Friday, June 03, 2011

Ini Penyebab UMNO Khianati Melayu -Abd Hadi


KL
, 3 Jun 11: Ajaran sesat mengatakan politik tidak ada hubungan dengan ajaran Islam menyebabkan berlakunya khianat dalam pentadbiran negara, kata Presiden PAS, Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini.

“Ajaran sesat ini telah melahirkan pemimpin Melayu yang tidak ada perhitungan agama dalam amalan politik mentadbir negara, seterusnya berlaku khianat dalam memimpin rakyat dan mengurus sumber negara yang melimpah ruah,” kata Abdul Hadi dalam ucaptamanya di Mukmatar PAS ke 57 di Taman Melewar pagi ini.

Hadi berkata walaupun kini ramai di kalangan orang Melayu Islam telah menerima politik sebahagian dari agama, namun tindakan politik mutakhir ini telah dibejati oleh amalan-amalan yang tidak mengikut batas agama dan syariat.

“Kemurnian politik telah dicemari oleh tindakan jijik menerusi rasuah politik wang, fitnah, sikap perkauman sempit, pembohongan, dan segala macam perkara kotor yang memalukan anak-anak yang menjadi penonton di sekeliling kita,” kata Abdul Hadi sambil menegaskan bahawa Umno Barisan Nasional tidak boleh diharap untuk membersihkan budaya politik yang dikotorkan oleh tangan mereka sendiri.

Akibat dijangkiti keruntuhan moral dan zalim, rasuah dan penyalahgunaan kuasa sehingga tidak menunaikan amanah besar yang diwajibkan oleh Islam kepada penganutnya, kata Abdul Hadi pemimpin Melayu Islam telah membebalkan majoriti rakyat beragama Islam telah gagal menjadi model Islam yang sebenar kepada rakyat bukan Islam.

Umno, kata beliau walaupun merupakan parti majoriti Melayu dan Bumiputera yang telah diberi amanah pemerintahan sejak keluarnya penjajah asing, masih dibarahi penyakit warisan penjajah yang memisahkan amanah ini daripada perhitungan agama.

“Akibatnya amanah yang besar ini dijadikan peluang kebendaan yang menyuburkan perbuatan rasuah dan khianat. Akhirnya, harta negara menjadi milikan peribadi pemimpin mereka, meninggalkan rakyat berhempas pulas untuk melangsungkan kehidupan di dunia ini,” selar beliau.

Tambah beliau lagi, perkara ini akan berterusan selagi urus tadbir dan tata-kelola pengurusan sumber dan khazanah kekayaan negara tidak mengambil dan merujuk kepada falsafah dan jauh sekali menghayati tuntutan Islam.

“Cita-cita murni untuk membina sebuah negara yang sejahtera dan aman telah digagalkan oleh sebuah pemerintahan yang terus memimpin secara tidak bertanggungjawab,” kata Abdul Hadi.

Menurut Abdul Hadi, umat Melayu Islam sebagai teras politik dalam negara kita ini, semakin hari semakin lemah jati diri kerana lemah kefahaman Islamnya, apabila kerajaan hari ini tidak menjadikan Islam agama yang memerintah dan tidak mampu menunjukkan model Islam kepada masyarakat majmuk.

“PAS wajib menyelamat negara dan penganut Islam yang hilang punca dan membetulkan fahaman yang salah ini,” tambah beliau.

Mengenai perjuangan Umno, Abdul Hadi berkata mereka hanya sekadar berminat untuk mengekalkan kuasa mereka dan bukannya untuk memartabatkan Melayu dengan Islam.

“Ini kerana Melayu Umno tetap menyokong BN walaupun di kawasan PAS bertanding menentang calon MCA dan MIC, sebaliknya sudah ramai bukan Melayu dan bukan Islam yang komited mengundi calon PAS yang menentang calon MCA dan MIC dari Barisan Nasional. Hakikatnya, Umno telah menjadikan penyokong Melayu Islam buta dan pekak dengan politik wang, media dan hiburan yang melalai dan membodohkan mereka,” terang beliau.

Adalah menjadi tanggungjawab besar bagi PAS, kata Hadi untuk terus menerus memperkenalkan ajaran Islam secara ilmu kepada seluruh rakyat dengan mengembalikan umat Islam yang jahil kepada Islam, supaya membebaskan diri daripada khurafat politik Umno bahawa mereka sahaja boleh memerintah.

“PAS wajib menyelamatkan negara dan rakyat daripada belenggu kejahilan dan kezaliman politik dengan peringatan Allah SWT,” tegas beliau. (IH)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails