Sunday, May 29, 2011

Reuters: Terbaru Al-Qaeda Kuasai Bandar Pantai Yaman



Di tengah krisis politik, Al-Qaeda dan militan Islam kuasai bandar pantai Yemen

SANAA, 29 Mei 11: Di sebalik kebangkitan rakyat menentang presiden mereka, kumpulan Al-Qaeda dan militan Islam dilapor menguasai bandar pesisir pantai Yemen, Zinjibar sejak dua hari lalu.

“Kira-kira 300 militan Islam dan pengikut Al-Qaeda datang ke bandar Zinjibar dan menguasai semua Jumaat lalu," kata seorang penduduk kepada agensi berita Reuters.

Zinjibar adalah ibu negeri bagi wilayah Abyan di selatan tengah Yemen. Negara dilanda kemiskinan ini berhadapan dengan keganasan dan kebangkitan rakyat mendesak Presiden Ali Abdullah Saleh melepaskan jawatannya yang disandang sejak 33 tahun lalu.

Washington menganggap cawangan Al-Qaeda yang berpangkalan di Yemen sebagai kubu pengganas yang paling aktif di dunia. Laporan terbaru ini muncul di sebalik perkembangan bahawa pasukan keselamatan yang setia Ali Abdullah dan puak pemberontak bersetuju untuk mengadakan gencatan senjata hari ini.

Kumpulan pembangkang mendakwa Ali Abdullah menggunakan ancaman Al-Qaeda sebagai alasan untuk mendapatkan bantuan daripada kuasa-kuasa serantau, yang turut mahukan kerajaannya menangani militan secara menyeluruh. Malah, kumpulan itu mendakwa mereka boleh melakukan lebih baik dalam pendekatan mengawal Al-Qaeda berbanding Ali Abdullah.

Kebangkitan rakyat mendesak Ali Abdullah berundur bermula Januari lalu dan sehingga kini sekitar 300 orang dikatakan telah terbunuh. Keganasan itu mencetuskan kebimbangan bahawa negara itu kemungkinan menjurus ke arah perang saudara.

Krisis politik semasa menyebabkan Yemen mengalami kerugian ekonomi sehingga RM15 bilion (AS$5 bilion) dan bantuan segera diperlukan untuk memulihkan negara tersebut yang Keluaran Dalam Negeri Kasarnya sekitar RM90 bilion, kata menteri perdagangan Yemen kepada Reuters.

Terdapat kebimbangan bahawa AQAP, kumpulan Al-Aaeda berpangkalan di Yemen akan mengambil kesempatan daripada ketidakstabilan politik untuk melancarkan serangan bom. Kedua-dua Amerika Syarikat dan Arab Saudi turut bimbang dengan gerakan AQAP. Awal bulan ini, Amerika Syarikat menembak mati ketua rangkaian Al-Qaeda Osama bin Laden di Pakistan. — Reuters

Kisah di Yaman..

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails