Tuesday, January 27, 2015

200 Juta Manusia Berhijrah Ke Bandar Di Asia Timur - Bank Dunia


Bandar Guangzhou, China telah mengatasi Tokyo sebagai kawasan perbandaran paling besar di dunia sama ada dari segi saiz mahupun populasi.

SINGAPURA: Sekurang-kurangnya 200 juta manusia telah berhijrah atau bermastautin di kawasan bandar di Asia Timur dalam tempoh sepuluh tahun yang lalu sehingga 2010, demikian menurut data yang dikeluarkan oleh Bank Dunia pada Isnin.

Daripada jumlah itu, 36 peratus adalah melibatkan penduduk-penduduk di Asia Tenggara dan Timur Laut Asia. Jumlah ini meningkat dari hanya 29 peratus sepuluh tahun yang lalu, kata Bank Dunia lagi.

Data terbaru ini menurut Bank Dunia sepatutnya akan dapat membantu para perancang bandar merancang kawasan perbandaran mereka dengan lebih teliti dengan mengambil kira bagaimanapun mereka dapat membantu meningkatkan taraf hidup golongan miskin yang kini merupakan jumlah terbanyak yang berhijrah ke kawasan perbandaran untuk mencari kehidupan baru.

“Untuk pertama kali, data yang dikeluarkan oleh Bank Dunia ini membuat perbandingan pertumbuhan kawasan perbandaran dengan populasi yang semakin meningkat dalam bentuk yang konsisten di seluruh Asia Timur sekaligus memberikan gambaran yang lebih jelas kepada kerajaan tempatan dan perancang bandar perspektif dan pemahaman yang sebenar mengenai bentuk dan skail pertumbuhan supaya mereka dapat merancang dengan lebih tepat sekaligus membentuk peluang yang lebik saksama kepada semua,” kata laporan tersebut.

Data yang dikumpulkan oleh Bank Dunia itu juga menunjukkan kawasan perbandaran di Asia Timur berkembang pada kadar 2.4 peratus setahun dalam tempoh sepuluh tahun tersebut dengan kawasan bandar mencecah 134,800 kilometer persegi secara purata pada tahun 2010.

Populasi bandar pula meningkat lebih pantas iaitu pada kadar 3 peratus. Di Asia Timur sahaja terdapat 869 kawasan bandar dengan jumlah penduduk melebihi 100,000 orang, termasuk lapan “bandar raya mega” dengan populasi mencecah lebih 10 juta orang pada 2010.

Lembah Mutiara China iaitu Guangzhou, Shenzhen, Foshan dan Dongguan, telah mengatasi Tokyo sebagai kawasan bandar terbesar dunia sama ada dari segi saiz mahupun populasi. Sehingga 2010, Bank Dunia menyebut bahawa terdapat 42 juta penghuni mendiami Lembah Mutiara China ini iaitu mengatasi jumlah penduduk Argentina, Kanada atau Malaysia.

Pakar Pembangunan Bandar Bank Dunia, Abhas Jha berharap, laporan ini akan membantu meningkatkan kesedaran di kalangan pembuat polisi dalam kerajaan tempatan, daerah dan wilayah agar menumpukan fokus kepada pembangunan manusia di dalam strategi jangka panjang mereka khususnya di bandar-bandar seperti Jakarta dan Bangkok.

“Kesesakan lalu lintas di bandar-bandar besar seperti Jakarta dan Bangkok memerlukan satu pandangan baru dalam pendekatan pembangunan bandar,” katanya sambil menambah sistem pengangkutan awam yang lebih efisien boleh jadi salah satu penyelesaian kepada isu perbandaran di masa hadapan. (mStar)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails