Thursday, February 17, 2011

BN Akan Rampas K'tan? -Mohd Apandi Mohamed

Mungkinkah Mustapa Mohamed sedang menunjukkan tempat ia akan jatuh?

Jeli, 17 Feb 11:
Pengerusi Perhubungan Umno negeri Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed kini mula bercakap mahu merampas Kelantan pada pilihan raya umum ke 13 akan datang ini. Hal ini dilihat kerana kedudukan Mustapa di Jeli sudah selesa. Demikian kata Yang Dipertua PAS Jeli, Mohd Apandi Mohamed.

Beliau berkata, berdasar kepada situasi calon BN di parlimen Jeli sudah ada 4,400 undi bonus dalam tangan sekarang. ”Sebab itulah sekarang Pengerusi Perhubungan Umno negeri bercakap mahu merampas Kelantan pada pilihan raya umum akan datang.."

Mustapa Mohamed mungkin menyembunyikan kekuatan sebenar Umno di parlimen Jeli dan Ketereh apabila hanya bergantung kepada undi tentera. Malah di Jeli pula ada tambahan undi Orang Asal berjumlah 400 orang. Ini bermakna kalau dicampur undi pos dan Orang Asal berjumlah 4,400 orang pada pilihan raya umum lalu. Pada pilihan raya umum lalu Mustapa mendapat majoriti 4,436 undi.

Jadi, undi awam (penduduk di Jeli) yang mengundi Ketua Umno Jeli itu sekitar 36 orang sahaja. Manakala di parlimen Ketereh pula terdapat kira-kira 3,000 undi pos pada pilihan raya umum lalu. Calon BN di Ketereh ketika itu, Tan Sri Annuar Musa tidak bernasib baik kerana tiada undi tambahan di kalangan masyarakat Orang Asal. Telahan itu dapat dibuat apabila peratusan undi pos dan Orang Asli lebih 85 peratus berpihak kepada BN pada mana-mana pilihan raya di negara ini.

Mengulas isu sama Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Kelantan, Abdul Aziz Abdul Kadir berkata, Mustapa lebih selesa berada di Jeli berbanding kampung asalnya di Bachok kerana faktor undi pos. Kata beliau undi pos di kalangan anggota tentera hanya ada di parlimen Ketereh, Jeli dan Pengkalan Chepa.

”Sebab itulah ramai ketua bahagian Umno mahu mengintai peluang untuk bertanding di Jeli dan Ketereh. Pengkalan Chepa tidak menjadi fokus kerana undi pos tidak besar,” katanya ketika dihubungi di Ketereh. Pada pilihan raya umum lalu Abdul Aziz menang di Ketereh dengan majoriti 400 undi mengatasi Annuar Musa.

Bagaimanapun Apandi pernah menang di parlimen Jeli pada pilihan raya umum 1999 menewaskan Mustapa ketika gelombang reformasi mulai tercetus. Ekoran kekalahan tersebut Mustapa dilantik sebagai senator untuk membolehnya dilantik sebagai menteri. Apandi juga berkata, biar pun Jeli mempunyai kelebihan kepada Umno dan BN, namun dengan kerja keras semua anggota parti Pakatan Rakyat membolehkan sejarah 1999 berulang semula.

Kata beliau tumpuan sekarang menggerakkan pelbagai program sebagai persediaan menghadapi pilihan raya umum tidak lama lagi. ”Kita sudah jalankan pelbagai aktiviti dan program bagi menjelaskan pelbagai isu kepada rakyat di Jeli,” katanya.

Dalam perkembangan lain beliau melahirkan rasa bersyukur apabila dakwaan ke atasnya sebelum ini mengemukakan tuntutan palsu sudah dibersihkan mahkamah. Beliau berkata, mahkamah sesyen di Kuala Lumpur pada 11 Febuari lalu membebaskannya terhadap 13 pertuduhan memalsukan dokumen berkaitan sewaan hotel pada tahun 2002.

“Saya meluahkan berbanyak-banyak rasa syukur kerana dibebaskan daripada tuduhan membuat tuntutan palsu semasa berkhidmat sebagai wakil rakyat di Jeli,” katanya. (IH)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails