata, tindakan Interpol menyenaraikan al-Qaradawi sebagai individu yang dikehendaki merupakan sebahagian daripada perang antarabangsa terhadap gerakan Ikhwanul Muslimin.
“Al-Qaradawi sentiasa menyatakan sokongan peribadi terhadap gerakan berkenaan terutama di Mesir.
“Pendirian Interpol ini juga dilihat lebih teruk daripada pendirian Mesir yang telah membuang beliau (al-Qaradawi) dari negara itu dan mengharamkannya pulang ke tanah air,” katanya.
Azril turut meminta Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengutuk tindakan Mesir dan Interpol dan membela al-Qaradawi.
“Perpaduan dan kesepakatan negara-negara Islam sekali lagi teruji dengan rancangan menjauhkan golongan ulama daripada masyarakat umum,” katanya.
Pengerusi Yayasan Rights, Yusmadi Yusoff pula berkata, Malaysia perlu segera mengusulkan bantahan terhadap kerajaan Mesir supaya menarik balik waran tangkap ke atas al-Qaradawi yang dikeluarkan Interpol bagi pihak negara itu.
Katanya, bantahan itu penting kerana al-Qaradawi adalah suara tegas yang lantang menolak pendekatan pelampau agama pada ketika dunia kekurangan tokoh untuk berdepan dengan cabaran ekstremisme agama seperi militan IS.
“Maka mempertahankan Dr Yusuf al-Qaradawi daripada dizalimi oleh regim zalim Mesir adalah sama seperti kita melakukan tanggungjawab kita untuk mempertahankan suara sederhana warga dunia menentang regim tidak demokratik.
“Al-Qaradawi merupakan simbol suara demokrasi ulung yang berusaha keras membentuk dunia yang demokratik terutama di Timur Tengah,” katanya dalam satu kenyataan, semalam. (FMT)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails