Saturday, June 04, 2011

1,600 Diserang, 17 Terbunuh E.coli, Bekteria Baru Melalui Makanan.

E. coli bakteria paling bahaya


GAMBAR menunjukkan bakteria E.coli baharu yang dilihat menerusi mikroskop di Institut Penyelidikan Jangkitan di Brunswick, Jerman.

KESiHATAN
BERLIN/LONDON - Dilaporkan lebih 1,600 orang mangsa telah dijangkiti oleh bakteria E. coli yang telah membunuh sekurang-kurangnya 17 orang dan mungkin menjadi wabak paling bahaya setakat ini dalam sejarah manusia.

Jerman dikatakan menjadi pusat kepada wabak tersebut. Dengan punca sebenar masih kekal misteri, para pengguna di seluruh dunia kini berada dalam kebimbangan. Dianggarkan seramai 1,624 orang di negara Eropah seperti Austria, Denmark, Perancis, Belanda, Norway, Sepanyol, Sweden, Switzerland, Britain dan Amerika Syarikat (AS) dikatakan sudah jatuh sakit, kemungkinan selepas memakan salad dan sayur-sayuran yang tercemar dari Jerman.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyifatkan ia merupakan bakteria E. coli yang baharu. Angka kematian juga dijangka meningkat apabila Jerman mengemaskini jumlah pesakit. Bakteria E. coli normal yang menjadi punca kepada masalah keracunan makanan sebenarnya tidak terlalu berbahaya.

Namun, bakteria jenis E. coli yang menyerang di Eropah mempunyai kemampuan untuk kekal pada dinding usus manusia dan mengeluarkan toksin yang dikenali sebagai Shiga (STEC). Ia kemudian akan mengakibatkan cirit-birit berdarah yang teruk, komplikasi lain seperti kerosakan ginjal dan boleh membawa maut.

Seorang pakar, Robert Tauxe dari Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit AS yang telah bekerjasama dengan pegawai kesihatan Jerman sejak minggu lalu mengakui E. coli itu sebagai jenis yang paling berbahaya jika dinilai daripada jumlah kematian.

Di Berlin, Canselor Jerman, Angela Markel telah mengarahkan satu satu pasukan khas untuk mengesan punca E. coli ditubuhkan. Para saintis juga bertungkus-lumus mengenal pasti punca pencemaran, sama ada tahap kebersihan yang teruk di ladang, transit atau di kedai di Jerman sebagai punca kewujudan bakteria baharu itu.

Mengulangi amaran supaya rakyatnya tidak memakan sayur-sayuran mentah, para pegawai kesihatan Jerman menyatakan mereka telah merekodkan 199 kes terbaharu wabak tersebut dalam tempoh dua hari. Angka itu menjadikan jumlah keseluruhan mangsa yang dijangkiti kepada 1,733 orang.

Wabak itu juga membuatkan hubungan perdagangan antara negara Eropah menjadi tegang. Rusia mengundang kritikan daripada Kesatuan Eropah (EU) selepas mengharamkan import sayur-sayuran mentah dari Eropah dengan mendakwa Belgium gagal menangani krisis tersebut.

Sebelum ini terdapat dakwaan bahawa bakteria itu berpunca daripada timun yang tercemar dari Sepanyol sebelum puncanya yang sebenar dari Jerman diketahui. - Agensi

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails