Saturday, November 26, 2011

Demi Ibadah Guna Sampan.. Banjir Bertambah Baik.

DEMI IBADAH...penduduk menggunakan sampan secara bergilir-gilir.
Demi ibadah.. penduduk menggunakan sampan...
BERSEDIA...sampan yang mengangkut jemaah menunaikan solat Jumaat di Masjid Mukim Simpangan Hilir, semalam.
Sampan yang mengangkut jemaah menunaikan solat Jumaat di Masjid Mukim Simpangan Hilir, semalam.

TUMPAT: Demi ibadat kepada Allah SWT, kira-kira 70 penduduk Kampung Simpangan Hilir, Pengkalan Kubor, dekat sini, menaiki bot dan sampan untuk menunaikan solat Jumaat selepas kampung mereka ditenggelami banjir. Namun Suasana banjir bertambah baik.

Tinjauan Harian Metro di kampung itu, semalam mendapati, penduduk menaiki bot berenjin dan mendayung sampan secara bergilir-gilir dan terpaksa turun di pintu masjid selepas pekarangan masjid ditenggelami air sedalam kira-kira tiga meter.

Imam Masjid Mukim Simpangan Hilir, Ismail Awang Mat, 61, berkata, sudah menjadi tradisi penduduk kampung itu menggunakan bot dan sampan sebagai pengangkutan bagi menunaikan solat Jumaat dan solat berjemaah di masjid pada musim banjir.

Beberapa peniaga di tepi jalanraya sekitar pekan Rantau Panjang, Kelantan meneruskan mata pencarian mereka walau sebahagian kaki mereka ditenggelami banjir. Gerai mereka tetap dikunjungi pelanggan yang turut meredah banjir meskipun menggunakan kenderaan bermotor. Foto BERNAMA

Sementara itu menurut BERNAMA, mangsa banjir Kelantan bertambah kepada 1,884. Hujan yang kadang kala lebat di Kelantan menyebabkan bertambahnya pemindahan mangsa banjir daripada 1,781 orang malam tadi kepada 1,884 orang pagi ini.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Negeri bagaimanapun berkata sehingga kini, hanya empat daerah masih terjejas dengan banjir iaitu Kota Baharu, Pasir Mas, Tanah Merah dan Tumpat manakala keadaan banjir di daerah Bachok dan Pasir Puteh sudah pulih.

"Walaupun berlaku sedikit pertambahan mangsa banjir, namun secara keseluruhannya keadaan banjir bertambah baik. Pusat pemindahan di Bachok dan Pasir Puteh sudah ditutup sepenuhnya manakala 17 pusat pemindahan dibuka di Kota Baharu, Pasir Mas, Tanah Merah dan Tumpat," katanya.

Beliau berkata daripada keseluruhan pusat pemindahan itu, Pasir Mas mencatatkan jumlah pusat pemindahan terbanyak iaitu 11 diikuti Kota Baharu dengan tiga buah pusat, Tumpat (2) dan Tanah Merah (1).

Di Pasir Mas, empat laluan ditutup kepada semua kenderaan iaitu Jalan Pohon Tanjung-Meranti, Jalan Pohon Tanjung-Rantau Panjang (Jalan Lama) Kampung Siram, Jalan Rantau Panjang-Panglima Bayu dan Jalan Banggol Kulim Lokasi 2, manakala Km24, Lebuhraya Pasir Mas-Rantau Panjang hanya ditutup kepada kenderaan ringan.

Di Tumpat, Jalan Cabang 4/Kampung Jambu/Meranti ditutup kepada semua kenderaan.

Sementara itu, paras air Sungai Golok di Rantau Panjang masih berada pada paras 10.18 meter, yang melebihi paras bahaya 9 meter, namun, paras air sungai itu terus menunjukkan penurunan secara perlahan-lahan sejak semalam, kata jurucakap itu.

Di KUALA TERENGGANU, keadaan banjir semakin pulih dengan jumlah mangsa banjir di pusat pemindahan berkurangan kepada 461 orang pagi ini berbanding 798 orang petang semalam. (IH)

IKLAN: QUR'AN MIRACLE 22 IN 1 Istimewa!
Dapatkan Segera!
QUR'AN MIRACLE 22 IN 1 Dapatkan Segera!

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails