Saturday, November 06, 2010

Faktor Ku LI Menangkan BN Di Galas

Tengku Razaleigh

KL 6 Nov 10: Pemimpin-pemimpin PAS menyangkal tanggapan sesetengah pihak bahawa kekalahan PAS mempertahankan kerusi DUN Galas kelmarin disebabkan wujudnya unsur sabotaj dalaman parti dan strategi berkempen PAS yang terlalu defensif terutama ketika menghadapi jentera diketuai Tengku Razaleigh Hamzah. Demikian Menurut The Malaysian Insider.

Satu: Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS pusat Datuk Abdul Halim Abdul Rahman memberitahu, khabar itu adalah permainan umum di sesawang Internet sahaja. “Saya rasa soal strategi tidak ada ada kaitan. Isu itu main dalam pasaran (Internet),” jelas beliau.

Penegasan Ahli Parlimen Pengkalan Chepa itu sekali gus menafikan dakwaan seorang blogger PAS Abdul Rahman Talib kononnya kekalahan tersebut berpunca oleh pemimpin PAS sendiri membantu “propaganda Umno” di Galas. Abdul Rahman Talib yang lebih dikenali sebagai “Tulang Besi” dalam blog Malaysia Waves berkata, pemimpin yang dimaksudkan adalah Timbalan Mursyidul Am PAS Datuk Dr Harun Din dan Datuk Dr Hassan Ali yang juga Pesuruhjaya PAS Selangor merangkap Exco Kerajaan Selangor.

“Kempen PAS begitu ‘mandom’ dan defensif. Serangan utama Umno kepada PAS yakni PAS dipergunakan DAP, tidak dijawab langsung ataupun dibiarkan tanpa jawapan yang baik dan jelas.

“Saya tidak terkejut kerana tuduhan Umno itu turut diungkapkan dalam nada yang sama oleh pemimpin dalaman PAS seperti Hassan Ali dan Datuk Harun Din,” dakwa penulis itu.

Bagaimanapun Abdul Halim berkata, pendirian PAS Kelantan tidak menyerang Tengku Razaleigh sebenarnya ekoran daripada arahan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Mursyidul Am PAS merangkap Menteri Besar Kelantan. “Itu tidak betul kerana kita tidak mahu menyerang peribadinya kerana Tok Guru (Nik Aziz) sendiri,” ujarnya.

Pun begitu, kata beliau, PAS tetap dengan strategi tradisinya iaitu menjelaskan tentang kepentingan menyokong perjuangan Islam serta menyerang amalan rasuah serta penyelewengan yang dilakukan oleh pemimpin Umno. Ujarnya lagi, strategi lain PAS yang boleh dikatakan berjaya untuk menghadapi Umno-BN antaranya menawarkan RM250 duit tambang balik kepada pengundi luar.

“Kita berjaya memanggil 57 peratus (pengundi luar) balik,” ujarnya.

Di sebalik kekalahan di Galas, beliau seakan mengaku yang PAS gagal menjawab beberapa isu malar segar seperti isu tanah di Lojing, pembalakan haram, pembangunan untuk Orang Asli, manfaat dari Ladang Rakyat serta dakwaan penyelewengan dalam PMBK Sawit sebagaimana yang diserang Umno.

Bagaimanapun kata beliau, kegagalan itu sepatutnya ditujukan kepada kerajaan Kelantan, bukan jentera pilihan raya diketuainya. “Itu kena kerajaan negeri yang jawab, penceramah kena jawab... itu bukan saya yang kena jawab,” tegas beliau yang juga pengarah jentera PAS di Galas sambil memberitahu The Malaysian Insider bahawa analisis holistik PAS boleh diperoleh 13 November ini.

DUA: Bekas Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Dr Dzulkefly Ahmad turut menafikan bahawa wujudnya sabotaj kempen di kalangan pemimpin PAS. Menurut beliau, Tengku Razaleigh lebih bijak berpolitik apabila PAS mengambil sikap untuk tidak menyerang bekas Presiden Parti Semangat 46, yang telah dibubarkan 14 tahun lalu. “Mana ada sabotajnya, Ku Li sebenarnya bijak dalam mengambil kesempatan politik ini,” ujarnya.

Beliau yang Ahli Parlimen Kuala Selangor berpendapat, jentera PAS seakan keliru apabila berdepan dengan “politik damai” yang direstui Tengku Razaleigh yang juga merupakan Ketua Umno Gua Musang dan Ahli Parlimen bahagian itu. Akibatnya, pengundi gagal diajak menolak calon BN Abdul Aziz Yusoff walaupun terlalu banyak pengkhianatan Umno ke atas kerajaan negeri dan rakyat Kelantan.

“Kenapa tidak perjelaskan terma penerangan PAS iaitu satu undi kepada Umno adalah menyokong pengkhianatan BN tidak memberi royalti minyak kepada rakyat Kelantan.

“Itu bukan menyerang Ku Li, itulah isu yang paling besar untuk mengajak Ku Li sendiri untuk bersama-sama rakyat dan kita (PAS) menyerang Umno,” kata Ahli Parlimen Kuala Selangor ini.

Oleh kerana jentera PAS gagal menggamit emosi rakyat terhadap isu utama itu, kata beliau, jentera PAS induk gagal menguruskan keseluruhan jentera penerangan dan kempen di Galas.

Tiga: Dalam pada itu, Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar pula berkata, beliau tidak mengetahui bahawa wujudnya sabotaj kempen di kalangan pemimpin PAS seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak. Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena memberitahu bahawa kemenangan BN di Galas berpunca oleh “faktor Ku Li” sendiri.

“Ketokohan dan strategi Ku Li memang nampak ‘underdog’, di luar dugaan kita tetapi saya anggap veteran Umno itu ancaman paling besar (bagi) saya (Pakatan Rakyat).

“Kita sebenarnya yang membuka peluang kepada pasukan Ku Li untuk mengeksploitasi beberapa strategi kita sehingga kita menjadi begitu defensif,” ujarnya lagi.

Beliau berkata, kejayaan Tengku Razaleigh merampas DUN Galas sepatutnya menjadi “wake-up call” kepada PAS dan Pakatan Rakyat.

“Ini satu ‘wake-up call’, parti tidak boleh duduk diam, bukan sekadar memberi tahu orang ramai yang kita sedang bermuhasabah, sangat malang kalau kita tidak menyedari orang yang bukan sebarangan seperti dia (Ku Li),” ujarnya.

Lebih membimbangkan kata beliau, sekiranya ketokohan Tengku Razaleigh ini dianggap mengetuai Umno dan BN pada pilihan raya umum ke-13 kelak.

“Jika berlaku ledakan dalaman di dalam Umno untuk mengangkat Ku Li ke kerusi nombor satu (Presiden) Umno-BN, ia adalah sesuatu malapetaka paling besar, yang saya tidak dapat bayangan bagi membenamkan PAS dan Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum ke-13,” ujarnya lagi.

Disebabkan itu, beliau berkata, PAS dan Pakatan Rakyat bernasib baik kerana BN dipimpin oleh Datuk Seri Najib Razak yang juga Perdana Menteri merangkap Presiden Umno dan Pengerusi BN.

“Kalau saya, saya suka Najib memimpin Umno dan BN sehingga pilihan raya umum ke-13,” kata beliau berjenaka kepada The Malaysian Insider.

Di Galas, Abdul Aziz mendapat 56 peratus atau 5,324 undi untuk menewaskan calon PAS Dr. Zulkefli Mohamad dengan kelebihan 1,190 undi. Daripada 11,553 pengundi berdaftar, seramai 9,555 pengundi atau 82.71 pengundi turun bagi menunaikan tanggungjawab mengundi masing-masing pada pilihan raya kecil DUN Galas. Peratusan keluar mengundi itu meningkat dua peratus jika dibandingkan peratusan turun mengundi pada pilihan raya umum lalu iaitu 80.6 peratus. (AK)

kuti kisah PRK dari mula dan seterusnya.
PRK DUN GALAS

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails