Thursday, January 22, 2015

Nik Abd Aziz Tambah Sihat, Mampu Solat Subuh. Sultan Lawat..

Nik Abdul Aziz Nik Mat  Nik Abdul Aziz Nik Mat
Sultan Kelantan berkenan melawat Nik Abdul Aziz di Wad 2 Delima, HUSM, Kubang Kerian malam kelmarin. 

SHAH ALAM - Kesihatan bekas Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bertambah baik sejak hari pertama beliau mendapatkan rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Jumaat lalu.

Memetik laporan sebuah portal, Mursyidul Am Pas itu berkata, beliau jatuh sakit mungkin kerana faktor usia dan juga salah makan. Namun jelasnya, beliau hanya menerima rawatan biasa di hospital berkenaan, tidak sepertimana yang heboh diperkatakan.

"Selepas berada di sini selama beberapa hari, Alhamdulillah, saya berasa lebih baik," beliau dipetik sebagai berkata.

Nik Aziz dimasukkan ke HUSM Jumaat lalu selepas mengadu kesihatannya terganggu. Pemimpin Pas itu dijangka dibenarkan keluar wad dalam masa terdekat dan meminta orang ramai mendoakan kesihatannya. Nik Aziz dalam pada itu turut terkilan dengan pihak yang menyebarkan gambar beliau yang sedang terlantar di hospital.

 "Tidak ada apa-apa yang luar biasa mengenai keadaan saya, ianya hanyalah satu rutin biasa bagi pemeriksaan kesihatan," katanya lagi.

Dalam pada itu, isteri Nik Aziz, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak berkata, gambar yang disebarkan melalui laman sosial tersebut merupakan gambar 10 tahun lalu di mana Nik Aziz disahkan berada dalam keadaan kritikal dan menerima rawatan di hospital.

Gambar itu tersebar sejak beberapa hari lalu di media sosial termasuk di blog. Dalam pada itu Tuan Sabariah turut mengucapkan terima kasih kepada semua pimpinan yang telah menziarahi Nik Aziz.

“Terima kasih juga kepada semua yang mendoakan kesejahteraan Tuan Guru,” ujarnya.

Sementara itu, Kosmo! melaporkan di Kota Bharu, keadaan kesihatan bekas Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, 84, bertambah baik apabila dilaporkan sudah sedar dan mampu menunaikan solat Subuh. Nik Abdul Aziz juga sempat mengambil sarapan dan minum pagi sendiri pagi semalam.

Anak beliau, Nik Mohammad Abduh berkata, beliau bersyukur kerana bapanya kini semakin stabil dan boleh bercakap.

“Alhamdulillah, beliau pagi ini (semalam) telah menunjukkan respons yang begitu baik. Beliau dapat minum air serta bercakap. Banyak juga air teh O yang diteguknya.
“Bapa juga sempat bertanyakan sejak bila dia tidak sedarkan diri,” katanya ketika ditemui di luar pekarangan Wad 2 Delima, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian di sini semalam.

Nik Mohammad Abduh memberitahu, pihak doktor turut meminta ahli keluarga menderma darah sebagai persediaan jika keadaan memerlukan. (IH)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails