Monday, November 21, 2011

Sea Games: M'sia Tambah 6 Emas, Bola Sepak Malam Ini.

SUKAN

ATLET Wushu wanita, Tai Cheau Xuen beraksi pada acara final Nan Dao & Nan Gun yang menyumbang satu daripada dua pingat emas menerusi acara Wushu di Stadium Tenis Senayan, Jakarta pada pada hari ke-10 Sukan SEA, Ahad. - Foto THE STAR/S.S.KANESAN)

JAKARTA, 21 Nov 11: Malaysia menambah enam pingat emas pada hari ke-10 temasya, menjadikan kutipan keseluruhan 53 emas, 45 perak dan 70 gangsa sebelum Sukan SEA di Indonesia melabuhkan tirainya esok.

Malam ini perlawanan akhir bola sepak antara Malaysia dan Indonesia menjadi tumpuan. Perlawanan akhir akan berlangsung pada pukul 7 petang waktu tempatan (8 malam di Malaysia) di Stadium Gelora Bung Karno, Senayan.

Pingat emas itu diraih dari acara wushu (dua), tenpin boling (satu) dan berbasikal trek (satu) yang dipertandingkan di sini dan renang berirama (dua) yang dijalankan di Palembang. Semalam, tuan rumah Indonesia secara rasmi bergelar Juara Keseluruhan temasya edisi ke-26 selepas mengumpul 150 emas, 125 perak dan 116 gangsa dan jumlah kutipan emas ini tidak mampu digugat oleh juara bertahan dari edisi lepas, Thailand yang berada di tangga kedua.

Keseluruhannya 542 pingat emas ditawarkan di sepanjang temasya ini untuk rebutan 11 kontinjen. Thailand mengutip 95 emas, 81 perak dan 105 gangsa dan diikuti oleh Vietnam di tangga ketiga dengan 84 emas, 83 perak dan 89 gangsa.

Malaysia, yang telah pun melepasi sasaran maksimum 45 emas kelmarin terus kekal di tangga keempat dengan mengumpul 53 emas, 45 perak dan 70 gangsa, diikuti Singapura (41, 43, 71), Filipina (25, 47, 67), Myanmar (11, 23, 27), Laos (8, 6, 35), Kemboja (3, 11, 20), Timor Leste (1, 1, 4) dan Brunei (0, 2, 7).

Dalam acara Wushu, atlet Malaysia meraih kedua-dua emas bagi acara lelaki dan wanita disiplin gandingan Nan Dao dan Nan Gun. Kevan Cheah Peng Heng meraih emas acara lelaki dengan memperolehi 9.71 mata dari acara Nan Dao and 9.71 mata dari acara Nan Gun untuk mengumpul keseluruhan 19.41 mata.

Rakan sepasukan, Koo Chee Zhong meraih perak, mengutip 9.70 mata dari Nan Dao dan 9.69 mata dari Nan Gun untuk keseluruhan 19.39 mata. Gangsa dimiliki Wai Phyo Aung dari Myanmar dengan keseluruhan 18.37 mata. Emas kedua dari wushu disumbangkan oleh Tai Cheau Xuen dari acara Nan Dao dan Nan Gun wanita.

Tai mengutip 9.70 mata dari Nan Dao dan 9.65 mata dari Nan Gun untuk mengumpul keseluruhan 19.35 mata. Seniornya, Diana Bong sekadar berpuas hati dengan gangsa selepas mengutip keseluruhan 18.97 mata, di belakang pemenang pingat perak, Dessy Indri Astuti dari Indonesia dengan keseluruhan 19.05 mata.

Adrian Ang menutup tirai acara tenpin boling dengan meraih emas kelima buat skuad boling negara. Beraksi dalam kategori lelaki Masters, Adrian meraih emas dengan 431 jatuhan pin, berbanding pencabarnya Frederick Ong dari Filipina yang melakukan 390 jatuhan dalam pusingan akhir “stepladder” lelaki.

Rakan sepasukan, Muhd Syafiq Ridhwan pula mendapat gangsa sementara Zandra Aziela Ibrahim Hakimi meraih gangsa dari acara Masters wanita. Muhamad Adiq Husainie Othman, Amir Mustafa Rusli, Mohamad Akmal Amin dan Mohd Harif Salleh turut menyumbang satu emas menerusi acara 4,000m kejar mengejar berpasukan dalam acara berbasikal.

Malaysia turut memperoleh satu lagi gangsa dari Ong Shi Chuan menerusi acara Daoshu dan Gunshu lelaki dengan mengutip mata keseluruhan 19.40. Kontinjen negara turut menambah pingat gangsa, dari acara bola keranjang wanita negara dan Mohamed Ezzat Mohamed Noor yang bertanding dalam acara judo, kategori 81 hingga 90 kilogram.

Pada hari ini, hari ke-11 temasya, sehari sebelum berakhirnya Sukan SEA di Indonesia ini, sebanyak 41 pingat emas ditawarkan. Tinju menawarkan lima emas, bola sepak (satu), bridge (satu), berbasikal (tujuh), renang sirip (lima), golf (dua), gimnastik (dua), tenis (tiga), lumba bot tradisional (dua), angkat berat (tiga) dan wushu (10). (IH)

E-Buku IH-17: Fokus Sejarah PAS 1950 Hingga Kini...
E-Buku IH-17: Fokus Sejarah PAS 1950 Hingga Kini...

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails