Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin berucap merasmikan perhimpunan ketiga-tiga sayap secara serentak malam tadi. - Foto Sinar Harian oleh Safwan Mansor

KUALA LUMPUR - Timbalan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menggariskan tujuh rukun yang perlu diberi keutamaan oleh ahli-ahli Umno dalam memastikan kejayaan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13). Tujuh rukun yang digariskan beliau semasa menyampaikan ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung Umno di sini, petang ini ialah:

1. Patuh kepada pemimpin
2. Mengatur strategi dengan tepat
3. Fahami peranan dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan
4. Kenali musuh
5. Kekalkan perpaduan
6. Harus bersiapa siaga sepanjang masa
7. Berjuang habis-habisan

"Tujuh rukun yang saya sebutkan tadi...ini nanti akan kita sebarkan supaya dapat diteliti di semua peringkat pemimpin dan anggota parti di seluruh negara untuk menentukan agar kita beroleh kejayaan.
"Kita mahu menentukan kubu-kubu kuat kita dipertahankan agar kawasan yang kalah dapat kita tebus kembali," katanya.

Menjelas lanjut mengenai tujuh rukun itu, timbalan perdana menteri berkata, ketaatan dan kesetiaan kepada pemimpin adalah satu perkara yang wajar malahan wajib untuk diikuti dan dilaksanakan seluruh anggota Umno.

"Kita harus menerima segala bentuk keputusan yang akan dibuat oleh pemimpin parti kita mengenai hal yang berkaitan pilihan raya sama ada berkaitan tugas dan tanggungjawab yang harus kita lakukan, pemilihan calon dan kawasan pilihan raya yang ditempatkan untuk setiap parti komponen," katanya.

Muhyiddin berkata, Umno perlu mengatur strategi yang tepat untuk mempertahan kekuatan yang ada dengan menentukan kawasan dan negeri yang telah menang dalam pilihan raya lepas terus kekal di tangan BN dan merampas semula kawasan dan negeri yang kalah, supaya memperoleh kejayaan yang lebih besar pada PRU-13.(IH/SH)