Wednesday, November 03, 2010

Undi Orang Asli: PAS Hantar Surat Bantahan

GUA MUSANG, 3 Nov 10: PAS menyerahkan surat bantahan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) petang ini berhubung keputusannya mahu membawa peti undi dari empat kawasan Orang Asli, yang mempunyai 942 pengundi, tanpa dikira terlebih dahulu di pusat pengundian terbabit.

Surat bantahan itu diserahkan wakil calon PAS pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas Abdullah Hussein kira-kira pukul 3 petang tadi. Turut hadir peguam Asmuni Awi dan surat tersebut diserahkan kepada Penolong Pegawai Pengurus Muhammad Yusof Hassan.

PAS meletakkan pemangku Yang Dipertua PAS Gua Musang Dr Zulkefli Mohamad manakala Barisan Nasional (BN) memilih Setiausaha Umno Gua Musang Abdul Aziz Yusoff pada pilihan raya kecil Galas. “Saya selaku wakil pilihan raya kepada Dr Zul (Zulkefli) dengan ini membantah dan menuntut supaya pengiraan undi bagi undi yang dibuang di kesemua pusat mengundi hendaklah dilakukan atau dikira di tempat di mana undi-undi itu dibuang,” kata Abdullah selepas menyerahkan surat bantahan di Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang di sini.

Dalam surat bantahan itu, menurut Abdullah, pihaknya tidak nampak kewajaran mengapa pengiraan undi itu tidak dapat dilakukan di pusat-pusat di mana undi-undi tersebut dibuang.

“Jumlah pemilih di kesemua Daerah Mengundi yang terlibat terlalu kecil jumlahnya iaitu antara 160 hingga 278 orang. Oleh itu masa yang diperlukan untuk proses pengiraan adalah pendek iaitu kurang dari dua jam termasuk proses pengiraan semula.

“Waktu mengundi di kesemua Daerah Mengundi tersebut ditutup jauh lebih awal iaitu pukul 1 tengah hari berbanding pusat-pusat mengundi lain.

“Oleh itu proses pengiraan boleh dilakukan seawal 1.30 tengah hari dan selesai selewat-lewatnya pukul 3 petang.

“Oleh itu tidak timbul masalah kelewatan untuk membawa keputusan tersebut dan kertas-kertas undi yang telah dikira ke pusat penjumlahan oleh kerana proses pengiraan telah selesai,” katanya.

Malah Abdullah berkata sekiranya kertas-kertas undi dibawa keluar dengan helikopter untuk pengiraan kaedah yang sama boleh digunakan untuk membawa keluar keputusan dan kertas undi yang telah dikira.

“Membawa keluar kertas undi untuk pengiraan di tempat lain dari pusat-pusat membuang undi akan menimbulkan kesukaran kepada ejen pengiraan calon.

“Intergriti pihak SPR sendiri akan tercalar kerana beberapa kontroversi yang akan timbul sekiranya pengiraan undi tersebut dilakukan di tempat lain selain dari pusat mengundi,” katanya.

Awal pagi ini Timbalan Setiausaha SPR Datuk Noordin Che Ngah berkata pihaknya mempunyai kuasa dalam menentukan tempat mengira undi sama ada di pusat-pusat pengundian ataupun di tempat lain termasuk pusat penjumlahan undi jika difikirkan perlu dalam kes-kes khas. Sambil menasihatkan mana-mana pihak tidak bimbang, Noordin berkata, langkah sedemikian diambil dalam keadaan cuaca tidak menentu.

Sehubungan itu, SPR memberi jaminan kepada PAS bahawa tiada penipuan akan berlaku ketika proses pengiraan undi pilihan raya kecil kerusi DUN Galas membabitkan empat kawasan Orang Asli yang didakwa PAS semalam.

“SPR mempunyai kuasa untuk tentukan macam mana nak kira kertas undi.

“Dalam isu Orang Asli ini, kita bawa balik ke pusat penjumlahan kertas undi selepas mengambil kira beberapa faktor termasuk cuaca.

“Kalau cuaca sekarang yang tidak menentu dan hujan, kalau kira di sana, bila masa baru kita akan balik ke sini. Bukankah ia akan lebih melambatkan?” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider malam tadi.

Petang semalam, PAS menggesa SPR mengkaji semula keputusannya mahu membawa peti undi dari empat kawasan Orang Asli tanpa dikira terlebih dahulu di pusat pengundian terbabit. Malah Pengarah Pilihan Raya PAS pusat Datuk Halim Abdul Rahman berkata SPR tidak mempunyai sebarang alasan untuk membawa peti undi dari empat kawasan Orang Asli.

“Apa halangan kalau ia dikira di sana? Saya tidak nampak apa halangannya pun.

“Kalau dibawa dengan helikopter kita syaki hal-hal diingini akan berlaku. Lagipun peti undi di sana tutup pukul 1 tengah hari, bukan banyak pun nak kira.

“Alasan yang diberikan SPR itu amat diragui,” kata Halim pada sidang media Markas Pilihan Raya PAS Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas di sini pagi tadi.

Seramai 11,553 pengundi layak untuk mengundi pada pilihan raya kecil kali ini iaitu Melayu 7,125 orang atau 61.7 peratus, kaum Cina 2,317 atau 20.06 peratus, India 185, Bumiputera Siam 10 orang dan Orang Asli 1,889 orang. (AK)

PRK DUN GALAS

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails