Tuesday, March 04, 2014

MoU Air, S'ngor Tidak Tertipu.. -Tony Pua (DAP)


KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Selangor telah menunjukkan sikap jiwa besar mereka apabila sedia bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan untuk menyelesaikan krisis air dengan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU ) minggu lalu.

Dengan MoU itu, Selangor telah pun menyatakan kesediaan untuk meluluskan penerusan pembinaan projek Langat 2, sementara semua kelulusan lain yang diperlukan seperti hak tanah, kebenaran akses dan permit lain hendaklah diberikan dalam tempoh 30 hari dari tarikh menandatangani MoU tersebut iaitu pada 25 Mac 2014.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua, berkata komitmen besar kini terletak di bahu Kerajaan Persekutuan untuk memenuhi syarat MoU yang dimeterai sekaligus menunjukkan keikhlasan mahu membantu rakyat Selangor.

"Paling penting, syarikat-syarikat konsesi air yang sedia ada Puncak Niaga Sdn Bhd, Syarikat Bekalan Air Selangor ( SYABAS ), Syarikat Pengeluar Air Selangor Holdings Bhd dan Kumpulan ABASS mesti bersetuju untuk menjual konsesi mereka kepada Selangor berdasarkan harga tawaran sebelum ini RM9.65 bilion.

"Jika Kerajaan Persekutuan gagal untuk memujuk syarikat konsesi ini untuk menerima tawaran di atas, maka ia perlu menjalankan semua kuasanya di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air (WSIA ), terutamanya menggunakan Fasal 114 untuk mengambil alih secara wajib syarikat-syarikat air berdasarkan model pampasan yang dinyatakan di dalam perjanjian konsesi," kata Pua.

Perjanjian MoU tersebut mensyaratkan syarikat-syarikat konsesi ini menjawab tawaran itu pada 10 Mac 2014, atau dalam masa kurang daripada seminggu.

Menurut Setiausaha Publisis DAP Kebangsaan itu juga, perjanjian itu adalah jelas bahawa kerajaan negeri Selangor telah menunjukkan muhibah dengan melepaskan langkah pertama, walaupun ramai pemimpin Pakatan Rakyat membantah kerana ragu dengan keupayaan Kerajaan Barisan Nasional untuk menunai janji-janji mereka.

"Keputusan kini berada di tangan Kerajaan Persekutuan untuk menunaikan tanggungjawab mereka pada 10 Mac," tegas beliau.

Bagaimanapun katanya, jika Kerajaan Persekutuan gagal menunaikan janji mereka dalam masa yang ditetapkan, kerajaan Selangor melalui Majlis Eksekutif dan Dewan Undangan Negeri Selangor mempunyai kuasa di bawah undang-undang negeri Selangor dan Perlembagaan Persekutuan untuk menafikan sebarang lesen kepada entiti Kerajaan Persekutuan yang berkaitan bagi maksud projek Langat 2.

Dengan kata lain, tanpa sebarang kelulusan tambahan, projek langat 2 masih tidak boleh diteruskan.

"Pentadbiran Pakatan Rakyat dan kerajaan Selangor tidak akan tertipu oleh Kerajaan Persekutuan.

"Kami tidak akan mengkhianati kepercayaan pengundi Selangor dan kami akan berjuang sepenuh tenaga untuk memastikan kepentingan rakyat Selangor dilindungi sepenuhnya," tegas beliau. (HD)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails