Monday, November 01, 2010

SU PKR: Azmin Dahului Zaid, Data Silap


PETALING JAYA, 1 Nov 10: Keputusan rasmi kali ketiga dikeluarkan hari ini termasuk penjelasan pada sidang media menunjukkan Naib Presiden Azmin Ali pula mendahului saingan timbalan presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Selepas menyaksikan situasi peratusan keluar mengundi yang rendah sepanjang tiga hari pertama, pemilihan kali pertama menggunakan sistem pemilihan langsung ini berhadapan kesilapan keputusan rasmi awal.

Azmin, Ahli Parlimen Gombak, memperoleh 3,051 undi manakala Datuk Zaid Ibrahim diumumkan hanya menerima 2,529 undi manakala seorang lagi calon, Mustaffa Kamil Ayub, yang juga Naib Presiden PKR, mengumpulkan 1,149 undi.

Mengumumkan perkara itu tengah hari ini, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail berkata, perubahan kedudukan adalah ekoran kesilapan manusia dalam memasukkan data keputusan.

“Ia kesilapan manusia,” kata beliau pada sidang media di ibu pejabat PKR di sini hari ini.

Perubahan kedudukan termasuk yang diumumkan Saifuddin adalah yang ketiga sejak pagi tadi.

Keputusan yang diperoleh dari laman web PKR sekitar 10 pagi menunjukkan Azmin mendapat 3,051.

Ketika itu, Zaid mendapat 3,683 undi manakala Mustaffa pula 1,241 undi.

Kira-kira setengah jam selepas keputusan itu disiarkan, jumlah undi diperoleh Mustaffa meningkat 30 menjadi 1,271.

Saifuddin menjelaskan, keputusan awal dikemukakan kepada sekretariat parti menerusi pelbagai saluran termasuk menggunakan telefon dan kemungkinan keputusan bercampur-campur wujud memandangkan pegawai-pegawai yang memantau proses pengundian penat dan bekerja sepanjang hari.

Bagaimanapun Saifuddin menegaskan, ‘kesilapan’ keputusan rasmi awal yang disebarkan menerusi laman web parti dan Twitter sebenarnya tidak menjejaskan integriti parti.

“Berbanding dengan sumber-sumber lain, keputusan pada sidang media hari ini dianggap sebagai sah,” kata Ahli Parlimen Machang ini.

“Ini adalah sistem terbuka. Walaupun wujud pertikaian, kami boleh teliti semula dokumen-dokuman kami,” kata beliau.

Oleh itu kata Saifuddiun, hanya keputusan yang datang daripada beliau harus dianggap sebagai rasmi dan meminta media tidak merujuk kepada sumber-sumber lain.

Kata Saifuddin, beliau akan mengadakan sidang media mingguan untuk mengesahkan keputusan rasmi pengundian pemilihan parti selepas ini sehingga 22 November.

Keputusan bagi jawatan-jawatan lain tidak mengalami perubahan.

Pengarah Strategi PKR Tian Chua yang juga Ahli Parlimen Batu mengumpulkan 3,621 undi dan diekori Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar mendapat 3,543 undi bagi jawatan naib presiden.

Seramai 17 calon bertanding jawatan itu.

Sementara itu keputusan rasmi menunjukkan bagi jawatan naib presiden juga, Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang Datuk Dr Mansor Othman memperoleh 2,852 undi, Ahli Parlimen Padang Serai N Gobalakrishnan 2,080, Exco Kerajaan Negeri Dr Xavier Jayakumar (1,679), Ahli Parlimen Subang R Sivarasa yang juga naib presiden semasa menerima 1,553 undi, R Suresh Kumar (1,237) dan Yahya Sahri (1,178).

Ansari Abdullah yang kini bertanding di pilihan raya kecil kerusi Parlimen Batu Sapi menerima 646 undi, pemimpin PKR Sarawak Baru Bian (659), bekas pengarah komunikasi PKR Jonson Chong (626), Ali Parlimen Balik Pulau Yusmadi Yusoff (615), Ahli Parlimen Kapar S Manikavasagam (492), Pengerusi PKR Sarawak Dominique Ng (284), Setiausaha PKR Johor Saiman Marjuki (166) dan Ketua PKR cabang Papar dari Sabah, James Ghani (106).

Di peringkat sayap Wanita, penyandang kerusi Wanita Zuraida Kamaruddin berada di depan dengan 1,160 undi berbanding dua pencabarnya, Animah Ferrar yang mendapat 408 undi dan Suraya Sudin 403 undi.

Bagi jawatan timbalan ketua Wanita, Exco Kerajaan Negeri Selangor Rodziah Ismail menerima 1,400 undi untuk mendahului Asmah Abd Kadir yang mendapat 414 undi.

Berbanding sayap Wanita, persaingan bagi jawatan ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) kelihatan sengit dengan Badrul Hisham, Ketua PKR cabang Rembau memperoleh 1,133 undi berbanding penyandang Shamsul Iskandar yang menerima 1,029.

Bagaimanapun gandingan Shamsul Iskandar bagi jawatan timbalan ketua AMK, Khairul Anuar memperoleh 1,214 undi untuk mengatasi Adun Teja Chang Lih Kang dari pasukan Badrul Hisham, yang menerima 833 undi.

Pengundian minggu ini akan diadakan Jumaat, Sabtu dan Ahad ini. (AK)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails