Saturday, June 04, 2011

Ucapan Bernas Ke Arah Kukuh Dasar -NGO



KL 3 Jun 11: Presiden PAS, Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang, sememangnya layak diberikan pujian kerana berjaya mengenengahkan fakta-fakta yang bernas bagi kemantapan PAS dan kepentingan negara, menerusi ucapan dasarnya.

Dalam ucapan dasarnya pada Muktamar PAS Ke-57 di Kolej Univeriti Islam Zulkifli Mohamad di Taman Melewar, di sini, hari ini, beliau antara lain telah menyentuh pelbagai perkara bagi pengukuhan dasar PAS yang tidak boleh lari dari perjuangan Islam.

Timbalan Pengerusi 1 Sekretariat Misi Cakna Pallestin, Wan Mohd Sharafi berkata, menerusi ucapannya itu, Presiden PAS telah meletakkan harapan yang tinggi kepada ahli-ahli parti agar istiqamah dengan perjuangan walaupun menghadapi tekanan hebat.

Menurut beliau, serentak dengan itu, Presiden PAS telah mengingatkan ahli-ahli parti agar terus mempertahankan nilai-nilai murni yang tetdapat dalam perjuangan Islam yang diperjuangkan oleh PAS.

Katanya, konsep syura', konsep ukhwah islamiah perlu dijaga oleh setiap pemimpin dan ahli-ahli parti walaupun ketika berhadapan dengan pemilihan jawatan dalam parti.

"Sebaliknya, pertandingan untuk jawatan dalam parti bukanlah untuk merebut jawatan, tetapi untuk sama-sama menyumbang bagi kepentingan parti demi meneruskan perjuangan untuk Islam.

"Dalam masa yang sama, ikatan ikhwan pada semua peringkat perlulah dijaga. Itulah mesej awal Presiden yang disampaikan untuk renungan para perwakilan khasnya dan seluruh umat Islam di tanah air amnya," katanya ketika ditemui di Kolej Universiti Islam Zulkifli Mohamad, di sini, hari ini.

Selepas itu, menurut beliau, ucapan Abdul Hadi dikembangkan pula dengan menjurus kepada kerangka kerja menerusi rangka yang jelas menerusi lajnah-lajnah dan saluran-saluran parti di semua peringkat supaya bergerak lebih efektif menerusi dasar utama menegakkan Islam.

"Ucapan itu memberikan garis panduan yang jelas ke arah pengukuhan parti yang sekali gus boleh mendidik kefahaman awam yang ingin mendapatkan penjelasan yang jelas tentang kedudukan dan perjuangan PAS yang kini turut berada dalam Pakatan Rakyat," katanya.

Walaupun berada dalam Pakatan Rakyat, katanya, PAS tetap meneruskan parti yang konsisten dengan nilai-nilai perjuangannya.

"Itulah dasar, identiti dan jati diri PAS yang diharapkan berlaku secara berterusan oleh orang ramai yang ditegaskan sendiri oleh Presiden PAS menerusi ucapan dasarnya itu," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi 11 Sekretariat Misi Cakna Palestin, Ausaini Ibrahim ketika ditemui berkata, sebagai pemimpin NGO yang turut komited dengan perjuangan Islam, beliau menyokong penuh ucapan Abdul Hadi itu.

Menurut beliau, ucapan Abdul Hadi antara lain jelas ke arah memperkuatkan PAS bersama Pakatan Rakyat lebih-lebih lagi untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 tidak lama lagi.

Katanya, dalam mentadbir negara, Kerajaan BN ternyata gagal dalam pelbagai perkara termasuk dalam mengurus ekonomi negara.

"Selain kenaikan harga petrol dan barangan keperluan utama yang cukup membebankan rakyat, pentadbirtan BN juga penuh dengan rasuah.

"Perkara itu berbeza sama sekali dengan PAS yang bukan sekadar bersih dengan rasuah, tetapi juga sentiasa menjaga kebajikan rakyat.

"Itulah konsep dan pendekatan PAS jika diberikan amanah memerintah negara bersama Pakatan Rakyat," katanya.

Untuk melihat kebenaran dan perubahan itu, katanya, rakyat negara ini yang meliputi pelbagai kaum dan agama perlu memberikan undi kepada PAS dan Pakatan Rakyat pada PRU Ke-13 nanti.

"Dengan itu, rakyat sendiri bolehlah menilainya. Semua pemimpin dan ahli-ahli PAS pula perlulah bersedia ke arah itu. Itulah antara mesej ucapan Abdul Hadi menerusi ucapannya itu," ujar beliau.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails