Friday, June 03, 2011

Jihad Gulingkan BN -Dewan Ulama PAS



GOMBAK, 2 Jun – Perlu jihad gulingkan Barisan Nasional... Dewan Ulama PAS Pusat tidak dikejutkan dengan saingan pemilihan hari ini, tetapi tetap menarik perhatian kerana memutuskan untuk membawa usul video seks yang didedahkan trio “Datuk T” Mac lalu ke Muktamar Tahunan PAS Ke-57 yang bermula esok. Keputusan itu diluluskan sebulat suara hari ini.

Di bawah usul itu, Dewan Ulama PAS Pusat menolak pendedahan video seks, yang si pelakunya dikaitkan mirip Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim. Menurut usul itu, video tersebut disifatkan sebagai satu fitnah jahat yang dibuat pihak tertentu untuk tujuan politik.

Usul itu akan dikemukakan anggota Dewan Ulama PAS Kelantan Nik Razi Nik Mat iaitu adik bongsu kepada Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Menurut Nik Razi, usul itu dibentang bagi membolehkan para perwakilan membahaskan motif sebenar ia disebarkan dan kaitannya dengan rancangan pihak tertentu untuk melemahkan pengaruh Pakatan Rakyat.

Keputusan itu diumumkan oleh Pengerusi Tetap Dewan Ulama Hamdan Mohamad selepas mendapat persetujuan perwakilan dalam Muktamar Dewan Ulama yang berlangsung di Taman Melewar dekat sini. Nik Razi yang mencadangkan usul tersebut berkata, beliau mengutuk kerajaan pusat kerana membenarkan pengeluaran dan menyebarkan video lucah secara bebas dan meluas.

“Kerajaan hanya berdiam diri berkenaan pendedahan video lucah tanpa beri sebarang pandangan mengikut perspektif Islam,” katanya sambil meminta ulama agar berjihad untuk menggulingkan Barisan Nasional (BN).

“Jihad bukan dengan darah tetapi niat dalam hati, gulingkan BN. Selagi Umno memerintah negara, timbul bermacam-macam masalah.

“Masalah tidak akan selesai kecuali kita tumbangkan mereka dari Putrajaya.,” ujar beliau.

Wakil Dewan Ulama PAS pusat Kubang Pasu ketika menyatakan sokongan penuh terhadap usul tersebut berkata, beliau menggelar ulama-ulama Umno sebagai ‘syaitan bisu’ kerana beranggapan pendedahan video tersebut akan mencetuskan huru-hara.

“Saya setuju usul yang dikemukan wakil DUPP Kelantan. Mereka (ulama-ulama Umno) adalah syaitan bisu. Tindakan mendedahkan video lucah dikatakan cuba menyesatkan masyarakat Islam,” kata wakil itu.

Beliau yang menyifatkan ulama Umno sebagai ‘syaitan bisu’ ekoran tindakan mereka yang mendedahkan video seks dengan mendakwa Anwar. Tambah wakil Kedah itu, BN sudah ketandusan cara untuk menghalang Pakatan Rakyat memiliki Putrajaya pada pilihan raya ke-13. Katanya, BN sengaja membiarkan penyebaran dan pendedahan video tersebut semata-mata ingin memecahbelahkan PAS dari Pakatan Rakyat.

“Mereka mahu kita hilang kepercayaan kepada pimpinan Anuar Ibrahim. Bila PAS keluar dari Pakatan, Umno akan bermaharajalela,” ujarnya.

Atas hasutan ini, beliau turut berkata, PAS terpaksa hadapi risiko kehilangan pengundi.

“Ini disebabkan kebanyakannya orang Melayu mempercayai pelaku video lucah itu.

“Justeru, PAS kehilangan undi memandangkan majoriti pengundi PAS, 65 peratus terdiri daripada orang Melayu,” katanya lagi. (IH)

E-Buku IH-38: Pemilihan Kepimpinan PAS 2011
E-Buku IH-38: Pemilihan Kepimpinan PAS 2011

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails