SHAH ALAM - Penganalisis politik meramalkan jawatan Presiden Pas yang disandang Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan dicabar dalam muktamar tahunan Pas tahun ini. Geostrategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Dr Azmi Hassan berkata, nama yang dilihat paling berpotensi mencabar Abdul Hadi adalah timbalan presiden, Mohamad Sabu.

“Dalam apa yang digelar golongan profesional dalam Pas, Mohamad paling lantang bersuara dan dilihat kurang sealiran dengan Abdul Hadi.
“Jadi, golongan profesional ini akan mengangkat seseorang yang dikenali ke hadapan dan yang boleh mendapatkan sokongan daripada ahli Pas,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, berdasarkan politik dalaman yang dilalui Pas kini, boleh dikatakan semua jawatan dalam parti akan dicabar sama ada oleh golongan profesional atau ulama.

“Kalau kita lihat, mereka berani mengkritik presiden dan golongan ulama secara terbuka. Jika dahulu jarang dilihat situasi ini berlaku.
“Jadi saya merasakan setiap jawatan dipertandingkan. Tiada istilah menang tanpa bertanding,” katanya.

Namun, katanya, Abdul Hadi akan terus kekal menjawat jawatan presiden walaupun dicabar oleh Mohamad kerana Presiden Pas itu mempunyai pengaruh akar umbi yang kuat. Beliau turut percaya jawatan timbalan presiden akan dicabar oleh golongan ulama, dengan nama Naib Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menjadi pilihan utama.

Demikian lapor Sinar Harian sebentar tadi.

Sementara itu, pandangan sama turut dikongsi Dekan Pusat Pengajian Antarabangsa Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani.

“Dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh kedua-dua golongan dalam Pas, memang akan ada persaingan dalam pemilihan, terutama jawatan presiden,” katanya.

Katanya, Mohamad juga dilihat berkemungkinan besar mencabar jawatan Abdul Hadi.

“Walau siapa pun yang mencabar jawatan presiden, golongan itu tetap akan datang daripada golongan profesional yang jelas tidak sebulu dengan golongan ulama. 
“Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa juga berpotensi mencabar jawatan itu kerana kini dilihat dia juga agak menonjol dalam golongan profesional,” katanya.

Kata Mohd Azizuddin, jawatan timbalan presiden juga diramalkan akan turut dicabar oleh Tuan Ibrahim dan beberapa pemimpin lain seperti seorang lagi naib presidennya, Salahuddin Ayub.

“Saya jangkakan golongan profesional akan menguasai pemilihan kali ini kerana dilihat mereka makin dominan dalam Pas,” katanya. (IH/SH)