Thursday, December 06, 2012

K'tan Catat Sejarah,Kongres Islam Sedunia Berjaya.



KOTA BHARU: Kongres Islam Sedunia yang julung kali diadakan di Kelantan dianggap mencatat sejarah apabila berjaya diadakan selama lima hari membabitkan pembentangan lebih 80 kertas kerja. Berakhir petang tadi dengan menampilkan pembentangan hari terakhir oleh wakil-wakil dari UM, UKM, UNITEN, UTM, UIAM, Unisel, UMK, England, Pakistan dan sebuah syarikat berkaitan IT.

Manakala pesertanya daripada Thailand, Terengganu, Selangor dan kolej pengajian tinggi tempatan serta pegawai-pegawai kerajaan. Anggota Exco, Datuk Mohd Amar Abdullah menyifat kongres tersebut sebagai satu persidangan yang paling panjang pernah diadakan di negara ini.

“Ini seperti satu sidang akademik yang bersifat maraton. Bagi kerajaan negeri ia merupakan kali pertama diadakan dengan kehadiran begitu ramai cendikiawan dari seluruh dunia.
“Pada awalnya saya juga merasa agak bimbang dengan tempoh persidangan yang begitu panjang. Namun apa yang penting kita berjaya menghimpunkan ramai cendikiawan dan pemikir,” katanya pada perasmian penutup World Congres On Islamic Systems 2012 di sebuah hotel di sini.

Hadir sama anggota-anggota Exco, wakil-wakil rakyat dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan, Datuk Che Mohd Rahim Jusoh. Menurutnya persidangan bercorak akademik seumpama itu akan diadakan secara tahunan bagi menghasilkan penemuan atau kajian baru.

“Melalui seminar seperti ini setidak-tidaknya dapat membantu memperkemaskan lagi pentadbiran kerajaan negeri hasil daripada penyelidikan yang dijalankan pengkaji.
“Malah ada juga pembentang dari luar negara datang turut mengambil ksempatan untuk belajar dengan pengalaman Kelantan selepas lebih 22 tahun berada di bawah gerakan Islam,” ujarnya.

Timbalan Pengerusi program berkenaan, Zulkifli Mamat berkata, seminar tersebut tidak mudah untuk diadakan dan ia dirancang sejak setahun lalu.

“Program ini dianggap bukan yang terakhir dan diharap dapat diadakan lagi di sini pada tahun akan datang,” ujarnya. (Hrkh)

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails