Wednesday, January 28, 2015

IS Kalah? Kurdis/AS Kuasai Semula Kobani..

SEKUMPULAN penduduk Kurdis menari di sebatang jalan raya di Istanbul, Turki bagi meraikan kejayaan pejuang YPG menguasai semula Kobani kelmarin. 

ISTANBUL – Pejuang Kurdis dilaporkan berjaya menguasai semula Kobani di Syria selepas mengusir militan kumpulan Islamic State (IS) di bandar berkenaan kelmarin, kata sebuah badan pemantau. Bandar yang terletak di sempadan Turki tersebut dianggap sebagai antara tumpuan utama serangan udara tentera bersekutu yang diketuai Amerika Syarikat terhadap IS.

Militan IS hampir menguasai bandar berkenaan selepas melancarkan serangan dengan menggunakan senjata berat pada tahun lalu dan menyebabkan beratus-ratus ribu penduduk yang majoritinya kaum Kurdis melarikan diri.

Badan Pemantau Syria untuk Hak Asasi Manusia berkata, Unit Perlindungan Rakyat Kurdis (YPG) berjaya menawan semula Kobani dan sedang mara ke pinggir bandar di bahagian barat di mana militan IS menanam periuk api sebelum melarikan diri.

“Saya boleh melihat bendera YPG berkibar di Kobani dan beberapa buah jet pejuang terbang melintasi bandar itu,” kata seorang penduduk Turki daripada kaum Kurdis, Tevfik Kanat.

Kanat berkata, dia dan beberapa penduduk termasuk pelarian dari Kobani bergegas ke kawasan sempadan apabila mengetahui Kobani berjaya ditawan semula oleh YPG.

“Mereka menari dan menyanyi sambil membakar bunga api. Semua berasa lega dengan perkembangan terbaharu tersebut,” katanya melalui telefon.

Bagaimanapun, beberapa mesej di Twitter milik penyokong IS memberitahu bahawa perjuangan mereka belum berakhir. Washington pula dalam satu kenyataan menegaskan pertempuran selama empat bulan di bandar berkenaan masih belum tamat.
“Saya belum bersedia untuk mengumumkan mereka (YPG) telah memenangi pertempuran.
“Pertempuran masih lagi berlanjutan tetapi saya percaya YPG mempunyai momentum,” kata jurucakap tentera AS, Steve Warren.
– Reuters

1 comment:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails