Tuesday, December 04, 2012

256,899 Saman AES Sehingga 26 November


KUALA LUMPUR: Sebanyak 256,899 saman telah dikeluarkan sejak Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) beroprasi 23 September sehingga 26 November lalu. Dari jumlah itu, Selangor mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 142,809 saman dikuti Perak sebanyak 81,00, Putrajaya 22,876 dan Kuala Lumpur sebanyak 10,213 saman.

Saman tertinggi adalah melibatkan kesalahan memandu melebihi had laju iaitu sebanyak 243,545 saman diikuti kesalahan melanggar lampu isyarat sebanyak 13,354 saman. Perkara itu dijelaskan Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Rahim Bakri di Dewan Negara semalam sebagai menjawab soalan yang dikemukakan oleh Senator Khairiah Mohamed. Sehingga kini, AES telah dipasang di 14 lokasi di seluruh negara.

AES di kawasan 30km/j kekal

Selain jumlah itu, Khairiah juga turut mempersoalkan berhubung dengan kajian semula AES di kawasan had laju 30 kilometer sejam dan nortis amaran di lokasi-lokasi kamera AES. Dalam jawapannya, timbalan menteri itu berkata, setakat ini kerajaan tidak bercadang untuk mengkaji semula cadangan menguatkuasakan AES di kawasan had laju 30 kilometer sejam.

Katanya, pemilihan lokasi tersebut adalah dibuat berdasarkan kriteria yang teratur dan lokasi ini merupakan kawasan-kawasan sekolah di mana terdapat keperluan untuk menyediakannya
bagi melindungi kemalangan di kalangan murid-murid sekolah.

"Walau bagaimanapun, penguatkuasaan di  kawasan ini akan mengguna pakai kamera mudah alih dan dijalankan hanya pada waktu persekolahan sahaja," jelasnya.

Berhubung notis amaran pula, timbalan menteri itu berkata, notis telah dipasang dalam lingkungan dua hingga tiga kilometer bagi mengesan kesalahan memandu melebihi had laju., manakala bagi mengesan kesalahan melanggar lampu isyarat pula, notis amaran dipasang dalam lingkungan 50 hingga 500 meter. (IH)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails