Friday, January 29, 2016

11 Langkah Penstrukturan Dan Pengubahsuaian Bajet 2016 -Datuk Seri Najib


PUTRAJAYA, – Berikut ialah 11 langkah penstrukturan dan pengubahsuaian Bajet 2016 yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga Menteri Kewangan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya hari ini.
Langkah-langkah ini dijangka menjimatkan kerajaan sehingga RM9 bilion dalam perbelanjaan mengurus dan pembangunan.
Langkah ke-1: Pengurangan potongan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pekerja sebanyak tiga peratus mulai Mac ini sehingga Disember 2017, walau bagaimanapun caruman majikan dikekalkan.
Langkah ini dijangka meningkatkan perbelanjaan penggunaan swasta sehingga RM8 bilion setahun.
Langkah ke-2: Pelepasan khas cukai sebanyak RM2,000 diberikan kepada pembayar cukai individu berpendapatan RM8,000 sebulan ke bawah untuk tahun taksiran 2015.
Walaupun kerajaan hilang hasil sebanyak RM350 juta, langkah ini memberi penjimatan bayaran cukai kepada individu sehingga RM475 seorang dan memanfaatkan dua juta pembayar cukai.
Langkah ke-3: Mengurangkan kos harga barang keperluan harian rakyat melalui enam tindakan iaitu: 

  • Liberalisasi kawalan kuota import atau AP bagi lapan produk pertanian terpilih untuk tempoh sementara bagi memastikan bekalan yang konsisten.
  • FAMA akan membuka pasar belian terus hasil pertanian atau MyFarm Outlet yang menjual barang makanan seperti ikan, ayam, daging, sayuran dan buah-buahan dengan harga jualan lima hingga 20 peratus lebih rendah daripada harga pasaran.
Outlet pertama akan dibuka di Presint 7, Putrajaya pada Mac dan akan diperluaskan ke 10 lokasi di seluruh negara tahun ini.

  • Jumlah Kedai Harga Patut akan ditingkatkan daripada 640 buah kedai kepada 1,000 buah.
  • Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan akan tingkatkan penguatkuasaan serta mengambil tindakan ke atas peniaga-peniaga yang tidak beretika dan mengambil keuntungan berlipat ganda.
  • Tambahan tunai sebanyak RM50 bagi setiap satu tan metrik padi bersih sebagai insentif input pengeluaran padi.
  • Setiap keluarga miskin tegar yang berdaftar dibekalkan dengan 20 kilogram beras setiap bulan sehingga Disember 2016 menerusi program MyBeras yang bertujuan mengurangkan bebanan hidup keluarga miskin.
Langkah ke 4: Menguatkuasakan peraturan penjualan rumah berharga sehingga RM300,000 terhad kepada pembeli rumah pertama sahaja dengan serta-merta.
Untuk projek Perumahan Rakyat yang berharga RM35,000, Bank Simpanan Nasional dan Bank Rakyat menawarkan pakej pembiayaan pada kadar empat peratus dengan dana berjumlah RM400 juta mulai 1 Mac ini, yang akan memanfaatkan lebih 10,000 pemilik rumah.
Lebih 100,000 unit rumah pula akan ditawarkan di bawah program Jelajah Ekspo Pemilikan Rumah Bersepadu oleh Jabatan Perumahan Negara, Syarikat Perumahan Negara Berhad, Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia, agensi negeri dan sektor swasta.
Langkah ke-5: Sumbangan 30 peratus daripada levi Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) atau lebih dikenali sebagai levi HDRF berjumlah RM200 juta akan disediakan untuk meningkatkan kompetensi dan kemahiran menerusi inisiatif ‘reskill’ dan ‘upskill’ termasuk pekerja yang telah diberhentikan.
Langkah ke-6: Bagi meningkatkan jumlah dan kecekapan kutipan hasil, sebanyak enam langkah akan diambil iaitu:

  • Menggandakan usaha pematuhan dan pengauditan terhadap pengelak cukai
  • Melonggarkan penalti kepada pembayar cukai bagi menggalakan pembayar cukai tampil melaporkan pendapatan tahun ke belakang sebelum 31 Dis ini.
  • Penstrukturan semula saluran jualan rokok dan minuman keras di Pulau Bebas Cukai dengan mengehadkan hanya kepada kedai-kedai bebas cukai yang dilesenkan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), yang akan mengurangkan kehilangan hasil hampir RM1 bilion.
  • Mengetatkan pengecualian cukai kenderaan import di Pulau Bebas Cukai, namun langkah penstrukturan semula jualan rokok, minuman keras serta kenderaan tidak akan melibatkan penduduk tempatan dan pelancong di pulau tersebut.
  • Mengoptimakan pendapatan daripada spektrum telekomunikasi melalui agihan semula dan proses bidaan yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat.
  • Membangunkan beberapa kawasan strategik milik kerajaan melalui proses bidaan bagi merancakkan lagi kegiatan ekonomi.
Langkah ke-7: Memperkemas sistem pengurusan pekerja asing dengan kadar levi akan diklusterkan kepada dua kategori sahaja, dan ini tidak termasuk kategori pembantu rumah asing.
Selain melaksanakan Program Penggajian dan Penempatan Semula Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) untuk memberi peluang kepada PATI yang bekerja secara haram di negara ini diberikan permit kerja yang sah. Ini adalah bagi memenuhi permintaan industri dan pemantaun keselamatan.
Langkah ke-8: Merasionalisasi pemberian geran Tabung Amanah Kerajaan, Badan Berkanun Persekutuan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta menyusun semula entiti merangkumi Company Limited By Guarantee dan badan berkanun.
Langkah ke-9: Fokus perbelanjaan pembangunan diberi kepada projek yang memberi kepentingan kepada rakyat, kesan berganda tinggi, kandungan import rendah dengan projek fizikal seperti rumah mampu milik, hospital, sekolah, jalan raya dan pengangkutan awam serta keselamatan diutamakan.
Pelaksanaan projek bukan fizikal dan projek yang masih di peringkat kajian akan dijadual semula dan langkah ini dijangka melibatkan pengurangan komitmen aliran tunai sehingga RM5 bilion, dan tidak menjejaskan ekonomi rakyat.
Langkah ke-10: Institusi kewangan pembangunan (DFI) dan dana modal teroka (VC) milik kerajaan akan menambah dana pembiayaan mereka sebanyak RM6 bilion dalam menyediakan pembiayaan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan syarikat permulaan.
Langkah ke-11: Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta disaran melaksanakan inisiatif mengurangkan jurang pendapatan pengurusan atasan dan golongan pekerja secara berperingkat dan akan dipantau oleh Unit Perancangan Ekonomi (EPU) – BERNAMA

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails