Monday, February 14, 2011

DUN Sarawak Bubar Hujung Minggu Ini?

Taib Mahmud
KL, 14 Feb 11: Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud dijangka mengadakan pertemuan dengan Yang Dipertua Negeri Jumaat ini untuk mendapatkan perkenan membubarkan Dewan Undangan Negeri, kata sumber-sumber.

Menurut sumber Astana Sarawak, pejabat ketua menteri telah pun menghubungi minggu lalu untuk mendapatkan tarikh pertemuan dengan Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng bagi pembubaran, yang akan membuka laluan kepada pilihan raya negeri.

Satu lagi sumber kerajaan negeri berkata pegawai-pegawai daerah juga telah diminta agar membekukan cuti kakitangan mereka mulai 19 Februari ini iaitu kemungkinan tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri.

Jika Dewan Undangan Negeri dibubarkan bulan ini, kemungkinan pilihan raya akan diadakan akhir Mac atau awal April. Mandat semasa kerajaan negeri sepatutnya berakhir Julai ini dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu mengadakan pilihan raya dalam tempoh 60 hari jika pembubaran diputuskan.

Difahamkan pilihan raya negeri Sarawak akan didahulukan dan dijangka berlangsung awal April ini atau kemungkinan akhir Mac. Mesyuarat Dewan Tertinggi BN Jumaat lalu turut membincangkan beberapa persediaan sebelum parti itu mengadakan Konvensyen BN Sarawak di Kuching pada 5 Mac ini.

Taib pula akan menyambut ulang tahun ke-30 mengetuai kerajaan negeri pada 26 Mac ini dan kemenangan kali ini akan menjadikan beliau ketua menteri paling lama berkhidmat. Taib dikatakan berhadapan dengan tekanan daripada rakan-rakan dalam BN agar berundur ekoran kemerosotan popularitinya di sebalik dakwaan salah guna kuasa.

Kemenangan DAP dalam pilihan raya kecil kerusi Parlimen Sibu Mei lalu, dilihat sebagai referendum ke atas kepimpinan Taib, telah menyebabkan BN mula bimbang mengenai tapak pengaruhnya di Sarawak, negeri yang selama ini dilihat sebagai deposit hayat perikatan itu.

BN Sarawak mempunyai 63 wakil di Dewan Undangan Negeri yang mempunyai 71 kerusi dengan 35 dimenangi PBB, 12 dipegang Parti Rakyat Bersatu Sarawak dan lapan masing-masing oleh Parti Rakyat Sarawak dan Parti Demokratk Progresif Sarawak. Daripada baki lama kerusi, DAP mempunyai enam, PKR satu dan Bebas satu.

SPR mengumumkan kesediaan negeri itu mengadakan pilihan raya negeri Sarawak bila-bila masa dengan berkata pihaknya sudah lama membuat persediaan. BN dijangka mengekalkan negeri itu dengan majoriti selesa meskipun ada yang mengatakan DAP kemungkinan boleh memperoleh lebih banyak kerusi di kawasan-kawasan bandar.

Kemungkinan pembubaran Dewan Undangan Negeri hujung minggu ini, “Kami sudah bersedia untuk menghadapi pilihan raya negeri,” kata seorang pemimpin DAP negeri. (IH)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails