Sunday, November 18, 2012

Ekonomi N/Kebajikan: Tepat Masanya Sekarang

 Oleh
Syahir Sulaiman,

Pendekatan Ekonomi Berkebajikan, mesra anak muda.

“Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertaqwa, pastilah kami akan melimpahkan kepada mereka barakah dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, Maka kami seksa mereka disebabkan perbuatannya.” (Al-A’raf: 96)

Pendekatan Ekonomi Negara Berkebajikan

Dunia telah menyaksikan keruntuhan blok ekonomi komunisma yang menolak nilai agama dan ketuhanan, dan  kini kita sedang menyaksikan kejatuhan sistem ekonomi kapitalis di blok kuasa Amerika dan Eropah yang bertuhankan kebendaan dan menghalalkan riba secara berleluasa.

Kiblat ekonomi sebegini hanya membarahkan lagi keadaan ekonomi yang mana kekayaan hanya berlegar di kalangan kelompok tertentu, seterusnya melahirkan pemimpin dan peniaga yang tiada integriti, menerima rasuah, rakus mengumpul kekayaan secara manipulasi, monopoli dan riba, demi kepentingan peribadi.

Justeru, gagasan pendekatan ekonomi negara berkebajikan yang dikemukakan oleh Presiden PAS, YB Dato’ Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang pada ucapan dasar beliau bersempena Muktamar PAS 2012 adalah sangat tepat dan berwawasan jauh sebagai jalan penyelesaian kemelut ekonomi yang sedang melanda negara dan dunia secara keseluruhannya.

Penegasan beliau bahawa tanggungjawab pemerintahan dan memakmurkan bumi ini adalah satu amanah yang mesti ditunaikan, bukan hanya untuk memenuhi tuntutan rakyat yang mengangkat sesebuah kerajaan, bahkan pada kekemuncaknya supaya kepimpinan negara bertanggungjawab kepada Allah s.w.t., jelas membuktikan iltizam ekonomi yang menjamin nilai keadilan sosial ditegakkan dalam urusan bernegara.

Sebagai kerangka dasar ke arah membetulkan kegagalan sistem ekonomi yang sedang melanda  sekarang, TG Hadi Awang telah mengemukakan 4 langkah utama seperti berikut:

1.      Membetulkan falsafah ekonomi sedia ada kepada yang lebih adil dan memakmurkan pertumbuhan ekonomi melalui dasar fiskal dan monetari yang menjamin keadilan sosial secara mampan.

2.      Membetulkan pelaksanaan dasar ekonomi dengan bersendikan akhlak dan perkiraan dosa-pahala, akauntabiliti yang holistik, undang-undang yang mendidik mampu mencegah, dan seterusnya menghalang elemen pembaziran, ketirisan, penyelewangan serta rasuah.

3.      Membuat penilaian menyeluruh terhadap kekuatan hasil mahsul negara, supaya pengurusan warisan khazanah negara ini dimanafaatkan dengan lebih telus dan adil untuk semua rakyat dan generasi masa depan.

4.      Menolak diskriminasi, di mana dasar ekonomi dan sifat kebajikannnya dilaksanakan tanpa mengira kaum, agama ataupun fahaman politik,  negeri, dan wilayah, dengan merujuk kepada keadilan Islam yang sebenar. Ini sekaligus menolak amalan kronisma nepotisma, dan manipulasi dan monopoli pasaran, melalui pelaksanaan undang-undang yang membela kebajikan rakyat keseluruhannya.

Ini pastinya menuntut kepada perincian melalui dasar dan polisi, serta program dan mekanisma yang tersusun ke arah merealisasikan hasrat murni ini.

Pemulihan Ekonomi Negara & Ekonomi Anak Muda

Siapa yang boleh menafikan bahawa ekonomi Malaysia kini berada di tahap yang membimbangkan? Ketelusan fiskal adalah kritikal tatkala paras defisit dan hutang negara terus mencecah ke paras bahaya, malah tidak menunjukkan sebarang tanda penurunan daripada terus menghampiri had siling 55% nisbah hutang persekutuan kepada KDNK.

Peningkatan kos sara hidup rakyat, khususnya kepada generasi muda, yang menyumbang kepada peningkatan kadar hutang isi rumah (pinjaman perumahan, pinjaman kenderaan, pinjaman peribadi, pinjaman kad kredit) turut memerlukan pemantauan serius sebagaimana dilaporkan bahawa jumlah hutang isi rumah kepada nilai keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada tahun 2011 sudah mencecah paras 77%, sebahagian besarnya untuk menampung pembelian rumah yang semakin meningkat harganya serta pembelian kereta yang mahal akibat dikenakan duti eksais yang tinggi, di samping pelbagai kos sara hidup yang lain.

Berdasarkan 4 pendekatan utama yang telah dikemukakan di atas, beberapa polisi dan mekanisma pelaksanaan ke arah memulihkan ekonomi negara dan anak muda boleh dipertimbangkan seperti berikut:

1. Disiplin Fiskal – Memastikan jawatan Menteri Kewangan tidak dipegang oleh Perdana Menteri bagi mewujudkan budaya ‘semak dan imbang’ (check and balance) di peringkat tertinggi pembuat keputusan fiskal negara, di samping pihak kerajaan wajib melaksanakan setiap syor penambahbaikan yang telah dikemukakan di dalam Laporan Audit Negara.

Untuk rekod, Malaysia telah mengalami defisit fiskal selama 16 tahun berturut-turut sejak tahun 1998, di mana dalam tempoh yang sama, format penjawatan Perdana Menteri memegang portfolio Menteri Kewangan telah dipraktikkan oleh Tun Dr Mahathir, diteruskan oleh Tun Abdullah, dan disambung oleh Perdana Menteri sekarang. Negara sangat memerlukan budaya ‘semak dan imbang’ (check and balance), bukannya budaya ‘cek dan baki’(cheque and balance) di peringkat tertinggi membuat keputusan dan dasar fiskal negara yang disuburkan oleh sistem urustadbir yang tidak pruden, dek kuasa yang diberi pada orang yang sama memegang jawatan CEO dan CFO dalam kerajaan;

2. Keadilan Cukai – Kebajikan pengumpulan hasil dan pengagihannya yang adil  berteraskan iklim cukai yang mesra-rakyat dan mesra-pelabur, mengkaji mekanisma agihan subsidi dan bantuan kebajikan yang lebih efektif, penyusunan semula agihan peruntukan kepada sektor produktif khususnya pendidikan dan kesihatan;

3. Pendidikan Berkebajikan – Waqaf dan zakat (endowment fund) sebagai instrumen pendidikan berkebajikan, sebagaimana model dana waqaf Universiti Al-Azhar dan yayasan pendidikan di kebanyakan universiti Eropah. Sektor swasta dan masyarakat digalakkan untuk bersama-sama membiayai sektor pendidikan negara dan mengurangkan kebergantungan terhadap dana kerajaan dalam menawarkan dasar pendidikan percuma;

4. Rumah Mampu Milik – Pelaksanaan kaedah Ihya’ Al-Mawat dan mekanisma Al-Ijarah Al-Muntahiya bit-Tamlik (Sewaan Berakhir Dengan Pemilikan) oleh pihak kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan kerajaan tempatan dengan peruntukan khas tahunan untuk membina rumah mampu milik generasi muda bernilai minima RM50,000 seunit;

5. Pengangkutan Lestari – Pemansuhan monopoli AP untuk kenderaan import dan pengurangan duti eksais yang memanipulasi harga pasaran kenderaan dalam negara, di samping penyediaan prasarana pengangkutan awam yang lebih efisyen.

Inilah bentuk masa depan yang dinanti seluruh generasi muda negara. Besarlah harapan, besarlah tekad.

*Syahir Sulaiman merupakan EXCO Pemuda PAS. Beliau mendokong agenda Mencorak Masa Depan berdasarkan model Negara Berkebajikan.

18 November 2012

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails