Friday, November 05, 2010

Galas: 51% BN, 42% PAS, Mengapa Yang 7%


ANALISIS, 5 Nov 10: Tinjauan The Malaysian Insider di kalangan sekumpulan pengundi menjelang hari pengundian mengetengahkan penemuan — 51 peratus akan mengundi Barisan Nasional (BN) manakala 42 peratus memihak PAS. Baki tujuh peratus belum membuat keputusan sehingga ketika itu.

Hasil tinjauan tersusun ini memperlihatkan kelainan berbanding keputusan pilihan raya umum 2008. Pada 8 Mac 2008, calon yang bertanding kali ini — Dr Zulkefli Mohamad — walaupun bersaing di peringkat Parlimen tetapi memperoleh undi terbanyak dari DUN Galas berbanding calon Barisan Nasional (BN) Tengku Razaleigh Hamzah.

Malam tadi, BN memperoleh 56 peratus undi manakala PAS 43 peratus dengan pergerakan sokongan yang tidak membuat keputusan sehingga Isnin lalu — lima peratus kepada BN dan satu peratus buat PAS.

Perbualan dengan pengundi-pengundi yang ditinjau juga menghasilkan beberapa penemuan mengejutkan apa sebenarnya berlaku di Galas khususnya di Kelantan.

Melihat kepada keputusan pilihan raya kecil Galas yang memihak BN kepimpinan Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat nampaknya terpaksa menilai kembali punca kekalahan parti Islam itu. BN merampas semula kerusi DUN Galas melalui calonnya Abdul Aziz Yusoff yang menewaskan calon Dr Zulkefli.

Aziz mendapat 5,324 iaitu 56 peratus manakala Dr Zulkefli menerima 4,134. Undi rosak sebanyak 132. PAS kemerosotan kira-kira 200 undi. Aziz merekodkan majoriti 1,190 undi — hampir dua kali ganda berbanding kelebihan undi dicatatkan oleh PAS pada 8 Mac 2008. Jika dilihat dari aspek kempen pilihan raya nampaknya strategi yang diguna pakai PAS gagal untuk mendapat sokongan pengundi Galas.

Sepanjang kempen pilihan raya kecil berlangsung PAS melalui ceramah yang diadakan lebih memberikan fokus terhadap isu-isu nasional yang langsung tidak memberi kesan kepada pengundi di DUN Galas. Malah Dr Zulkefli yang juga pemangku Yang Dipertua PAS Gua Musang dilihat gagal untuk mendapatkan sokongan dan kepercayaan daripada 11,553 pengundi berdaftar.

Sebenarnya jika dilihat dari aspek parti, PAS mempunyai kelebihan berbanding BN kerana PAS memerintah Kelantan. Namun dek kerana kegagalan menyelesaikan masalah yang dibangkitkan rakyat ia menyumbang kepada kekalahan PAS. Kekalahan PAS juga bukan hanya disebabkan kegagalan menyelesaikan masalah rakyat, namun termasuk kempen yang tidak berkesan.

Jika hendak dibandingkan dengan pendekatan yang digunakan BN nampaknya ia lebih berkesan. Tengku Razaleigh, Pengarah Pilihan Raya BN DUN Galas, sepanjang kempen pilihan raya memberikan tumpuan terhadap ‘sentuhan peribadi’ antara beliau dan juga pengundi.

Malah perwatakan Aziz yang nampak “gila-gila”, mudah mesra dan peramah dilihat menyumbang kepada kemenangan BN di Galas. Setiap kali lawatan menemui pengundi Aziz mendapat sambutan yang amat menggalakkan dek kerana sikap yang peramah dan sentiasa tersenyum. Jika dilihat daripada hasil kemenangan yang diperoleh membuktikan strategi yang digunakan itu lebih berkesan daripada ceramah-ceramah besar yang dilakukan PAS.

Kemenangan BN dalam pilihan raya kecil ini jelas membuktikan rakyat mahukan satu perubahan dilakukan di Gua Musang yang gagal disempurnakan kerajaan negeri Kelantan sepanjang 20 tahun memerintah. Jika kemenangan ini merupakan satu kebangkitan untuk BN dan kejatuhan PAS di Kelantan, kepimpinan kerajaan negeri yang diketua Nik Aziz perlu mengkaji semula kelemahan yang berlaku serta melakukan perubahan besar terutamanya dalam aspek pemimpin.

Walaupun usaha untuk BN merampas semula Kelantan daripada PAS agak sukar, namun ia tidak mustahil sekiranya mereka berusaha bersungguh-sungguh. Justeru kepimpinan PAS terutamanya di Kelantan perlu lebih serius dalam menangani kekalahan di DUN Galas, banyak perkara perlu dilakukan untuk memastikan parti Islam itu terus relevan dan diterima rakyat.

Malah PAS Kelantan juga perlu melakukan perubahan besar dalam struktur kepimpinannya. Walaupun sudah 20 tahun PAS memerintah Kelantan tetapi sekuat mana parti sekiranya tidak dapat menyelesaikan masalah rakyat lambat-laun ia akan ditolak juga. Apa yang lebih penting sekarang kelebihan memihak kepada BN dan PAS kini terpaksa akur dengan keputusan yang diumumkan semalam.

PAS kini bakal berhadapan dengan satu lagi rintangan dalam usaha untuk mempertahankan Kelantan daripada dirampas BN. Perubahan perlu dilakukan, struktur kepimpinan PAS Kelantan perlu diubah, masalah rakyat perlu diselesaikan dan keyakinan rakyat kepada PAS perlu dikembalikan. Justeru dalam perkara ini Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS perlu berfikir dan berbincang dengan bersama pemimpin parti untuk mencai jalan penyelesaian.

DUN Galas mempunyai 11,553 pengundi berdaftar. Seramai 9,555 pengundi atau 82.71 peratus keluar mengundi pada pilihan raya kecil DUN Galas berbanding 81 peratus pada pilihan raya umum 2008. Pun begitu perlu diakui PAS tidak hilang sokongan dalam jumlah besar, cuma ditinggalkan dalam jurang majoriti. Walaupun ia kerajaan negeri nampaknya PAS berhadapan dengan halangan dan rintangan di Galas khususnya Gua Musang. Satu lagi pengalaman buat PAS dan BN mengapa masing-masing gagal dan menang semalam. (AK)

Ikuti kisah PRK dari mula dan seterusnya.
PRK DUN GALAS

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails