Friday, June 03, 2011

PAS-UMNO Boleh Kerjasama.. -Abdul Hadi


KL, 3 Jun 11: PAS sedia bekerjasama dengan Umno untuk hal-hal tertentu tetapi sama sekali tidak akan berpakat dengan parti nasionalis itu.

"Dengan Umno, kerjasama boleh tetapi untuk pakat tak ada. Bincang untuk pilihan raya adil dan lebih demokratik, kita bersedia," kata Abdul Hadi dalam sidang medianya tengahari tadi.

Abdul Hadi berkata, pelbagai kerjasama yang telah PAS buat dengan Umno termasuk dalam isu nukleur, Palestine dan juga berusaha sama-sama untuk menghadapi masalah ekonomi melalui Majlis Perunding Ekonomi Negara (Mapen). Beliau menjawab soalan wartawan ekoran sikap Umno yang terus-terusan mengajak PAS bersama dengannya.

Untuk menjawab sikap Umno yang terus-terusan membuat kenyataan meminta PAS meninggalkan Pakatan Rakyat, Abdul Hadi berkata, "Itu kena tanya Umno, kenapa tawar PAS sampai begitu sekali, susah sangat ke hingga tawar PAS."

Dalam sidang media yang disertai oleh timbalannya, Nasharudin Mat Isa dan Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali itu, Abdul Hadi mengucapkan terima kasih kepada semua petugas muktamar yang telah memastikan muktamar berjalan dengan baik.

"Terima kasih khasnnya ditujukan kepada Jawatankuasa Pemilih pimpinan Datuk Halim yang telah berjaya menjalankan tugas dengan baik dan berjalan lancar," katanya.

Pemilihan peringkat pusat berjalan hari ini manakala keputusannya akan dimaklumkan pagi esok. Abdul Hadi juga berpuashati dengan kerjasama yang baik antara parti-parti dalam Pakatan Rakyat.

"Saya turun ke bawah, ke negeri-negeri dan kawasan, saya lihat kerjasama yang baik di kalangan petugas kita dari pelbagai parti Pakatan, kaum dan agama," kata beliau.

Beliau mengaku, PAS, PKR dan DAP boleh berbeza idealogi, agama pendekatan "tetapi kita boleh kerjasama dalam titik persamamaan." Ketiga-tiga parti juga mencapai kata sepakat dalam perkara asas iaitu menerima Islam sebagai agama persekutuan, Bahasa Melayu, kedudukan istimewa orang Melayu, kedudukan raja-raja Melayu.

"Masalah yang berbeza agama itu hak masing-masing dan tidak perlu kita perbetulkan," katanya.

Ketika ditanya tentang isu negara berkebajikan yang menjadi tema muktamar kali ini berbanding negara Islam, Abdul Hadi menjelaskan PAS sekarang mementingkan isinya.

"Tema kita negara berkebajikan, ia sememangnya dah ada dalam Islam. Dalam al Quran tak sebut negara Islam, dia sebut negara kebajikan, jadi kita laksanakan iaitu kita dahulukan yang ada persamaan," kata Abdul Hadi.

Beliau mengaku antara parti-parti ini ada beza antara satu sama lain.

"Kita berikan hak mereka yang benarkan minum arak tetapi kita tidaklah turut sama minum arak dengan mereka sebagaimana sesetengah pihak," katanya.

Berhubung dengan perbezaan latar belakang pemimpin dalam PAS pula, Abdul Hadi berkata, ia wujud sejak awal PAS lagi jadi tidak berbangkit soal PAS berpecah.

"Perpecahan dalam PAS tidak berlaku kerana wujudnya kumpulan ini sejak ditubuhkan lagi, Dr Haji Abas adalah Yang Dipertua PAS, Aminudin Baki dan juga Datuk Asri Muda semuanya bukan ulamak namun PAS kukuh kerana kepimpinannya secara kolektif untuk laksakan Islam yangluas bukan fahaman barat yang sempit," jelas Abdul Hadi. (IH)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails