Thursday, February 19, 2015

Myanmar Darurat, Di Kokang. Berdepan B/Parti Komunis Burma?


AFP - SEKUMPULAN penduduk yang melarikan diri dari zon konflik dekat sempadan China tiba di sebuah kem pelarian sementara di Lashio, utara Myanmar semalam. 

KUNLONG – Presiden Myanmar, Thein Sein mengisytiharkan darurat dan melaksanakan pemerintahan tentera selama tiga bulan di rantau Kokang, timur negara berkenaan, menurut media tempatan kelmarin.

Perkembangan itu susulan pertempuran yang tercetus sejak 9 Februari lalu antara tentera Myanmar dan gerila etnik Kokang iaitu Tentera Penyatuan Demokratik Nasional Myanmar (MNDAA).

Akhbar Global New Light of Myanmar melaporkan, sekurang-kurangnya 47 askar pemerintah dan 26 pejuang MNDAA terbunuh sejak tarikh itu, manakala beribu-ribu penduduk melarikan diri, sama ada ke kawasan lain di Myanmar atau merentasi sempadan menuju ke China.

Kelmarin, sekumpulan penyerang tidak dikenali bertindak menembak dan mencederakan dua orang dalam satu konvoi mengandungi tujuh kenderaan milik Pertubuhan Palang Merah Myanmar.

Seorang saksi berkata, semasa diserang konvoi itu sedang mengangkut orang awam yang menjadi pelarian akibat pertempuran di Laukkai, dekat sempadan.

“Kami belum pernah menghadapi serangan seperti ini,” kata jurucakap Palang Merah, Shwe Cin Myint.
“Inilah yang pertama,” tambahnya.

Pemerintah Myanmar menyalahkan MNDAA berhubung serangan itu. Pertempuran berterusan itu mendapat tumpuan pemerintah China yang bimbang kemasukan beramai-ramai pelarian Kokang ke dalam wilayahnya.

MNDAA merupakan sebahagian daripada bekas Parti Komunis Burma yang disokong oleh China. Parti itu memerangi tentera Myanmar sebelum berpecah pada 1989. – Reuters

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails