Wednesday, January 21, 2015

IS Culik 2 Warga Jepun Pula..


SEORANG lelaki menonton paparan berita mengenai dua tebusan Jepun yang ditawan IS di sebuah kedai barangan elektronik di Tokyo semalam. 

TOKYO – Kumpulan militan Islamic State (IS) mengancam untuk membunuh dua tebusan warga Jepun melainkan ­Tokyo membayar wang tebusan AS$200 juta (RM722 juta) dalam tempoh 72 jam, kata kumpulan militan itu dalam satu klip video yang disiarkan semalam.

Rakaman tersebut memaparkan seorang lelaki berpakaian hitam memegang sebilah pisau berdiri di antara dua tebusan itu yang memakai sut berwarna oren. Kedua-dua warga Jepun itu dilihat melutut di hadapan ka­mera.

“Anda kini mempunyai masa 72 jam untuk memberi tekanan terhadap kerajaan Jepun supaya membuat keputusan bijak dan membayar sebanyak AS$200 juta (RM722 juta) bagi ­menyelamatkan nyawa rakyat–nya,” kata militan itu dalam bahasa Inggeris.

Menurut militan berkenaan, wang tebusan itu sebagai pampasan kepada bantuan bukan ketenteraan yang dijanjikan oleh Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe bagi menyokong kempen memerangi IS semasa lawatannya ke Asia Barat. Sementara itu, kerajaan Jepun berkata, pihaknya sedang me­lakukan siasatan mengenai ancaman tersebut.

“Kami menyedari mengenai laporan itu. Kami sedang berbincang dan menyiasat kebenaran video itu,” kata seorang pegawai kementerian luar Jepun.

Seorang tebusan tersebut pernah muncul dalam rakaman IS yang disiarkan pada Ogos lalu dengan memperkenalkan dirinya sebagai Haruna Yukawa. Tebusan kedua, Kenji Goto yang merupakan seorang wartawan bebas dan mempunyai sebuah syarikat penerbitan, Independent Press di sini..
Goto dilahirkan di Sendai, Miyagki pada tahun 1967, menurut laman web syarikatnya. – AFP

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails