Monday, February 14, 2011

Abu Bakar Biaya Pengganas Tubuh Negara Islam?

Abu Bakar Bashir dituduh lagi...

JAKARTA, 14 Feb 11: Ulama radikal Abu Bakar Bashir merancang mewujudkan negara Islam menggunakan apa jua cara termasuk keganasan, bermula dengan latihan paramilitari di Acheh, kata pasukan pendakwa raya hari ini.

Seorang pendakwa raya memberitahu mahkamah bahawa sekitar Julai 2009 Abu Bakar ada memberitahu pengikutnya bahawa “sebelum melakukan jihad, kita mesti menguasai sebuah wilayah, walaupun kecil tetapi memiliki kawalan penuh.”

Kertas tuduhan 250 halaman dibacakan di Mahkamah Daerah Jakarta Daerah pagi ini.

Abu Bakar (gambar) dituduh menghasut pengikutnya melakukan rompakan dan pembunuhan, untuk mendapatkan dana yang diperlukan bagi membiayai aktiviti jihad yang dikenali sebagai “fa'i” dan juga aktiviti keganasan.

“Defenden mengatakan... fa'i dilakukan ke atas orang kafir dan kerajaan yang penganutnya Islam tetapi tidak mengamalkan (prinsip) syariah,” kata salah seorang daripada 13 pendakwa raya Muhammad Taufik.

Bagi mewujudkan negara Islam, Abu Bakar menyarankan tindakan keganasan menggunakan senjata yang digunakan oleh musuh mereka termasuk senapang dan bom, katanya.

“Tujuan kegagasan ialah mewujudkan suasana panik dan untuk memecah belah rakyat dan kerajaan yang memerintah, sekali gus membuka laluan kepada usaha mengambil alih kerajaan,” katanya.

Kertas tuduhan menyebut yang Abu Bakar meluluskan perancangan yang dirangka oleh militan Dulmatin, Ubaid dan Abu Tholut untuk menjalankan kajian di Acheh dan menyediakan dana awal Rp 15 juta bagi tujuan tersebut.

Ulama itu juga dituduh menghubungi penderma-penderma bagi kem latihan di Acheh dan telah menghimpunkan sekurang-kurangnya Rp 1 bilion untuk membeli senjata dan untuk membiayai kem di wilayah itu. (IH)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails