Sunday, October 31, 2010

Damage Control - Pantau Pilihan Raya

GALAS, 30 Okt- Ketua Pengarah Pilihanraya PAS Pusat, YB Dato' Ustaz Hj Abdul Halim Abdul Rahman pada sidang media hari ini menyentuh tentang isu pemilikan tanah orang asal. Jabatan Tanah dan Galian negara selama ini tidak menyenaraikan orang asal sebagai bumiputera menyebabkan pindah milik tanah kepada orang asal tidak dapat dilaksanakan.Hanya pada awal tahun ini barulah UMNO mengiktiraf orang asal sebagai bumiputera.

Cadangan Penubuhan Urusetia Hal Ehwal Orang Asal oleh calon PAS merupakan satu inisiatif untuk memastikan orang asal sebagai penduduk asal negara ini tidak dilupakan dalam soal pembangunan. Dalam sidang media pagi tadi, beliau memperkenalkan pendekatan Damage Control yang bertujuan untuk memantau sebarang kelemahan yang berlaku di sepanjang pilihanraya kali ini.

Setiap pelanggaran yang berlaku akan dikenakan kad kuning dan kad merah bagi kesalahan yang lebih serius. Menyentuh tentang kaedah kempen PAS dalam pilihanraya kali ini, beliau menjelaskan PAS menggunakan pendekatan biasa yang digunakan selama ini iaitu memberi penerangan kepada rakyat, merayu dan memujuk. Para petugas sama sekali tidak dibenarkan membuat sebarang kecaman ketika berkempen.

Menjawab dakwaan yang menyatakan bahawa Tok Guru sayang Guan Eng yang ditimbulkan oleh Datuk Usman Abdul pula, beliau berkata ini kerana pentadbiran di bawah Guan Eng tidak pernah mendiskriminasi siapa yang layak untuk memasuki masjid dan surau. Namun di bawah pemerintahan UMNO BN, PAS dihalang dari memasuki masjid meskipun untuk menyampaikan dakwah, malah didakwa oleh UMNO sebagai ekstrimis.

Beliau turut membangkitkan persoalan tentang ketiadaan gambar calon BN, Abdul Aziz yang menurut beliau menggambarkan terdapat masalah di dalam BN berkaitan pemilihan calon mereka pada pilihanraya kali ini.

Menjawab persoalan yang dikemukakan oleh wartawan berkaitan undi rosak, beliau menjangkakan bahawa undi rosak pada pilihanraya kali ini hanya sekitar 1 hingga 3% sahaja.

Wartawan turut menimbulkan persoalan adakah Islam membenarkan untuk memhentam orang lain di dalam ceramah. Beliau menjelaskan ia adalah perlu bagi menjelaskan keadaan sebenar kerana kebenaran itu perlu ditegakkan namun begitu Islam tidak membenarkan menyerang peribadi seseorang individu.

Di akhir sidang media tersebut, beliau menyebut tentang jumlah pengundi luar iaitu bagi Parlimen sebanyak 312 orang dan DUN sebanyak 282. Beliau berharap agar semua pengundi luar ini dapat pulang untuk mengundi pada hari pengundian nanti. (PAS)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails