Sunday, February 13, 2011

Chai Fong Ying, Juara Berganda Seni Pertahan Diri


SUKAN

CHAI Fong Ying bukan lagi nama asing dalam dunia sukan seni mempertahankan diri , wushu. Namanya semakin meningkat naik hingga ada yang menyamakannya dengan Ho Ro Bin, jaguh wushu yang pernah mengharumkan nama Malaysia suatu ketika dulu.

Sejak merangkul gelaran juara berganda selepas impian mempertahankan emas di Sukan Asia Doha, empat tahun lalu berjaya dilaksana di Guangzhou, Fong Ying, 25, kini bukan saja menjadi tonggak harapan skuad kebangsaan malah turut menjadi tumpuan negara.

Komitmen penuntut jurusan perakaunan Universiti Putra Malaysia (UPM) itu tidak perlu dipersoal apabila pernah menangguhkan pengajiannya empat kali demi mengharumkan nama negara. Ikuti temubual wartawan Metro Ahad dengan beliau.

METRO AHAD (MA): Sejak bila aktif dalam sukan tempur wushu?

CHAI FONG YING (CFY): Saya mula jatuh cinta dengan sukan wushu atau digelar kungfu sejak kecil dan mula aktif seawal usia empat tahun. Wushu adalah hidup saya.

MA: Apakah pencapaian terbaik anda?

CFY:
Pastinya ketika meraih emas di Sukan Asia Doha 2006 dan mengulangi kejayaan dan pingat pertama untuk Malaysia di Guangzhou tahun lalu. Namun, dalam sukan ini, Kejohanan Dunia Wushu amat penting demi mengukur prestasi menentang atlet wushu dunia dan saya tidak ketinggalan meraih kejayaan apabila menyumbang pingat emas dua kali, iaitu pada 2005 dan 2007 untuk negara.

MA: Siapa yang mendorong anda?

CFY:
Ayah saya jurulatih wushu, bapa saudara (sebelah ayah) turut memberi sokongan. Pendek kata, kami sememangnya berasal dari ‘keluarga’ yang mengamalkan wushu.

MA: Siapa idola yang menjadi inspirasi anda?

CFY:
Terlalu ramai, saya menghormati semua jaguh tempur wushu dan bagi saya, mereka hebat. Bukan mudah mengamalkan wushu, seni mempertahankan diri yang berasal dari China kerana ia memerlukan fokus tinggi. Tetapi saya memandang tinggi pelakon kungfu bangsa Cina yang berjaya di Hollywood, kerana mereka, sukan wushu semakin dimartabatkan.

MA: Anda menangguhkan pengajian demi wushu. Hingga kini, berapa kali anda menangguhkan pengajian dan sanggupkah menangguhkannya sekali lagi sekiranya perlu?

CFY:
Ketika ini saya menuntut di UPM dalam jurusan perakaunan dan setakat ini sudah empat kali menangguhkan pengajian. Keluarga tidak menghalang keputusan itu dan memahami tanggungjawab saya untuk negara.

Saya juga tidak keberatan menangguhkan pengajian sekali lagi andai perlu, demi Malaysia, saya sanggup lakukan apa saja.

MA: Apakah rahsia atau amalan pemakanan untuk mengekalkan kesihatan?

CFY:
Tidak seperti sukan lain, sayur-sayuran dan daging perlu untuk setiap atlet wushu kekal cergas dan sihat. Ada sesetengah sukan mengurangkan pengambilan daging, tetapi kami tidak. Daging penting untuk sumber protein dan karbohidrat.

Selain itu saya turut mengambil makanan yang mempunyai zat besi serta mengamalkan pengambilan buah dengan kerap. Namun, saya elak daripada memakan buah kering terlalu banyak kerana makanan sukar hadam boleh mendatangkan kesan untuk kesihatan.

MA: Sasaran tahun ini?

CFY:
Walaupun mendapat pujian melangit serta dilimpahi anugerah, masih banyak perlu saya lakukan untuk meningkatkan prestasi demi menaikkan lagi nama Malaysia di mata dunia, sekali gus merapatkan jurang dengan China.

Setiap atlet akan berkorban demi mengharumkan nama Malaysia. Bagi merealisasikan sasaran itu, pastinya saya perlu menggondol lebih banyak pingat. Itu misi saya.

MA: Ada teman istimewa atau mungkin merancang ke gerbang perkahwinan?

CFY:
Tidak, saya tidak ada teman lelaki. Saya belum terfikir mengenainya. Tumpuan saya adalah pada wushu semata-mata.

MA: Berapa lama lagi anda akan aktif mewakili negara kerana anda sudah mencecah usia 20-an.

CFY:
Wushu ‘teman istimewa’ saya. Oleh itu, saya akan berada di dunia wushu selama-lamanya, walaupun sampai ke tua. Saya akan bertahan mewakili negara selagi terdaya dan mungkin meneruskannya sebagai jurulatih. Apapun, saya akan terus berkecimpung dalam sukan wushu, kerana ia hidup saya.

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Sukan ilmu pertahankan diri amat digalakkan dalam Islam. Tuan Guru Nik Aziz MB Kelantan pernah menyuruh mewanita-wanita kita belajarnya (myMetro)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails