Tuesday, February 15, 2011

Nik Aziz Mohon Maaf Terbuka Kepada Orang Asal

Tok Guru menerima kunjungan 30 orang masyarakat berkenaan di JKR 10, di sini tengahari semalam.

KOTA BAHRU, 15 Feb 11:
Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan rendah hati memohon maaf secara terbuka kepada masyarakat Orang Asal kerana pernah mengeluarkan perkataan ‘jakun’ sebelum ini.

Menurutnya, walaupun perkataan itu tidak ditujukan kepada masyarakat terbabit, namun beliau memohon maaf memandangkan ianya telah melukakan hati masyarakat terbabit. Beliau berkata demikian ketika sesi pertemuan dengan masyarakat berkenaan tengahari semalam di JKR 10.

Nik Aziz berkata demikian berikutan salah seorang masyarakat berkenaan sewaktu berdialog dengannya melahirkan rasa kecewa di atas perkataan ‘jakun’ yang pernah diucapkan Menteri Besar itu sebelum ini. Menurut Orang Asal itu, perkataan jakun dirasakan seperti menghina serta merendah-rendahkan kaum golongan itu.

Menurut Nik Aziz lagi, beliau sendiri tidak mengetahui maksud jakun sebenarnya, malah ianya menjadi perkataan biasa yang turut disebut oleh orang lain tanpa niat untuk menghina sesiapa.

“Saya sendiri tak tahu apa makna jakun, saya selalu dengar orang sebut, jadi sayapun sebut juga.

“Kerana perkataan itu telah melahirkan rasa terhina, kecil hati di kalangan Orang Asal, hari ini saya memohon maaf secara terbuka di hadapan tuan-tuan di sini,”ujarnya.

Tidak cukup dengan itu, Nik Aziz turut berharap masyarakat itu turut menyampaikan ucapan maafnya kepada golongan mereka yang tidak hadir pada majlis itu. Sempena majlis itu juga Nik Aziz dipakaian topi tradisional masyarakat itu sebagai tanda penghargaan dari kaum mereka untuk beliau.

Sebelum ini, MB Kelantan itu, mencadangkan satu jawatankuasa khas dibentuk bagi menyelesaikan masaalah yang berlaku dikalangan Orang Asal. Menurutnya, meskipun penghulu tanpa mukim serta pemimpin masyarakat telah dilantik di kalangan mereka, namun ianya masih belum berkesan khususnya dalam menyelesaian sesuatu masaalah.

“Ini kerana pemimpin masyarakat serta penghulu yang dilantik kerajaan tidak mencukupi untuk tujuan itu, jadi saya cadangkan supaya satu jawatankuasa khas dibentuk khususnya di kalangan mereka.

“Sebelum ini mereka boleh bertemu dengan wakilrakyat di tempat mereka tinggal termasuk Penyelia Parlimen Gua Musang, Dr Zulkifli, tetapi saya rasa jawatankuasa khas perlu juga dibentuk,”ujarnya lagi.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menerima kunjungan 30 orang masyarakat berkenaan di JKR 10, di sini tengahari semalam. Turut hadir pada pertemuan itu, Pengerusi Tanah dan Pembangunan Tanah Wilayah PAS Pusat, Mazlan Aliman, termasuk beberapa Orang Asal dari Perak, Pahang dan Selangor.

Katanya, jawatankuasa ini perlu ditubuhkan di kawasan yang menjadi tempat penginapan Orang Asal untuk berhubung terus dengan wakilrakyat atau pemimpin kerajaan negeri. “Semoga tiada orang tengah yang tidak bertanggungjawab merosakkan hubungan baik masyarakat Orang Asal dengan kerajaan negeri,”ujarnya.

Pada masa yang sama beliau berharap masyarakat di negeri ini tidak menjadikan ‘media’ sebagai pelepas segala masaalah kerana ianya belum tentu akan selesai. Pada masa yang sama beliau memberitahu, kerajaan negeri telah bersetuju untuk untuk mewartakan kawasan tanah yang diterokai oleh Orang Asal kepada mereka.

Bagaimanapun, katanya sehingga kini ianya belum diukur khususnya oleh Jabatan Hal Ehwal Orang Asal. “Saya berharap Jaheoa menyegerakan pengukuran tanah bagi membolehkan kerajaan negeri mewartakan tanah yang diterokai sebagai milik mereka,”ujarnya.

Sempena majlis itu juga, Orang Asal menyerahkan memorandum pada Nik Aziz untuk menyelesaikan masaalah penempatan dan tanah adat golongan terbabit. Terdahulu Ketua Eksekutif Ladang Rakyat, Dr Nazmi Ghazali Azmi telah menjelaskan projek Ladang Rakyat yang dijalankan di Gua Musang, tidak terbabit dengan kawasan penempatan Orang Asal.

Katanya, masaalah yang timbul di mana proses penebangan pokok yang dilakukan sebelum kawasan berkenaan diukur untuk dijadikan kawasan Ladang Rakyat telah memasuki kawasan mereka, disebabkan syarikat pemaju yang mendahului kerajaan negeri. “Bagaimanapun kita telah meminta pihak pemaju membayar semula ganti rugi kepada Orang Asal,”ujarnya.(IH)

Lihat keseluruhan...
E-Buku IH-32: Bersama Orang Asli..
E-Buku IH-32: Bersama Orang Asli..

2 comments:

Hamdan Rukun said...

BAHAYA NIK AZIZ NI. SELAMA INI BANYAK BENDA DIA TAK TAU RUPANYA.

DAN LEBIH BAHAYA LAGI SEBAB DIA ASYIK TIRU ORANG SEDANGKAN DIA TAK TAU APA YANG DITIRUNYA.

Anonymous said...

ada ke manusia serba tahu atas dunia ni?

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails