Monday, November 01, 2010

3 Hari Lagi: Sogokan Pun Dijangka Bermula -Wan Abd Rahim

GUA MUSANG, 1 Nov 10: Berbaki tiga hari tempoh kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Galas 4 November ini, PAS akan memperketatkan jentera kawalannya dalam menangani gejala menabur fitnah dan sogokan. Penasihat Operasi Jentera Pilihan Raya PAS Dun Galas, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah memberitahu arahan kepada anggota keselamatan di semua peti undi sudahpun dikeluarkan bersama beberapa strategi bagi mengesan amalan tersebut.

Menurutnya, langkah itu diambil selepas mendapat maklumat awal dari sumber yang boleh dipercayai mengatakan usaha sogokan kepada pengundi dijangka berlaku mulai hari ini.

“Kita telah mengarahkan pihak keselamatan di semua peti undi untuk mengambil tindakan tegas terhadap usaha menabur fitnah dan juga usaha untuk membuat sogokan kepada pengundi.

“Mana-mana pihak yang hadir ke semua peti undi untuk menabur fitnah, membuat sogokan akan berdepan dengan pihak keselamatan PAS yang telahpun disusun atur untuk membuat tangkapan awam,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Abdul Rahim berkata, jika berlaku tangkapan orang berkenaan akan dihantar ke pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya. Menjawab sama ada pihaknya kini telah mendapat sebarang laporan mengenai perkara itu beliau berkata, belum ada laporan rasmi.

“Belum ada laporan rasmi, cuma kita sudahpun menerima maklumat daripada pihak-pihak yang boleh dipercayai perkara ini akan berlaku mulai 1 November hingga hari mengundi nanti,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu.

Menurut Abdul Rahim, antara bentuk sogokan yang dapat dikesan sekarang adalah dalam bentuk wang tunai RM1,000 dan set peti televisyen. Pada perkembangan yang sama beliau berkata, dalam kempen yang telah masuk hari keenam hari ini PAS lebih menumpukan kepada undi orang Melayu.

“Tumpuan utama kedua belah pihak sekarang ini ialah di peti undi Sungai Terah kerana di situ PAS telah mendapat undi popular sebanyak 69 peratus pada pilihan raya umum 2008.

“BN sendiri berpendapat sekiranya peti undi itu boleh dicairkan maka mereka akan mencapai kemenangan. Jadi pertempuran sengit akan berlaku di Sungai Terah,” katanya.

Pada Pilihan Raya Umum 2008, peti undi Sungai Terah telah menyumbang kepada kemenangan PAS di Dun Galas dengan majoriti 500 undi. Berikutan itu, beberapa langkah diambil untuk memastikan sokongan terus diberikan pada PAS di kawasan seperti Sungai Terah.

“Walau apapun parti itu tetap yakin akan dapat mengekalkan sokongan di kalangan pengundi Orang Asli dan meningkatkan undi daripada pengundi Cina di Galas,” katanya. (AK)

Dapatkan laporan PRK DUN Galas dari mula hingga berakhir, seterusnya..

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails