Friday, March 07, 2014

Tiada Peguam PM Jadi Pendakwa Dlm Komanwel, -N Surendran


 

PUTRAJAYA: Peguam N Surendran menegaskan tiada sebab yang membolehkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim disabitkan bersalah dalam tuduhan liwat.

Jelas beliau, mahkamah mesti membebaskan Anwar dan menolak rayuan pihak pendakwa yang diketuai oleh peguam peribadi Perdana Menteri, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

"Dalam sejarah Komanwel tidak pernah ada peguam peribadi Perdana Menteri yang terlibat di dalam kes digunakan sebagai pendakwa seperti mana berlaku sekarang.
"Ini telah memalukan negara apabila Shafie dibenarkan menjadi pendakwa dan mendakwa dalam kes ini.
"Imej kehakiman dan mahkamah negara terjejas kerana membenarkan peguam peribadi Perdana Menteri itu mengetuai pihak pendakwaan walaupun beberapa bantahan dibuat untuk menghalang beliau," jelas beliau yang juga Ahli Parlimen Padang Serai kepada media, semalam.

Beliau turut memberitahu keterangan yang berlangsung semalam tidak mempunyai asas yang kukuh untuk kerajaan membuat rayuan terhadap Anwar. Menurutnya lagi, persoalan turut timbul apabila hakim cuba mempercepatkan kes itu.

"Kita tidak bersetuju bila hakim cuba mempercepatkan kes ini, kita harap peluang sepenuhnya diberikan kepada peguam bela untuk berhujah dengan lebih rapi.
"Apa yang penting sekali, sekiranya kalau kerajaan serta Peguam Negara mempunyai integriti mereka perlu menarik balik rayuan tersebut dan mengembalikan imej kehakiman negara.
"Hari ini (semalam) yang dibicara bukan Anwar tetapi yang dibicara adalah sistem kehakiman negara," sambung beliau.

Naib Presiden PKR itu juga tidak menolak jika Anwar disabitkan kesalahan, beliau akan hilang kelayakan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang.

"Keputusan kita tidak tahu bila sama ada esok (hari ini) atau Isnin, jika beliau (Anwar) disabitkan bersalah, maka dia akan hilang kelayakan untuk bertanding," jelas beliau.

Rayuan bagi kes liwat II pada hari pertama yang selesai pada jam 6 petang semalam akan bersambung pagi ini. Panel Mahkamah Rayuan diketuai Hakim Balia Yusof Wahi bersama Aziah Ali dan Mohd Zawawi Salleh. (HD)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails