Tuesday, November 20, 2012

Isytihar Harta Semua Calon PAS, Presiden Sokong


 































KL: Cadangan Pemuda PAS untuk semua calon PAS mengisytihar harta mendapat sokongan penuh daripada Presiden PAS,  Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (gambar). Dalam ucapan penangguhan Muktamar PAS-58, Abdul Hadi menyatakan sokongan terbukanya kepada cadangan Pemuda PAS itu dengan berkata “Bagus!”.

“Pemuda cadang isytihar harta. Bagus. Saya orang pertama sokong. Nak bertanding, nak menjadi pemimpin kerajaan mesti isytihar harta,” kata beliau.

Abdul Hadi juga berkata pengisytiharan harta dapat menghalang ahli PAS berperangai seperti Umno and Barisan Nasional.

“…kita tak mahu kita berperangai seperti Umno dan seperti Barisan Nasional. Kita mahu menjadi pemimpin yang adil dan baik,” tegas beliau.

Sementara itu, dalam kenyataan kepada Harakahdaily, Ketua Pemuda PAS Pusat Nasrudin Hassan berkata Pemuda PAS telah bersetuju dengan langkah pengisytiharan harta di kalangan pemegang jawatan dalam parti politik dalam satu mesyuarat Ahli Jawatankuasa Kerja bertarikh 14 November 2012.

"Amalan pengisytiharan harta di kalangan penjawat awam adalah sangat baik supaya unsur pecah amanah dan salahguna kuasa dapat dihalang dan dihapuskan, dan DPPM berpendapat amalan ini wajar dipraktikkan oleh pemegang jawatan parti politik yang bertanding untuk memegang tampuk pemerintahan kerajaan,” kata beliau.

Menurut Nasrudin, Pemuda PAS Pusat bersetuju untuk melaksanakan amalan pengisytiharkan harta secara sukarela demi menjaga nilai amanah dan integriti peribadi dan parti.

Antara mekanisme yang ditentukan ialah menggunakan format yang digunapakai oleh Jabatan Perkhidmatan Awam sebagai kriteria minima pengisytiharan harta oleh setiap pemimpin dan ahli keluarga.

“Pengisytiharan harta oleh setiap AJK DPPM diserahkan kepada Ketua Pemuda untuk disimpan dan dipantau oleh sebuah Badan Hisbah dalaman dan akan diserahkan kepada Presiden Pas dan Mursyidul Am PAS mengikut keperluan semasa;

"Selesai proses pemilihan calon pilihanraya, DPPM secara sukarela akan mempamerkan borang deklarasi pengisytiharan harta milik AJK DPPM yang dimanahkan oleh parti sebagai calon pilihanraya, untuk dinilai oleh rakyat keseluruhannya,” kata beliau.

Di akhir muktamar Pemuda PAS, Nasrudin telah mengisytiharkan hartanya manakala seluruh EXCO Dewan Pemuda PAS Malaysia telah menyerahkan borang deklarasi pengisytiharan harta kepada beliau untuk disimpan dan dinilai dari semasa ke semasa. (Hrkh)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails