Sunday, November 18, 2012

Kabinet Israel Lulus Serang Gaza, 41 Terbunuh.


LETUPAN kuat dan asap tebal dapat dilihat dengan jelas selepas Israel meningkatkan serangan udara ke atas bangunan-bangunan milik kerajaan Hamas di Bandar Gaza

GENTING GAZA - Pesawat tentera Yahudi mengebom bangunan-bangunan milik kerajaan Hamas di sini semalam, selepas kabinet Israel meluluskan kerahan tenaga tentera simpanan sehingga 75,000 orang sebagai persiapan untuk menceroboh dari arah darat. 

Serangan udara tersebut memusnahkan pejabat Perdana Menteri, Ismail Haniyeh dan Kementerian Dalam Negeri Palestin. Para pegawai di Gaza memberitahu seramai 41 rakyat Palestin, termasuk 20 orang awam yang terdiri daripada lapan kanak-kanak dan seorang wanita mengandung terbunuh sejak Israel memulakan operasi ketenteraannya empat hari lalu. 

Setakat ini, tiga orang awam Israel terbunuh akibat serangan roket pada Khamis. Israel menyatakan tentera udaranya telah mengebom sekurang-kurangnya 180 sasaran sejak semalam. Ini termasuklah ibu pejabat polis, bangunan kerajaan, tempat pelancar roket dan sebuah pusat latihan Hamas. 

Negara Yahudi itu melancarkan serangan udara secara agresif pada Rabu dengan tujuan menghalang pejuang Hamas daripada melancarkan roket ke wilayah selatannya. Hamas menyatakan komitmen untuk meneruskan konfrontasi ke atas Israel.

Sementara itu, Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama memuji usaha Mesir untuk meredakan ketegangan di rantau terbabit. Obama turut kesal atas kematian orang awam di Palestin dan Israel. - Reuters 


Gambar yang dikatakan jet F16 Israel yang ditembak jatuh

Sementara itu, Pejuang Palestin di Gaza berjaya menembak jatuh sebuah jet F16 Israel yang terbang di ruang udara Gaza, lapor Presstv.ir. Kapal perang Israel itu ditembak jatuh serentak dengan serangan roket dari Gaza yang mengenai sasaran Israel di kawasan penempatan Gush Etzion di al-Quds (Jerusalem). Tembakan roket itu mencederakan beberapa orang Israel.

Roket dan peluru berpandu Palestine juga jatuh di lain-lain kawasan dalam negara Israel termasuk Tel Aviv, Eshkol, Ashdod, Ashkelon dan Be’er Sheva. Selama ini, dunia menganggap negara Israel kebal dari serangan kerana kehebatan sistem pertahanannya. Serangan ini dibuat ekoran serangan maut yang dibuat Israel ke atas Gaza yang membunuh panglima tentera Brigade Ezaddin Al Kassam, cabang tentera di bawah Hamas, Al Jabari. (IH)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails