Wednesday, November 23, 2011

Banjir K'tan: 729 Pusat Pemindahan. Hubungi ebanjir...


KOTA BHARU, 23 Nov 11: Persiapan menghadapi kemungkinan banjir yang akan melanda Kelantan telah disusun secara rapi dan bersedia untuk digerakkan pada bila-bila masa sahaja.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana Negeri Kelantan Datuk Dr.Zainuddin Ibrahim, sehingga kini sebanyak 729 buah pusat pemindahan mangsa banjir telah ditetapkan dan boleh menampung sejumlah 150,700 mangsa.

Zainuddin juga berkata sebanyak 170 buah Pengkalan Hadapan telah dikenalpasti. Bagi penyediaan bekalan makanan pula, pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat telah dipertanggungjawabkan bagi penyediaan bekalan seperti beras, sardine, biskut, minyak masak, gula, teh dan kopi dan dianggarkan peruntukkan awal berjumlah RM495 ribu.

Zainuddin berkata demikian di sidang media di Bilik Gerakan Kompleks Kerajaan Darulnaim, Kelantan. "Sekiranya keadaan banjir menjadi serius, mungkin peruntukan akan ditambah menjadi RM600 ribu,” ujar beliau lagi.

Menyentuh soal penglibatan agensi kerajaan dan badan sukarelawan, Zainuddin berkata seramai 30,754 orang dari pelbagai agensi kerajaan dan seramai 610 dari NGO sudah bersedia untuk digerakkan bagi operasi menyelamat dan memberi bantuan kepada mangsa banjir.

"Pihak Pengurusan dan Bantuan Bencana juga pada tahun ini akan menyediakan sebanyak 105 tempat pendaratan helikopter bagi tujuan kecemasan,” katanya.

Bagi penyebaran maklumat kepada umum, penggunaan laman web ebanjir.kelantan.gov.my akan sentiasa memaklumkan perkembangan terkini kedudukan suasana banjir di seluruh Kelantan.

Memandangkan Kelantan adalah bersempadan dengan negara Thailand, pihak kerajaan juga telah membuat kerjasama sepenuhnya dengan kerajaan Thailand dalam usaha membantu kedua-dua sempadan dalam menghadapi banjir iaitu dengan mewujudkan “ Disaster Management Working Group” dan di negeri Kelantan diselaraskan melalui Majlis Keselamatan Negeri Kelantan dengan Wilayah Narathiwat, Thailand.

"Dengan adanya persiapan awal dan rapi ini, saya berharap kita dapat menangani sebaik mungkin bencana banjir sekiranya ia berlaku," ujar beliau lagi.

"Saya juga ingin menyampaikan nasihat kepada semuar rakyat di Kelantan agar sentiasa mendengar arahan dari pihak berkuasa untuk berpindah ke pusat pemindahan mangsa banjir yang disediakan oleh kerajaan dan diharapkan tidak menunggu sehingga lewat terutamanya di waktu malam yang akan menyusahkan kerja menyelamat dan ini bukan sahaja membahayakan nyawa mereka malah anggota penyelamat juga,” katanya. (IH/Hrkh)

Lihat sebelum ini..
E-Buku IH-17: Fokus Sejarah PAS 1950 Hingga Kini..
E-Buku IH-17: Fokus Sejarah PAS 1950 Hingga Kini...

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails