Wednesday, February 03, 2016

Buang Kuasa Autonomi, PKR Hina Rakyat S'wak?

ZuraidaKamaruddinImigresen
Disebabkan dirinya tidak dibenarkan memasuki Sarawak, Ketua Wanita PKR Pusat Zuraida Kamaruddin telah mengeluarkan kenyataan yang ‘menghina’ rakyat Sarawak sehingga menyebabkan rakyat Sarawak marah kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR).
“Apabila pembangkang mengambil alih kerajaan, parti akan memastikan mengubah undang-undang berkenaan (menghapuskan keistimewaan Imigresen) kerana tidak adil kepada rakyat Malaysia”, katanya kepada akhbar tempatan Sarawak.
Kenyataan Zuraida itu sangat bahaya kerana jika pembangkang berjaya mentadbir negara, nescaya 18 Perkara yang dimiliki Sarawak selama ini akan terhapus dan penurunan kuasa pentadbiran (kuasa autonomi) yang diusahakan Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Adenan Satem selama ini akan sia-sia sahaja.
Akibatnya, kebanyakan rakyat Sarawak meluahkan rasa kecewanya di media sosial dan kedai-kedai kopi berhubung sikap Ketua Wanita PKR itu yang seolah-olah mempertikaikan kuasa yang dimiliki Sarawak seperti mana dalam 18 Perkara dan merupakan sebahagian daripada kuasa autonomi yang dimiliki Kerajaan Negeri Sarawak.
Zuraida berkata demikian ketika kedatangannya hanya dibenarkan di terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) selepas tiba di Kuching pada Jumaat lepas bagi bertemu dengan calon-calon Wanita PKR Sarawak.
Beliau yang tiba di Kuching dengan penerbangan Malindo pada jam 11.20 pagi tidak dibenarkan memasuki Sarawak. Jabatan Imigresen Sarawak kemudiannya menguruskan penerbangan balik Zuraida Kamaruddin ke Kuala Lumpur pada jam 3.05 petang dengan pesawat Air Asia.
Ini sekaligus mengundang kepada isu-isu keselamatan yang mana Sarawak akan terdedah kepada anasir-anasir jahat yang selama ini cukup dijaga oleh Kerajaan Negeri Sarawak daripada merebak ke Sarawak.
Pengharaman Zuraida ke Sarawak adalah mengikut Seksyen 65 (1) (a) Akta Imigresen 1959/63 seperti mana yang pernah diterima Naib Presiden PKR, Nurul Izzah awal Disember lepas.
Keistimewaan Akta Imigresen ini tertakluk kepada Perkara 6 Imigresen di dalam 18 Perkara yang dipersetujui semasa penyertaan Sarawak dan Sabah dalam pembentukan Malaysia;
‘Kawalan Imigresen ke atas penghijrahan dari luar ke Borneo Utara sepatutnya memerlukan persetujuan Kerajaan Negeri’.
Sebelum ini, Zuraida pernah menulis surat kepada Ketua Menteri Sarawak yang disampaikan Timbalan Presiden PKR yang juga Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamad Azmin Ali ketika kunjungan hormatnya ke Sarawak pada awal tahun lepas.
Kronologi pengharaman Zuraida ke Sarawak bermula Mac 2014 apabila beliau dihalang memasuki Sarawak di Lapangan Terbang Sibu dalam usahanya membantu PKR dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Balingian.
Pada November tahun yang sama, beliau sekali lagi dihalang memasuki negeri ini ketika menghadiri mesyuarat persediaan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang di pengerusikan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim di Sarawak. (klxpress.com.my –)

1 comment:

Anonymous said...

Tak payah dok dlm Msia lah swak ni kalau rakyat sendiri pun tak blh masuk swak. Bingai punya undeng2

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails