Sunday, January 25, 2015

Abby Terharu Dapat Lawat TG Nik Aziz

KOTA BHARU: Kesihatan bekas Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bertambah baik jika dibandingkan pada awal beliau dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).

Anak beliau, Nik Omar Nik Abdul Aziz ketika ditemui Harakahdaily di HUSM pagi ini berkata keadaan kesihatan ayahnya menunjukkan peningkatan yang baik.

"Kesihatan Tok Guru menunjukkan peningkatan yang baik jika dibandingkan sebelum ini.
"Beliau boleh makan seperti biasa walaupun dalam kuantiti yang sedikit, malah beliau bernafas seperti biasa tanpa menggunakan alat bantuan penafasan," katanya.

Namun katanya, kanser prostat yang dihadapi Tuan Guru Nik Aziz berada pada tahap 4 dan memerlukan pemantauan daripada pihak hospital.

"Kadang kala beliau boleh berbual dan mengenali mereka yang datang melawat, cuma dalam keadaan sekarang beliau perlu berehat sepenuhnya.
"Kita doakan yang terbaik untuk ayahanda agar dikembalikan kesihatannya," sambung beliau lagi.

Sementara itu, bekas pelakon Abby Abadi yang turut mengunjungi Mursyidul Am PAS itu berkata, beliau sebak ketika bersempatan melawat Tuan Guru Nik Aziz.

"Hari ini saya berkesempatan untuk melawat Tok Guru di HUSM, kemudian mendengar cerita daripada Nik Omar tentang keadaan Tok Guru - hampir menitis air mata terharu.
"Tak sampai 10 minit saya bertemu beliau kerana tidak mahu mengganggunya ketika itu, Tok Guru sempat mengangkat tangan apabila maklum akan kehadiran saya," katanya.

Menurut Abby lagi, walaupun sesekali Tok Guru memberi reaksi positif tetapi menurut anaknya, Nik Omar, ini merupakan keadaan yang agak tenat jika dibandingkan sebelum ini.

"Masuk ke dalam, meruntun hati apabila dapat melihat wajah Tok Guru, jelas beliau dalam keadaan tidak selesa seakan hendak tidur tetapi tidak lena.
"Saya harap agar kita semu mendoakan Tok Guru dipanjangkan umur dan diberikan kesihatan yang baik," katanya lagi.

Abby yang turut mengucapkan terima kasih kepada Nik Omar dan keluarga kerana sudi memberi kebenaran kepadanya untuk melawat Tuan Guru Nik Aziz.

Harakahdaily akur dengan permintaan keluarga Tuan Guru Nik Aziz yang tidak membenar sesiapa melawat kecuali mendapat kebenaran keluarganya, namun tetap berpuas hati kerana masih dapat menatap wajah Tok Guru walaupun di sebalik pintu cermin. – HARAKAHDAILY 24/1/2015

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails